
oleh: zizi hashim
Heboh sebuah karnival bukan sekadar lahir daripada sorakan pentas atau deretan reruai yang dipenuhi pengunjung. Keistimewaannya terletak pada kemampuan menyatukan ribuan manusia dalam satu ruang yang dipenuhi gelak tawa, muzik, cita rasa dan kenangan. Itulah semangat yang bakal kembali mewarnai bumi Sarawak apabila Karnival Jom Heboh (KJH) Sarawak Segulai Sejalai 2026 membuka tirainya di Pekarangan Sebelah Majlis Perbandaran Kota Samarahan selama tiga hari bermula 31 Julai hingga 2 Ogos 2026.
Memasuki tahun ke-23 penganjurannya, Karnival Jom Heboh terus mengukuhkan reputasinya sebagai acara padang paling ikonik di Malaysia apabila diiktiraf sebagai "Longest Running Outdoor Carnival" oleh The Malaysia Book of Records. Berteraskan konsep kekeluargaan dan kemasyarakatan, karnival ini bukan sekadar medan hiburan, malah menjadi ruang untuk masyarakat berkumpul, berinteraksi dan meraikan semangat Segulai Sejalai, nilai kebersamaan yang begitu sinonim dengan rakyat Sarawak.

Penganjuran kali ini dijayakan menerusi kerjasama strategik bersama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), sekali gus membuka peluang kepada orang ramai mendekati pelbagai agensi di bawah kementerian tersebut menerusi pameran, aktiviti interaktif dan pelbagai inisiatif yang berlangsung sepanjang tiga hari karnival.
Sepanjang acara berlangsung, pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai pengisian yang memenuhi setiap lapisan usia. Antaranya ialah Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge, Kids Colouring Contest, Zumba Challenge, Jom Lokal Jam, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma serta sesi Meet & Greet bersama pelakon drama TV3, personaliti TV9 dan selebriti popular. Kehadiran personaliti Media Prima seperti Shafiq Adnan, Afrina Romzi, Fahiz Ariff, Fadzly Fuad, Hanif Miswan, Haniff Hot FM dan Kieran KoolFM dijangka menambahkan lagi kemeriahan suasana sepanjang karnival berlangsung.
Suasana turut diserikan dengan kemunculan barisan artis dan pelakon seperti Ariana Yusof, Cristina Suzanne, Chacha Maembong, Cahaya Nilam, Irfan Zaini, Nasuha Sulaiman dan Zairi Aziz, yang bakal meluangkan masa bertemu peminat dalam sesi istimewa yang pastinya mencipta kenangan buat pengunjung. Pada masa sama, pelbagai reruai daripada Media Prima, MTCP, MINTRED serta jenama terkenal seperti Grab, KWSP, CelcomDigi, Weststar Maxus, Ayam Dindings dan banyak lagi menawarkan promosi eksklusif, hadiah menarik serta pelbagai pilihan makanan viral yang menjadi buruan ramai.
Satu lagi tarikan yang mencuri perhatian ialah Dunia Kreatif NSTP, sebuah reruai interaktif yang menggabungkan kreativiti, literasi media dan hiburan untuk seisi keluarga. Pengunjung berpeluang menyertai pertandingan mewarna, menghasilkan karya seni kraf dan origami menggunakan bahan kitar semula, merakam gambar di Photobooth Muka Depan NSTP serta mencuba pelbagai permainan konsol yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Selepas menerima sambutan menggalakkan tahun lalu, Jom Heboh Fun Run kembali dengan skala yang lebih besar. Buat pertama kali, peserta bakal membawa pulang medal finisher eksklusif selain menerima jersi rasmi, tote bag, bib dan pelbagai goodies menarik. Larian kini diperluaskan kepada kategori 5 kilometer dan 8 kilometer, termasuk Pakej Keluarga khas bagi menggalakkan penyertaan seisi keluarga. Lebih mengujakan, pelbagai hadiah cabutan bertuah menanti peserta bersama kemunculan selebriti seperti Aepul Roza, Fiq Halim dan Aweera.
Menjelang malam, tumpuan pastinya beralih kepada Konsert Jom Heboh, kemuncak acara yang sentiasa dinanti-nantikan. Malam pertama bakal dimeriahkan oleh Haiza Hanafi, Mariam Saim, Aepul Roza, Fiq Halim, Aweera dan Kristal X, manakala malam kedua menyaksikan persembahan Baby Shima, Wany Hasrita, K.O.I, Syamel dan Marsha Milan, bersama lebih ramai penghibur yang bakal menutup tirai karnival dengan persembahan penuh tenaga dan warna.
Turut melengkapkan pengalaman ialah Love Food Fest, yang menghimpunkan pelbagai vendor makanan tempatan dan viral, di samping zon gaya hidup serta aktiviti komuniti yang mengeratkan hubungan antara pengunjung. Dengan purata kehadiran melebihi 300,000 pengunjung di setiap lokasi penganjurannya, Karnival Jom Heboh terus membuktikan dirinya sebagai platform yang menyatukan hiburan, gaya hidup dan perkhidmatan rakyat dalam sebuah acara berskala nasional.
Apabila ribuan langkah memenuhi Kota Samarahan hujung minggu ini, yang diraikan bukan sekadar sebuah karnival. Yang hidup ialah rasa kebersamaan, kemesraan dan semangat komuniti yang selama lebih dua dekad menjadikan Karnival Jom Heboh sebagai antara acara paling dekat di hati rakyat Malaysia.