
oleh: zizi hashim
Takdir sering hadir dalam bentuk yang sukar diteka. Ada yang memulakan langkah dengan segala kelebihan, ada pula yang terpaksa mengumpul kekuatan daripada kata-kata yang meragukan kemampuan mereka. Namun, sejarah sering membuktikan bahawa kejayaan bukan milik mereka yang bermula dengan sempurna, sebaliknya milik mereka yang enggan berhenti walaupun berkali-kali dipatahkan. Begitulah perjalanan Sarkunan Subramaniam, atau lebih dikenali sebagai Sarky.
Selepas lebih empat dekad mencorakkan landskap hartanah Malaysia, tokoh yang kini menjawat jawatan Group Executive Chairman, Knight Frank Malaysia itu berkongsi perjalanan hidupnya menerusi memoir berjudul The Other Side of Obstacles, sebuah naskhah yang merakam kisah sebenar tentang jatuh bangun, keberanian dan ketabahan menghadapi cabaran. Buku itu dilancarkan di ibu pejabat Knight Frank Malaysia di Kuala Lumpur sebagai penghormatan terhadap perjalanan hidup yang jauh daripada kebiasaan.

Berbeza daripada kebanyakan kisah kejayaan korporat, memoir ini tidak bermula dengan pencapaian besar atau jawatan tinggi.Sebaliknya, ia membawa pembaca menelusuri zaman muda Sarky yang pernah memperoleh Aggregate 38 dalam peperiksaan SPM, satu keputusan yang hampir memadamkan keyakinannya terhadap masa depan. Namun, kegagalan itu tidak menjadi noktah. Ia menjadi titik tolak kepada perjalanan yang akhirnya membentuk seorang pemimpin berpengaruh dalam industri hartanah Malaysia.
Demi mengejar pendidikan, Sarky berhijrah ke Melbourne, Australia, dan melakukan pelbagai pekerjaan yang jarang diketahui ramai. Beliau mencuci lantai hospital serta memandu teksi untuk menampung kos pengajian di Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT). Pengalaman itu bukan sahaja mengajarnya tentang erti kesabaran, malah membentuk daya tahan yang kemudiannya menjadi asas kepada seluruh perjalanan profesionalnya. Selepas menamatkan pengajian, beliau menyertai Valuer General's Office (VGO) of Victoria, di mana beliau bekerja sepenuh masa sambil mengikuti kelas pada waktu malam. Tempoh itu menjadi fasa penting yang memperkukuhkan kepakaran teknikalnya dalam bidang penilaian hartanah sebelum pulang ke Malaysia untuk membina kerjaya yang akhirnya mengubah landskap industri.
Menurut Sarky, The Other Side of Obstacles bukanlah sebuah buku yang meraikan kejayaan korporat semata-mata. "The Other Side of Obstacles is not a corporate success story. It is a candid recollection of accidental leadership, the daunting pivot from technical valuer to high-stakes estate agency professionalism and the counter-intuitive philosophy of elevating Knight Frank Malaysia into a market leader," katanya ketika majlis pelancaran.

Memoir ini disusun dalam empat bahagian, merangkumi 26 bab serta galeri foto yang mendokumentasikan perjalanan hidupnya sejak zaman kanak-kanak, pengalaman di universiti, langkah awal dalam dunia profesional sehinggalah tempoh beliau membina Knight Frank Malaysia sebagai antara nama paling dihormati dalam industri hartanah negara. Lebih daripada sekadar autobiografi, buku ini ditulis dengan harapan dapat menjadi sumber inspirasi kepada generasi baharu pemimpin, usahawan dan individu yang sedang mencari kekuatan untuk memulakan semula perjalanan hidup mereka dalam dunia yang sentiasa berubah. Ia mengangkat mesej bahawa setiap cabaran sebenarnya menyimpan peluang yang belum ditemui.
Majlis pelancaran itu turut diserikan dengan kehadiran Datuk Seri Dr. Michael Yam, bekas Presiden dan Penaung REHDA, yang juga menulis kata pengantar memoir tersebut. Lebih 100 tetamu hadir memeriahkan acara, termasuk mahasiswa, pensyarah, rakan niaga, warga Knight Frank Malaysia, sahabat handai serta ahli keluarga Sarky. Dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam industri hartanah, Sarky dikenali sebagai antara profesional paling berpengaruh di Malaysia. Berdaftar sebagai Registered Estate Agent sejak 1986, beliau membina reputasi menerusi kepakaran dalam penilaian, penyelidikan, perundingan pembangunan dan kepimpinan yang memberi impak besar kepada profesion hartanah negara.

The Other Side of Obstacles kini boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi sarkunan.com pada harga RM50, dengan caj penghantaran RM10 bagi seluruh Malaysia. Barangkali, itulah makna sebenar di sebalik judul The Other Side of Obstacles. Di sebalik setiap halangan, selalu ada sisi lain yang menunggu untuk ditemui. Bukan semua orang mampu melihatnya ketika sedang jatuh. Namun bagi mereka yang berani terus berjalan, sisi itulah yang akhirnya mengubah kegagalan menjadi warisan, dan kesukaran menjadi sebuah cerita yang mampu menyalakan harapan buat orang lain.