oleh: zizi hashim
Riak sungai di Petra Jaya akan menjadi saksi pada awal September ini, sebuah gelombang besar hiburan, persaudaraan dan pesta warna-warni akan kembali melingkari jiwa warga Sarawak. Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai Sarawak 2025 menandakan detik yang dinanti, berlangsung megah dari 5 hingga 7 September 2025 (Jumaat hingga Ahad) di Dataran Perayaan Petra Jaya, Kuching. Tiga hari penuh sorak-sorai ini dijanjikan sebagai ruang untuk menautkan keluarga, menyulam budaya, dan menghidupkan semangat segulai sejalai yang menjadi nadi kebersamaan rakyat Bumi Kenyalang.
Seawal pagi, suasana karnival disemarakkan dengan pelbagai pengisian mesra keluarga. Pertandingan karaoke yang menyatukan suara rakyat, permainan pentas yang menghibur, serta sesi ramah mesra bersama barisan selebriti TV3 dan personaliti Media Prima. Di sisi lain, kerjasama strategik bersama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) membuka ruang pengunjung mendekati pelbagai agensi negeri seperti Jabatan Muzium, Lembaga Pelancongan Sarawak, Majlis Seni Sarawak, BeSarawak, Majlis Kraf Sarawak, serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak. Setiap reruai bukan sekadar mempamerkan informasi, tetapi menghidangkan pengalaman yang dekat di hati dari warisan hingga aspirasi belia.
Denai karnival ini dihiasi dengan aktiviti unik yang memikat pelbagai lapisan usia. NSTP Racing Sim Experience membolehkan pengunjung merasai pecutan adrenalin seolah berada di litar sebenar, sementara kanak-kanak akan terpikat dengan Soopa Doopa dan cabaran Spin Fighters. Sukan rakyat diberi wajah baharu melalui Bola Sepak Jalanan dan aktiviti Jom Memanah. Tidak kurang juga ruang peduli kesihatan dengan pemeriksaan kesihatan percuma, termasuk pemeriksaan kanser serviks, membuktikan karnival ini bukan hanya tentang hiburan, tetapi juga kesejahteraan masyarakat.
Di sudut lain, pengunjung dialu-alukan ke Studio Tonton Drama Sangat, sebuah ruang meriah yang menampilkan personaliti Media Prima seperti Mior Abdul Malik, Naz Habibur Rahman, Farah Nabilah Wazer, Fatin Hamimah, Asri Badrun, Fadzly Fuad, Barr Zaizan dan Syamira Nazir. Wajah-wajah drama kegemaran seperti Wanie Ooi, Mark Adam, Ezzanie Jasny, Apich Lo, Jazmy Juma dan Marsha Milan turut hadir menyapa peminat. Pengisian istimewa termasuk Pertandingan Ratu Etnik Drama Sangat (Ahad, 7 September, terbuka kepada peserta wanita berusia 18–35 tahun), Pertandingan Jaguh Kartun, dan kemunculan maskot tersohor Ejen Ali.
Seawal jam 9.00 pagi, pentas utama menyambut pengunjung dengan Zumba bersama KKM, diikuti pelbagai acara sihat. Pada malam Jumaat, 5 September, jam 9.00 malam, suasana bertukar syahdu dengan program Sembang Santai sempena Maulidur Rasul. Sesi santai namun penuh makna ini membawa renungan tentang sirah Rasulullah SAW, menyemai nilai murni dalam bentuk mudah difahami, dari kanak-kanak hingga dewasa.
Ketibaan malam Sabtu dan Ahad menjadi klimaks karnival. Konsert Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak yang dibawakan oleh U Mobile sebagai penaja utama. Dikendalikan hos penuh energi, Hanif Miswan dan Ayu (Hot FM), pentas ini menjelma gelanggang muzik tanpa tandingan. Sabtu, 6 September 2025: persembahan oleh Lan Solo, Marsha Milan, Ara Johari, Haiza dan Datuk Aishah. Ahad, 7 September 2025: giliran Floor 88, Wany Hasrita, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini serta Amir Jahari memukau dengan lagu-lagu penuh jiwa. Sorakan, nyanyian bersama, dan cahaya pentas yang membias ke langit malam akan menjadi memori yang sukar dihapuskan.
Tidak lengkap tanpa Kedai Jom Heboh, yang menawarkan barangan eksklusif daripada rangkaian TV Media Prima seperti t-shirt, topi, botol air, payung hingga koleksi Ejen Ali, semuanya sesuai dijadikan kenangan atau hadiah. Studio Jom Heboh pula menjanjikan pengalaman penuh interaktif: beramah mesra bersama penyampai radio Media Prima Audio, aktiviti karikatur, Emcee Cilik, bilik foto, servis henna, dan peluang memenangi hadiah percuma dengan hanya mengikuti Jom Heboh Official di Facebook, Instagram dan TikTok.
Hiruk-pikuk karnival tidak pernah lengkap tanpa aroma makanan. Love Food Festival hadir sebagai syurga kecil buat pencinta kuliner, menawarkan menu terkenal seperti Lamb Shank Chef Ammar, Bakso Beranak by Vicha, Cikidot dan pelbagai lagi hidangan viral yang menggoda selera. Kawasan santai yang disediakan menambah suasana mesra, sesuai untuk keluarga berkongsi juadah sambil menikmati muzik dan cahaya lampu.
Lebih daripada sekadar ruang Media Prima, lebih 100 reruai lain turut menghiasi karnival dengan promosi hebat dan hadiah eksklusif. Antaranya termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), F&N, Kewpie, Treatz Food, Affin Bank, Zus Coffee dan banyak lagi jenama ternama yang membawa tawaran istimewa buat pengunjung.
Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak 2025 adalah pesta yang menyulam hiburan, kulinari, ilmu, kesihatan dan nilai spiritual dalam satu naskhah besar kehidupan. Ia adalah ruang pertemuan jiwa antara masyarakat, selebriti, artis, agensi, dan keluarga. Warga Borneo, saatnya sudah tiba. Rakamkan detik ini, nikmati setiap sudut karnival, dan abadikan momen dengan tanda pagar rasmi #TV3SentiasaBersamamu dan #KarnivalJomHeboh. Dataran Petra Jaya menanti anda dengan janji riuh yang akan terus bergetar dalam ingatan.