
oleh: zizi hashim
Riuhnya Yogyakarta pada hujung November bukan sekadar gema festival seni; kota itu kini bernafas dengan pancaran industri filem Asia yang kembali berkumpul di JAFF Market 2025, sebuah platform yang semakin mengukuhkan dirinya sebagai mercu penting pertukaran idea, pelaburan dan kolaborasi serantau. Dari 29 November hingga 1 Disember, Jogja Expo Center berubah menjadi nadi pertemuan para produser, pemodal, distributor, studio besar, hingga bakat baharu yang sedang mencari ruang untuk karya mereka didengari dan dilihat jauh melepasi lingkup tempatan.
Gelombang tahun ini terasa lebih besar, dipacu oleh sokongan Amar Bank serta penyertaan Media Prima sebagai rakan promosi, sebuah langkah yang secara simboliknya memperkukuh jejak Malaysia dalam peta industri Asia. Di tengah pergerakan pesat kandungan Asia yang semakin diterima global, JAFF Market tampil seperti jambatan baharu yang menghubungkan potensi Malaysia kepada pembeli, pelabur dan rakan produksi dari Asia Tenggara hingga Asia Pasifik.


Sebagai hab profesional, ruang ini menghimpunkan penggiat industri dari pelbagai latar: penerbit, pemilik IP, pengarah, pengedar, platform penstriman dan pemain teknologi. Mereka bertemu, berbincang, menilai peluang, dan kadang-kadang dalam pertemuan yang kelihatan rawak, lahirlah idea kolaborasi yang mampu mengubah perjalanan sebuah projek.
Arah tahun ini lebih berani. Fokus terhadap pembangunan harta intelek merentas medium membuka peluang besar kepada pemilik buku, permainan video, muzik dan bahan kreatif lain untuk diangkat ke bentuk filem atau siri. Bagi vendor Malaysia, ruang sebegini amat bernilai; ia memberi laluan untuk katalog kandungan berkembang melalui adaptasi dan produksi bersama.
Salah satu detik paling dinantikan edisi 2025 ialah “THE NUSANTARA WAVE: The Rise of Indonesia–Malaysia Collaborations”, sebuah sesi yang melibatkan Komet Productions, Skop Productions, Magma Entertainment dan Red Communications. Ketibaan empat syarikat ini bukan sahaja memeriahkan wacana, malah menjadi pernyataan jelas bahawa hubungan kreatif antara dua negara serumpun kini memasuki fasa lebih matang, lebih strategik, dan lebih yakin untuk menembusi pasaran global.


Pencapaian edisi sebelumnya menggariskan kekuatan acara ini: lebih 6,700 pengunjung dari 19 negara, 1,054 profesional bertauliah, 151 peserta pameran serta 63 perjanjian bernilai IDR 36 bilion. Penganjur menjangkakan angka yang lebih tinggi pada tahun 2025, selari dengan minat antarabangsa terhadap kandungan Asia yang terus melonjak. Sebagai cabang industri kepada Jogja-NETPAC Asian Film Festival yang kini memasuki ulangtahun ke-20, JAFF Market meneruskan enam program terasnya:
Keberkesanan platform ini terbukti melalui kisah kejayaan edisi lalu: filem Pangku arahan Reza Rahadian terpilih ke program HAF Goes to Cannes, manakala tiga IP Malaysia–Indonesia, Bandits of Batavia, Jitu, dan Locust berjaya menembusi forum pitching di Cannes. Setiap langkah kecil yang bermula di JAFF Market kini menjalar jauh ke festival-festival dunia.

Acara tahun ini membawa kehangatan yang sukar dijelaskan, percampuran antara profesionalisme dan semangat komuniti yang tumbuh dari akar kreativiti Asia. Di tengah lautan peserta, pertemuan kecil sering melahirkan percikan inspirasi. Di setiap sesi pitching, degup harapan pembikin filem berbaur dengan optimisme rakan industri. Dan di hujung tiga hari yang padat, terukir kisah baharu tentang bagaimana kandungan Asia terus berkembang, berkembang, dan berkembang.
JAFF Market 2025 berdiri sebagai pintu menuju dunia yang lebih luas untuk Malaysia dan seluruh Asia. Dengan jaringan antarabangsa yang semakin terbuka, acara ini bukan hanya medan pertemuan, ia adalah lanskap masa depan industri yang sedang dibentuk bersama.