oleh: zizi hashim
Sekilas terasa mustahil sebuah filem mampu merangkul sekaligus 3 hal iaitu indera, logika dan jiwa, lalu meninggalkan bekas yang terus bertahan lama meski selepas layar gelap. Sore: Istri dari Masa Depan melakukan hal itu tanpa perlu bersolek berlebihan, sebaliknya ia membiarkan naratif, visual, dan emosi berjalan seiringan dengan kejujuran yang menusuk.
Pengalaman menontonnya bagai mengembara di antara realiti dan mimpi. Dari Croatia hingga ke Finland, dari aurora hijau-merah sehingga senja yang menenangkan, setiap landskap menjadi pantulan emosi watak-wataknya. Visualnya bukan sekadar hiasan, tetapi metafora perjalanan hubungan: hangat lalu dingin, rapuh lalu pulih, seperti musim yang terus berganti.
Sulit digambarkan dengan kata-kata ketika sebuah filem menjelma jadi pengalaman batin yang mendalam. Sore: Istri dari Masa Depan ialah filem semacam itu, hadir lembut namun menghentak, membuat kita merenung tentang cinta, waktu, dan kesanggupan manusia untuk berubah. Rasanya seperti duduk di persimpangan antara realiti dan kemungkinan, di mana setiap detik adalah ujian, dan setiap pilihan adalah doa yang digantungkan kepada masa.
Cerita bermula dengan Jonathan (Dion Wiyoko), lelaki yang hidupnya statik, tiba-tiba disapa oleh Sore (Sheila Dara), wanita yang mengaku sebagai isterinya datang dari masa depan. Kacau-bilau emosinya ketika rahsia paling peribadi seperti impian, kegemaran, luka lama dan banyak lagi diketahui begitu mendalam oleh seseorang yang tak pernah dikenalnya sebelum ini. Sore datang bukan untuk bernostalgia, melainkan membawa misi: menyelamatkan Jonathan daripada dirinya sendiri, meski harus memukul batas keselesaan.
Cinta dalam tafsir filem ini tidak hanya soal menerima. Ia juga keberanian untuk menegur, memaksa, bahkan melawan demi mempertahankan kehidupan bersama. Namun perubahan itu getir; Jonathan menolak, Sore bertahan, hingga keduanya jatuh-bangun di tengah lingkaran waktu yang tak kenal erti berhenti. Visual yang bukan sekadar pemandangan menawan, tetapi metafora bagi dinamika hubungan yang diwarnai kehangatan, kegetiran, pertengkaran, dan perdamaian. Malah, saya sendiri merasa seolah-olah alam itu ikut berbicara tentang naik-turunnya emosi Jonathan dan Sore.
Keistimewaan sutradara Yandy Laurens terletak pada caranya menggabung ramuan konsep time loop yang lazimnya kaku menjadi naratif puitis. Tiga babak filem ini mengalir bagai kanvas yang dilukis dengan warna senja, irama Barasuara lewat Terbuang Dalam Waktu, hingga dialog sederhana yang justeru menggoncang batin. Tidak ada potongan sia-sia, semuanya terikat dalam ritma yang tulus.
Saya sempat membandingkannya dengan filem seram Indonesia yang sering berulang pada formula lama. Di Sore, seram terbesar bukan makhluk ghaib, melainkan ketakutan kehilangan orang paling dikasihi, serta rasa gagal menyelamatkannya. Dan justeru kerana itu, rasa ngerinya lebih melekat, lebih dekat dengan realiti sekaligus menjadikan filem ini jauh lebih relevan dan menyentuh.
Filem ini dengan indah menyingkap paradoks cinta. Ia menunjukkan bahawa cinta sejati tidak cukup hanya menerima, tetapi juga menuntut keberanian untuk menegur, memaksa, bahkan melawan demi masa depan bersama. Jonathan yang keras kepala kerap menolak, sementara Sore tetap bertahan dengan segala luka dan air matanya. Pergelutan mereka seakan melukiskan realiti banyak pasangan bahawa mencintai tidak pernah statik, ia adalah usaha tanpa henti untuk tumbuh bersama.
Sheila Dara dan Dion Wiyoko memberi nyawa pada watak mereka dengan keintiman yang terasa nyata membuat saya benar-benar percaya akan kisah mereka. Kemistri mereka fleksibel, natural, tanpa dibuat-buat, kadang getir, kadang hangat, seperti pasangan sejati yang diuji masa. Mereka bertengkar, bercanda, lalu berpelukan dengan kehangatan yang begitu manusiawi. Yandy Laurens, yang pernah mencipta Keluarga Cemara dan Jatuh Cinta Seperti di Film-Film, kini mencapai puncak baru dengan menghadirkan waktu sebagai karektor ketiga yang setia menguji, menunda, lalu mempertemukan semula. Saya turut merasa lelah, sebagaimana watak utama tetapi tetap setia bertahan utuh untuk menanti kesudahan cerita nanti apa adanya.
Melihat konflik Sore dan Jonathan, saya hanya mampu terdiam lama. Ada rasa syukur bercampur kehilangan, ada harapan bercampur nestapa. Filem ini tidak berhenti di layar; ia melanjutkan perjalanannya dalam benak dan dada. Seakan-akan Yandy ingin mengingatkan bahawa kesempatan kedua selalu berharga, tetapi tidak selamanya tersedia. Tatkala kredit akhir muncul, saya tidak hanya merasa puas, tetapi juga dilanda keheningan panjang. Ada rasa haru yang sulit dinamakan, sedikit kerinduan akan sesuatu yang bahkan tidak pernah saya alami. Itulah kehebatan Sore, ia berbicara kepada jiwa, melampaui logika, melampaui naratif.
Filem ini mula tayang di pawagam Malaysia pada 25 September 2025. Dan bagi saya, ia bukan hanya filem yang harus ditonton, tetapi harus direnungkan. Kerana Sore bukan kisah tentang pasangan semata, melainkan tentang kita semua yang pernah mencinta, terluka, dan masih berharap diberi satu kesempatan lagi oleh waktu. Sebuah filem tentang cinta yang menuntut sabar, tentang masa yang kejam, tentang luka yang mengajarkan kita bertumbuh. Kalau menurut saya, menontonnya adalah suatu pengalaman yang sukar diulang, tetapi layak disimpan seumur hidup.
Jangan biarkan kesempatan ini berlalu. Rasakan sendiri magis visual Croatia, kehangatan lakonan Dion Wiyoko dan Sheila Dara, serta sentuhan puitis Yandy Laurens yang begitu autentik. Pergilah ke pawagam, izinkan diri anda larut dalam alur waktu yang berputar, dan bawalah pulang renungan yang mungkin akan mengubah cara anda memandang cinta setelah usai.