Misi Penyamaran Paling Gila 'Agak Laen: Menyala Pantiku' Betul-Betul Kasi Pecah Panggung!

oleh: zizi hashim

Tiba sebagai kejutan yang hangat, membawa aura segar di tengah deretan filem yang sering mengejar sensasi berlebihan, Agak Laen: Menyala Pantiku, filem garapan sutradara Muhadkly Acho ini berdiri sebagai karya yang yakin pada dirinya sendiri. Lebih matang, lebih rapi, lebih berani dan jauh lebih kelakar daripada pendahulunya. Yang paling saya suka ialah sekuel ini tidak terikat pada filem pertama, namun tetap membawa roh yang sama: kelucuan liar, karektor yang polos tetapi menyentuh hati, serta pendekatan jenaka yang tak pernah malu menjadi kacau-bilau.

Empat detektif yang huru hara tetapi dicintai ramai: Bene, Oki, Jegel dan Boris kini berada dalam misi paling gila sepanjang hidup mereka. Selepas gagal dalam tugasan terdahulu hingga mencederakan anak saudara ketua polis sendiri, mereka diberi peluang terakhir: menyamar sebagai petugas di sebuah rumah jagaan untuk memburu pembunuh Dylan yang dikatakan bersembunyi di situ. Dan di sebalik misi itu, masing-masing membawa beban hidup sendiri, desakan kewangan dan ketakutan kehilangan kerja yang menjadi igauan.

Premisnya tampak lucu pada permukaan, tetapi jauh di bawahnya ada sesuatu yang jauh lebih rumit. Rumah jagaan itu bukan latar kosong; ia menjadi tempat pertembungan trauma lama, kesunyian, dan masa lalu yang menghantui setiap penghuni. Filem ini, dengan penuh berani, merakam pertemuan antara kekacauan komedi dan keperitan batin usia senja. Saya tidak sangka akan terkesan sebesar ini; namun begitulah Menyala Pantiku! ia memikat bukan dengan kelembutan, tetapi dengan kejujuran yang datang tiba-tiba di tengah riuh tawa.

Momentum cerita perlahan-lahan bertukar menjadi perjalanan penuh kekalutan ketika mereka menyamar sebagai petugas di rumah orang tua. Segala yang sepatutnya tersusun langsung runtuh oleh aksi impulsif dan tingkah karut mereka. Para penghuni rupanya jauh lebih misteri daripada yang dibayangkan: licik, penuh teka-teki, sekaligus menyimpan sisi manusiawi yang mengharukan. Dari lorong sempit hingga ruang rehat yang sunyi, setiap pertemuan membawa gabungan humor dan renungan yang jarang dimiliki filem komedi tempatan.

Humornya? Brutal. Tidak memberi ruang untuk nafas. Punchline bertubi-tubi lagi dan lagi, ad-lib para pelakon yang terasa spontan, serta timing komedi yang seolah-olah sudah terlatih berpuluh tahun. Saya mendengar pawagam meledak dengan tawa yang panjang, tawa yang tinggi, tawa yang membuat kerusi bergegar. Ada momen yang membuat satu panggung serentak terlompat, bukan kerana takut, tetapi kerana kejutan komedi yang sangat 'pecah kepala otak' dan saya tak hairan adegan itu kini dilabel sebagai golden scene 2025.

Tenaga menular dari set ke penonton bukan hanya datang dari humor slapstik atau punchline deras, tetapi dari kemampuan naskahnya menggabungkan misteri whodunnit dengan satira sosial. Jenayah pembunuhan anak wali kota membuka ruang penyiasatan yang betul-betul rapi, membuat penonton meneka, salah teka, dan kemudian ketawa kerana terlalu cepat menyimpulkan. Di antara dua dunia, jenaka yang menggila dan penyiasatan yang memutar otak, Acho membuktikan bahawa komedi pun boleh berdiri megah tanpa mengorbankan kualiti cerita.

Bene Dion membawa karisma polos yang membuat penonton ingin memeluk sekaligus menggelengkan kepala. Oki dan Jegel memperlihatkan tenaga raw yang tidak dapat diramal. Namun sorotan terbesar jatuh pada Boris Bokir, yang kali ini memikul arc emosional paling mendalam. Keresahannya sebagai seorang ayah yang terpisah daripada keluarga terasa menampar lembut jiwa, memberi lapisan manusiawi pada filem yang sering membuat penonton meletus tertawa. Di titik tertentu filem ini membuat seluruh panggung senyap kemudian meledak kembali dalam gelak ketika dunia yang berat diringankan dengan cara yang begitu jujur.

Penghuni rumah jagaan dilakonkan oleh legenda seperti Chew Kin Wah, Jarwo Kuat, Jajang C. Noer dan lain-lain, bukan sekadar pelengkap. Mereka magnet kepada misteri filem ini. Setiap daripada mereka tampak mencurigakan. Setiap dialog membawa petunjuk kecil yang menyesatkan. Inilah kekuatan whodunit yang sejati: ia membuat penonton merasa cerdas sambil tetap dikelabui. Dan semuanya dibalut sinematografi cerah yang memberi ruang bagi komedi berkembang tanpa kehilangan nuansa dramatik.

Saya harus memuji kerja kamera dan long take koreografi aksi Boris dan Oki, penuh tenaga dan gaya, tetapi tetap lucu, seakan kita sedang menonton dua orang dewasa yang terperangkap dalam tubuh watak kartun. Di saat-saat tertentu, saya lupa bahawa ini filem komedi; kerana komposisi visualnya begitu rapi dan penuh karektor.

Dan tidak terlupa: cameo Gita Bhebhita, interaksi tak masuk akal si Jegel dengan Acim, serta dinamika empat sekawan yang terasa seperti keluarga sendiri. Mereka bukan hanya lucu: mereka rapuh, mereka cuba berubah, mereka mahu membuktikan nilai diri mereka. Di situ letaknya denyut emosional yang membuat filem ini bukan hanya komedi, tetapi pengalaman.

Watak-watak filem ini ramai yang masuk air, kelakar dia memang tak boleh tahan, sampai cramp perut weh! Walaupun banyak scene kelakar, tetapi bila diselit drama masing-masing, boleh rasa kesedihannya. Kekurangan? Tiada, kalau tanya saya. Filem paling pecah yang saya pernah tonton setakat ini. Rugi kalau tak pergi tonton di pawagam, pengalaman dan nuansa gamat panggung membuat bulu roma meremang meski tidak menonton filem seram.

Ketika akhir filem mendekat, suasana dalam pawagam terasa seperti sebuah selimut hangat. Ada tawa yang tinggal di udara, ada kesedihan manis yang mengalir perlahan, ada rasa puas kerana telah menonton sebuah karya yang dibuat dengan cinta dan kesungguhan. Menyala Pantiku! bukan sekadar sekuel yang lebih baik daripada filem pertama. Ia mencari nada sendiri, memahat tempatnya sendiri, dan akhirnya berdiri sebagai salah satu komedi terbaik yang pernah dihasilkan Indonesia.

Saya keluar dari panggung dengan perut yang masih tegang kerana terlalu kuat ketawa, tetapi juga hati terasa lebih ringan. Ada sesuatu tentang filem ini yang menyembuhkan bahawa hidup, walau sepahit apa pun, selalu memberi ruang untuk humor, untuk memperbaiki diri, untuk menyayangi lagi. Dan mungkin itu sebabnya karya ini menyambar begitu banyak hati. Ia lucu, tetapi jujur. Riuh, tetapi lembut. Kacau, tetapi sangat manusiawi. Tayangan di pawagam Malaysia bermula 4 Disember 2025 dengan durasi 2 jam, anda tidak akan rasa lama, malahan terlalu sekejap. Tak percaya? Jom tengok wayang!