Tentang Sisa-Sisa 'Memori' Ayah Dan Anak Di Skenario Waktu Yang Masih Tertinggal Sebelum Usai

oleh: zizi hashim

Saya masih ingat dengan jelas detik-detik ketika ibu saya mulai lupa nama saya dan siapa saya. Hari demi hari, wajahnya tetap sama, tapi pandangan matanya jadi sangat asing. Sejak ibu saya sendiri mengidap Dementia beberapa tahun lalu, kehidupan saya berubah sepenuhnya. Penuh cabaran, penuh kesabaran dan penuh air mata. Siapa yang tidak sedih apabila ibu sendiri tidak kenal siapa kita, malahan sangat membenci saya sehingga pernah suatu ketika, saya rasa bagai nak gila. Ibu buat saya macam orang asing yang dia tidak pernah lahirkan ke dunia. Hari-hari terasa panjang, tapi ingatan ibu semakin pendek. Dan apabila saya tonton MEMORI, filem ini mencerminkan pengalaman sebenar itu dan membongkar luka-luka kecil yang selama ini saya simpan diam-diam.

Di bawah tangan kreatif sutradara Abid Hussain, Memori mengangkat kisah Dr. Hassan, seorang doktor bersara yang perlahan-lahan kehilangan ingatannya akibat peringkat awal Alzheimer. Selepas kematian isterinya, dia pulang ke kampung halamannya di Kuala Terengganu, membawa pulang beban masa silam yang belum pernah dirungkai. Pada masa yang sama, anak lelakinya Imran, seorang pengarah kreatif yang berjaya tetapi tertekan pelbagai masalah, pulang dengan harapan mahu membina semula hubungan mereka yang renggang. Namun realitinya, hubungan itu tidak semudah yang disangka. Luka lama, rasa bersalah dan jurang emosi yang telah bertahun-tahun dibiarkan menjadi dinding tebal di antara mereka berdua.

Abid Hussain, dalam karya sulungnya sebagai pengarah filem, menghimpun serpihan jiwa, tentang warisan emosi yang kita warisi tanpa sedar, tentang dendam dan ketakutan yang menjadi dinding antara seorang anak dan bapanya, dan tentang memori yang kian lapuk namun tetap cuba diselamatkan sebelum semuanya larut dalam gelap. Terletak di pesisir Kuala Terengganu yang disulami cahaya senja dan desir ombak, visual filem ini bukan hiasan semata. Ia menjadi latar bagi pertelingkahan emosi antara Dr. Hassan, watak yang dilakonkan dengan sangat mendalam dan cemerlang oleh Dato’ Hilal Azman, dan anaknya, Imran (Hisyam Hamid), yang pulang bukan hanya untuk menjaga, tetapi juga untuk menggali semula rasa kasih yang telah terkambus dek jarak dan waktu.

Sebagai penjaga kepada pesakit Dementia/Alzheimer, saya dapat rasakan setiap kekeliruan dan frustasi yang dipamerkan. Filem ini tidak hanya bercerita dari sudut pesakit malahan juga mengangkat sudut pandang penjaga yang saban hari berperang dengan kesabaran, keletihan, dan rasa bersalah. Apa yang filem ini lakukan dengan begitu telus ialah meletakkan kita dalam kasut dua-dua pihak, tanpa menghakimi. Kita lihat dunia dari mata si ayah yang sedang tenggelam dan hilang arah, dan si anak yang masih cuba berenang melawan arus kenangan silamnya. Banyak babak dalam filem ini yang membuatkan saya teringat pada situasi sebenar di rumah, apabila orang yang paling saya sayang mulai keliru, mulai ulang-ulang soalan yang sama, mulai lupa jalan balik ke bilik sendiri. Dan sebagai penjaga, saya terkadang hilang sabar, selalu rasa bersalah dan kerap menangis sendirian.

Dato’ Hilal Azman benar-benar memberi nyawa kepada watak Dr. Hassan. Tidak hairanlah beliau memenangi anugerah Pelakon Terbaik di Asia Pacific Film Festival tahun ini. Lakonannya tidak berlebihan, tapi cukup kuat untuk membuat penonton memahami keperitan seorang manusia yang tidak sedar dirinya sedang dilupakan oleh dunia dan lebih teruk lagi, oleh dirinya sendiri. Dengan kekuatan yang tenang, setiap gerak-geri dan lirikan mata, menggambarkan kesakitan pesakit Alzheimer yang sedang dihimpit rasa takut, keliru dan hilang arah, tanpa perlu kata-kata berlebihan. 

Hisyam Hamid dan Diana Danielle juga memberikan persembahan yang meyakinkan, saling melengkapi dinamika keluarga yang sedang berdepan keretakan. Sejujurnya, saya akui pesakit Alzheimer bukan sahaja perlu disokong secara fizikal, tetapi juga emosi mereka harus dijaga. Begitu juga dengan penjaga, kita pun perlukan ruang, bantuan dan sokongan. Penat itu bukan sesuatu yang boleh dielak, tapi ada jalan untuk meringankannya.

Imran adalah gambaran anak yang ramai antara kita mungkin boleh relate. Terlalu lama jauh dari rumah, terlalu lama memendam rasa kecewa terhadap seorang ayah yang tidak tahu cara menunjukkan kasih sayang. Dan bila dia akhirnya pulang, dia terpaksa berhadapan bukan hanya dengan bapanya yang makin lupa, tapi juga dengan kenangan yang selama ini dia cuba padamkan dari kotak ingatan. Konflik ini yang menjadi nadi sebenar Memori, kisah pergelutan dua lelaki yang tidak tahu cara untuk saling kembali mendekati.

Menambah dimensi emosi ialah kehadiran Rina, isteri Imran yang hampir berpisah dengannya, namun masih hadir sebagai suara waras dan penyambung yang diam-diam membantu Imran untuk berani berdamai. Meski sedang mengalami keretakan rumah tangga, dia tetap berdiri sebagai cermin kepada kekeliruan emosi Imran. Diana Danielle membawakan watak ini dengan tenang dan realistik, menjadi figura yang tidak menenggelamkan cerita, tapi menyulam lapisan empati dalam babak-babak penting.

Manakala Mamat, sahabat lama Imran lakonan Anas Ridzuan, menjadi penghubung kepada memori yang nyaris lenyap. Butiran seperti memori fotografik Mamat bukan sekadar perincian, tetapi metafora halus tentang bagaimana kita kadang-kadang perlu bantuan orang luar untuk mengingatkan siapa diri kita yang sebenar. Visual Kuala Terengganu menjadi latar sempurna. Pantai, langit mendung, ombak, semua elemen ini tak hanya cantik, tapi melambangkan memori yang semakin kabur, dan masa yang terus berjalan meskipun kita belum bersedia. Sinematografi oleh Hafiz Rashid sungguh memukau, menyokong naratif dengan puitis yang tak dibuat-buat. Setiap sudut, setiap gerak kamera seolah-olah mengikut denyut nadi keluarga ini. Perlahan, rapuh, tetapi jujur.

Ada juga sisi yang sedikit mengecewakan. Filem ini tidak menyelami dengan cukup mendalam tahap progresif Alzheimer. Tidak menggambarkan bagaimana fungsi kognitif dan fizikal pesakit akan terus merosot hingga hilang sama sekali. Saya berharap filem ini menyentuh sedikit lebih dalam tentang tahap progresif Alzheimer, kerana hakikat sebenar lebih kompleks dan mencabar. Realitinya, Alzheimer tidak berhenti setakat pelupa, ia boleh melumpuhkan fungsi tubuh, merosakkan emosi dan menghakis keperibadian pesakit hingga tinggal tubuh sahaja. Bila pesakit mulai hilang semua itu, justeru ia menjadi ujian paling besar buat seisi keluarga.

Namun saya memahami pilihan naratif itu. Fokusnya bukan pada dokumentasi perubatan, tetapi lebih kepada hubungan, pada luka dan harapan yang mengikat dua jiwa. Memori berjaya membentuk landskap psikologi watak-wataknya secara perlahan, penuh sabar. Suntingannya halus dan tenang, seperti minda yang cuba menyusun semula potongan hidup yang berserakan. Filem ini tidak terburu-buru mengajarkan pengampunan atau rekonsiliasi. Sebaliknya, ia membiarkan penonton merasa sendiri pergelutan itu, untuk memahami, untuk menerima, dan akhirnya, untuk melepaskan.

Memori juga memberi peringatan penting tentang ketiadaan ubat atau penawar untuk menyembuhkan Alzheimer. Hanya dari cara kita menjaga, berkomunikasi dan menyusun semula kehidupan pesakit boleh membawa ketenangan buat mereka. Dan itu, pada saya, adalah fasa penyembuhan yang paling ikhlas. Sebagai seseorang yang pernah berada di posisi seorang penjaga, Memori adalah naskhah penting. Ia bukan sahaja mengajak kita memahami pesakit Alzheimer, tetapi juga menunjukkan betapa rumit dan tersepitnya emosi si penjaga. Penatnya bukan fizikal semata, tetapi juga mental dan jiwa.

Memori menutup layar bukan dengan jawapan, tetapi dengan pertanyaan. Apa yang sebenarnya kita inginkan daripada mereka yang kita sayang? Ingatan mereka atau kehadiran mereka? Dan yang lebih penting, bagaimana caranya untuk kita menjadi penjaga tanpa menjadikan diri sendiri tawanan? Saya keluar dari pawagam malam itu dengan mata yang berat dan hati yang merintih. Dalam linangan airmata, saya cuma mampu mendoakan, bukan hanya buat watak-watak dalam filem, tetapi buat semua penjaga dan pesakit Alzheimer/Dementia di dunia nyata. Kerana mereka wujud dan mereka sangat memerlukan kita.

Memori mula ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 31 Julai 2025. Saya sarankan kepada semua terutama yang pernah berhadapan dengan orang tua yang uzur, yang pernah renggang dengan keluarga, atau yang pernah takut menyentuh semula luka lama, tontonlah dengan hati. Filem ini mengingatkan kita bahawa sebelum semuanya hilang, masih ada masa meski tak banyak untuk kembali menjadi anak, dan untuk memaafkan seorang ayah. Fahamilah penyakit ini, lihat sendiri bagaimana kasih sayang tetap masih boleh bertahan meski ingatan semakin menghilang.