oleh: zizi hashim
Mempermainkan batas antara realiti dan paranoia yang benar-benar menggetarkan, Drop, filem arahan sutradara Christopher Landon, bukan sahaja menambah satu lagi naskhah dalam genre thriller psikologi, tetapi juga mencuit kebimbangan yang selama ini kita simpan jauh dalam bawah sedar bahawa teknologi yang memudahkan hidup sebenarnya mampu menjadi alat pembunuh senyap. Tepat, licik, dan tidak berwajah. Saya melangkah masuk ke panggung dengan rasa ingin tahu yang tinggi setelah menonton trailer teaser. Judulnya ringkas – Drop – dan dari sinopsis, ia kelihatan seperti satu lagi filem tentang temu janji yang berakhir dengan kekacauan.
Cerita bermula dengan Violet Gates, watak utama yang dilakonkan oleh Meghann Fahy dengan kehalusan yang sukar dicipta semula. Seorang ibu tunggal, luka masa silam masih mengiringi langkahnya, namun beliau memberanikan diri untuk kembali ke dunia percintaan. Satu keputusan kecil, satu temujanji yang akhirnya membawanya ke dalam perangkap yang tidak terduga. Saya duduk memerhatikan wataknya, dan entah bagaimana, terasa dekat. Mungkin kerana dia bukan heroin yang sempurna. Dia takut, dia ragu, dia keliru. Sama seperti kita semua bila diuji di luar kemampuan.
Apa yang benar-benar mencengkam ialah bagaimana elemen teknologi digunakan dalam filem ini. Landon, yang cukup dikenali dari filem Happy Death Day, jelas sangat tahu cara memanipulasi klise, dan kali ini dia menyuntik sinisme yang tajam terhadap kebergantungan kita pada gajet. AirDrop, fungsi yang kita biasa guna untuk berkongsi gambar kucing atau nota kerja, diangkat menjadi senjata ancaman dan saya rasa itu satu premis yang cemerlang. Sinis, ya. Tapi juga sangat relevan.
Apabila Violet mula menerima mesej-mesej aneh melalui DigiDrop, saya rasa jantung saya berdegup seiring dengan wataknya. Apa yang mula-mula kelihatan seperti usikan berubah menjadi mimpi ngeri. Bila muncul gambar rumahnya sendiri, rakaman lelaki bertopeng di dalam ruang tamunya dan kemudian arahan yang paling gila. Bunuh pasangan temujanjinya, atau anaknya akan dibunuh. Di sinilah saya benar-benar masuk ke dalam filem ini, bukan sebagai penonton, tetapi sebagai jiwa yang bergelut bersama Violet, mengimbangi rasa takut dan tanggungjawab, logik dan naluri.
Dalam ruang restoran yang sempit itu, filem ini berubah menjadi pentas sandiwara yang penuh teka-teki. Saya... dan saya yakin ramai penonton lain, mula membuat teori sendiri. Mungkinkah pelayan yang ramah itu sebenarnya bukan siapa yang dia dakwa? Atau pemain piano yang kelihatan terlalu selesa? Mungkin pelanggan di meja hujung yang tak henti-henti menunduk ke telefonnya? Filem ini menyemai kecurigaan dalam setiap gerak-geri kecil, dan saya sukakannya.
Saya juga tertarik dengan keberanian Landon untuk bereksperimentasi secara visual. Bila teks-teks DigiDrop muncul besar di skrin, seolah-olah kita membaca terus dari kaca mata Violet, saya rasa seperti berada di tempatnya. Sendirian, terdesak, dan dilihat oleh mata yang tidak kelihatan. Namun saya akui, selepas beberapa kali, gaya ini mula terasa sedikit berlebihan, seakan-akan kehilangan impak asalnya.
Dan seperti banyak filem thriller, klimaksnya, meski masuk akal dan tersusun, tidak sepenuhnya meninggalkan kesan mendalam. Tatkala identiti sebenar dalang didedahkan, saya tidak terkejut. Tidak kecewa, tetapi juga tidak teruja. Mungkin kerana saya terlalu berharap akan sesuatu yang lebih kompleks, lebih gelap. Tapi, seperti hidup kita, kebenaran tidak selalu dramatik. Kadangkala ia cuma... nyata.
Yang menyelamatkan keseluruhan pengalaman bagi saya ialah lakonan Meghann Fahy. Dia bukan protagonis yang keras, tetapi itulah keistimewaannya. Berjaya menghidupkan watak dengan penuh nuansa, dari seorang wanita biasa yang diheret ke dalam situasi luar biasa. Emosi yang ditampilkan tidak pernah berlebihan, malah seringkali cukup dengan sorotan mata atau desah nafas yang tertahan. Dalam getar suara, dalam renungan matanya yang berkaca, ada kekuatan senyap yang mengakar dari rasa cinta seorang ibu.
Saya percaya setiap tindakannya, walaupun kadang bertentangan dengan logik, kerana saya faham ketakutan itu tulen, dan keberanian seringkali lahir dari sudut paling gelap dalam hati kita. Meski wataknya tidak sempurna, namun sebenarnya di situlah letaknya keindahan. Realistik, rapuh, tetapi nekad.
Selepas filem tamat dan lampu panggung dinyalakan, saya duduk sebentar. Tidak kerana terlalu kagum, tetapi kerana masih dilingkari oleh sisa rasa yang filem ini tanam. Drop mungkin bukan magnum opus dalam genre thriller, tetapi ia adalah sebuah filem yang berani, bijak, dan relevan. Dengan premis yang unik iaitu penggunaan AirDrop sebagai alat ugutan digital, ia mempersoalkan sempadan antara privasi dan ancaman dalam dunia yang semakin terbuka. Ia juga memberi peringatan senyap bahawa dalam dunia serba canggih, ancaman tidak semestinya datang dari lorong gelap, kadangkala ia datang dari paparan skrin dalam genggaman.
Kalau menurut saya, Drop bukan filem yang sempurna, tetapi ia menyentuh sesuatu yang peribadi. Kebimbangan saya terhadap dunia yang semakin telus tetapi penuh potensi ancaman. Anda sudah tonton? Tayangan di seluruh pawagam Malaysia bermula pada 17 April 2025. Percayalah, selepas menontonnya, jangan terkejut kalau anda tiba-tiba terasa was-was untuk mengaktifkan AirDrop anda di tempat awam. Siapa tahu, mesej seterusnya mungkin bukan dari rakan tetapi dari seseorang yang sedang memerhatikan anda dari meja sebelah.