Budaya Buli Membunuh, 'Attack 13' Kupas Realiti Yang Tak Pernah Sembuh

oleh: zizi hashim

Bayangkan duduk di depan cermin retak. Imejnya hancur, berserakan, tapi tetap memantulkan wajah kita yang sebenar. Itulah yang saya rasa ketika menonton filem seram Thai terbaru 'Attack 13'. Taweewat Wantha, sutradara Death Whisperer, kembali dengan sesuatu yang jauh lebih kejam: bukan sekadar filem seram, tetapi sebuah sindiran sosial yang menikam tajam.

Menyingkap luka yang sering kita pandang sebelah mata, buli bukan sekadar 'budaya nakal sekolah', sebaliknya ia adalah virus yang memusnahkan jiwa dan Attack 13 membuktikan bahawa sekiranya dibiarkan, ia akan menjelma menjadi raksasa yang tidak boleh dikawal. Menonton filem ini menyalakan api kebencian saya terhadap budaya buli yang sudah sekian lama berakar malah semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Cerita bermula dengan Jindahra, pelajar yang baru berpindah dan menyertai pasukan bola tampar sekolah. Dari awal lagi, kita diperkenalkan kepada Bussaba, sang ratu sekolah yang berkuasa. Cantik, popular, disanjung guru, malah digilai ramai lelaki tetapi hatinya busuk. Keberaniannya hanya wujud bila menyerang yang lemah. Di sebalik senyuman manisnya, tersembunyi kekejaman. Dia membuli tanpa belas, mangsa yang seringkali menjadi targetnya ialah Hong, Orn, dan Yah yang malangnya terpaksa berhadapan dengan sikap toksik Bussaba.

Saya bengang sejak awal, bukan sahaja pada Bussaba, tetapi pada sistem di sekelilingnya. Guru yang pura-pura buta. Ibu bapa yang entah di mana. Kawan-kawan yang hanya mampu tunduk. Betapa akrabnya situasi ini dengan realiti kita sendiri. Secara tiba-tiba, Bussaba ditemui mati tergantung di gelanggang sekolah. Adegan itu meremangkan bulu roma meski ada kepuasan kecil “padan muka”, bisik hati saya. Tetapi Attack 13 tidak membiarkan saya duduk selesa dengan rasa itu kerana kematian Bussaba hanyalah permulaan.

Roh Bussaba kembali. Tidak sebagai korban, tetapi sebagai hantu pendendam. Ironinya, si pembuli kini menuntut balas, menambah kengerian dengan dendam yang membara. Di sinilah genius Wantha terserlah: dia menolak formula 'hantu memburu pembuli' sebaliknya menterbalikkan logika. Filem ini berkata: kejahatan tidak mati dengan kejahatan; ia hanya bertukar bentuk.

Kalau kebanyakan filem seram Thai kebelakangan ini bermain dengan sejarah, kostum klasik, atau kesinambungan francais, Attack 13 terasa muda, marah, penuh tenaga generasi baru. Ia pantas, bergaya, dan tahu apa yang penonton remaja mahukan: teriak, gelak, dan tetap pulang dengan kepala penuh persoalan. Pawagam jadi riuh. Saya sendiri rasa pengalaman menonton filem ini lebih semacam ritual kolektif. Jerit sama-sama, terdiam sama-sama, marah sama-sama. Ia jadi fenomena kecil, terutama di kalangan penonton muda.

Dari sudut teknikal, filem ini menakjubkan dengan visual dan atmosfera yang menghantui. Sinematografi tona biru dingin untuk kelas, warna pekat untuk malam, menjadikan sekolah seperti medan trauma. Babak home invasion dengan kamera horizontal benar-benar buat saya terpaku. Indah tetapi menakutkan. Efek khas pula tampak praktikal dan digital seimbang. Hantu Bussaba tidak kelihatan plastik, dia muncul dengan tubuh yang patah, mata membara, cukup untuk membuat perut saya mual.

Manakala sound design tidak menghadirkan jumpscares murahan. Kadang-kadang bunyi tapak kaki kosong di koridor lebih menghantui daripada jeritan hantu. Saya rasa inilah inti yang membuat Attack 13 begitu kuat. Ia bukan sekadar nak seramkan penonton, tetapi mahu kita renung. Apabila buli dibiarkan berleluasa, ia tidak mati malahan semakin membiak. Dan akhirnya, semua orang akan terlibat samada sebagai mangsa, pelaku, atau saksi yang memilih diam.

Sejujurnya, ada rasa kecewa. Bukan pada filem, tetapi pada dunia yang membiarkan ini terjadi. Attack 13 membuat saya sedar betapa mudah kita ketawa pada 'budak nakal' tanpa nampak luka orang lain. Betapa sering kita hanya menonton, tidak menolong. Filem ini memang ada kekurangan dari segi subplot yang longgar, ada juga babak melodrama yang berlebihan. Tetapi adakah saya peduli? Tidak. Kerana mesejnya sampai. Kerana saya masih terdengar bisikan Bussaba: kalau kau diam, kau pun bersalah.

Attack 13 ialah filem seram yang berani, pantas, ganas, emosional, dan penuh amarah. Ia bukan hanya hantu menakutkan, tetapi cermin pada zaman. Saat lampu pawagam dinyalakan, kita harus tanya diri sendiri: adakah kita juga sebahagian dari lingkaran ini? Itu kekuatan sebenar sebuah naskhah. Dan kini saya tertanya-tanya, beranikah kita menghentikan budaya buli dalam hidup nyata sebelum generasi kita sendiri dirasuk dendam?

Cukup-cukuplah kita pura-pura tak nampak apa makna buli yang semakin jadi darah daging. Attack 13 adalah tamparan di muka, jeritan dari jiwa yang luka. Penonton bukan hanya akan nampak hantu, bahkan akan nampak kebenaran yang kita sendiri takut akui iaitu keganasan melahirkan keganasan. Filem ini tidak beri ruang untuk kita sekadar duduk diam, ia paksa kita fikir, ia paksa kita rasa, ia paksa kita muhasabah.

Jadi, jangan berlengah. Attack 13 bakal menghantui pawagam seluruh Malaysia bermula 28 Ogos 2025, dengan durasi padat penuh jeritan 1 jam 45 minit. Pergi tonton. Rasai kekecewaan dan ketakutan ini. Dan tanya diri sendiri, adakah kita juga sedang menutup mata pada 'hantu' yang masih hidup di sekolah, di lorong, di sekeliling kita? Ini bukan sekadar hiburan. Ini amaran.