'Legasi: Bomba The Movie' Tayangan Aksi Tentang Marabahaya Api, Konflik Emosi Dan Paparan Realiti Berani Mati

oleh: zizi hashim

Satu penghormatan kepada keberanian dan pengorbanan insan-insan yang sering kita lupakan dalam kehidupan seharian. Satu pengalaman emosi yang membuka mata tentang dunia wira berbaju merah yang sering kita pandang dari jauh. Amir, lakonan penuh jiwa oleh Ben Amir, berdiri di tengah pusaran api, tragedi, dan trauma silamnya. Melalui kisahnya, saya dibawa masuk ke dalam kancah perjuangan sebenar pasukan wira merah. Harapan saya ingin melihat babak-babak dramatik, dipenuhi dengan rasa hormat dan mata sedikit berkaca. Legasi: Bomba The Movie (2025) menurut saya bukanlah tontonan ringan, tetapi menyalakan kesedaran tentang betapa rapuhnya hidup dan betapa mulianya keberanian.

Membawa saya dekat kepada Amir yang tangkas memadam api, digerakkan dalam misi-misi penyelamatan berbahaya. Babak awal di Gunung Kinabalu membuka layar dengan getir; Amir bersama sahabat seperjuangan, Eddy, bergelut dengan cuaca dan risiko nyawa demi membawa pulang sekumpulan remaja yang hilang. Adegan dramatik itu memperlihatkan prosedur sebenar, disulami kecekapan skuad helikopter AW189, menjadikan pengalaman menonton terasa dokumentari. Langit berkabus, setiap detik tegang, dan kita melihat bagaimana keberanian Amir dan Eddy menjadi benteng tipis antara hidup dan mati.

Namun, saat kegembiraan meraikan kejayaan hadir tragedi merobek jiwa. Letupan gas meragut nyawa Eddy di depan mata Amir. Tiba-tiba Amir yang tangkas menjadi rapuh, dihantui rasa gagal meski telah menyelamatkan banyak nyawa. Dari situlah luka batin menjadi beban, dan filem ini menyalin denyut emosi seorang wira yang tidak kebal. Hati saya sendiri juga terasa direntap. Kehilangan itu terasa begitu peribadi; saya tidak kenal mereka, tetapi ikatan persaudaraan yang dipaparkan membuat saya turut tersentuh, kerana kehilangan seperti itu nyata: wira menyelamatkan ramai, tetapi siapa yang menyelamatkan hatinya sendiri?

Ketika api menyambar menara TEXVIN 118, saya benar-benar lupa ini sekadar filem. Aksi penyelamatan yang dikerjakan dengan disiplin nyata, hasil latihan intensif JBPM, buat saya kagum. Chief Eddy lakonan Nas-T tampil dengan karisma yang tidak pernah saya bayangkan daripadanya sebelum ini. Karektornya bukan sahaja mengetuai misi, tetapi juga memimpin hati pasukannya. Apa yang paling saya suka ialah realisma kecil yang jarang diberi ruang dalam filem tempatan. Bahasa kod, pergerakan taktikal, hingga cara mereka menenangkan mangsa. Semua itu membuatkan saya menonton dengan penuh hormat, bagai sedang menyaksikan kerja sebenar para anggota bomba.

Adegan-adegan menyelamat benar-benar mendebarkan; saya sendiri beberapa kali terasa nafas tertahan menyaksikan lidah api menjulang. Ada sesuatu yang memikat ketika melihat kepimpinan watak Chief lakonan Nas-T sebelum ini kita kenal dia dengan sisi kelakar, namun di sini ia bertukar menjadi karisma seorang pemimpin yang tenang di medan bahaya. Di samping itu, Henley Hii, Hairie Othman, Ammar Alfian, Fad Anuar, Abbas Mahmood, Sasidaran, Nia Atasha dan Mathni Razak menambahkan warna kepada naratif yang sarat konflik, kesetiaan dan persaudaraan.

Namun, yang paling menyentuh adalah babak emosi antara Amir dan Eddy. Tidak sampai membuatkan air mata tumpah, tetapi cukup untuk menghadirkan rasa hiba seolah-olah kita turut berada di sana, merasakan kehilangan seorang sahabat yang lebih daripada keluarga. Tidak hanya tentang memadam api yang marak, tetapi juga tentang pergelutan batin, beban emosi, dan dilema antara tugas serta keluarga. Di situ saya rasa terpaut, kerana ia menggambarkan bahawa seorang wira juga manusia yang punya rasa takut, rindu, malah keraguan, namun tetap memilih untuk berjuang demi nyawa orang lain. Saya sedar betapa besar makna 'legasi' yang mereka tinggalkan bukan sekadar nama dalam sejarah, tetapi juga kasih sayang, keberanian, dan pengorbanan yang diwariskan kepada generasi seterusnya.

Namun saya juga tidak boleh menipu diri sendiri. Ada saatnya saya keluar dari keterpesonaan kerana CGI yang terasa 'plastik', terutama babak kebakaran awal di gunung. Saya cuba memahami, memang sukar dan berisiko untuk membikin api sebenar. Tetapi rasa 'digital' itu terkadang mencabut ilusi. Ada juga subplot pengganas yang sekilas lalu, seperti jejak yang ditinggalkan tanpa penutup. Malah dialog sesekali terdengar seperti baris hafalan, mencuba keras untuk kedengaran heroik, tetapi kurang organik. Namun begitu, kelemahan-kelemahan itu tidak menutup pengalaman keseluruhan. Sama seperti seorang manusia yang tidak sempurna, filem ini tetap punya jiwa, dan jiwa itulah yang paling saya hargai.

Saya akui, sebelum ini saya jarang benar memikirkan kerjaya seorang anggota bomba. Siren merah di jalan raya, berita tentang kebakaran, semua itu cepat berlalu. Tetapi selepas menonton Legasi: Bomba The Movie, saya pulang dengan perasaan lain. Saya teringat bahawa ada wira yang tidak dikenali nama, rela mempertaruhkan nyawa untuk orang yang mungkin tidak pernah mengucapkan terima kasih. Saya juga terkesan mengetahui bahawa idea filem ini sendiri diilhamkan oleh DYMM Paduka Sultan Pahang, lalu direalisasikan dengan sokongan KPKT, JBPM, GSC, ASTRO, Multimedia Entertainment dan pelbagai penaja besar seperti CUCKOO serta Kinohimitsu. Skala produksi ini membuktikan bahawa kisah wira tempatan boleh diangkat setara dengan naskhah antarabangsa.

Ketika menonton, saya dapat rasakan emosi yang bercampur-baur. Bangga, sebak, dan juga bersyukur. Legasi Bomba The Movie mengingatkan saya bahawa keberanian bukan hanya ada di layar perak, tetapi nyata hidup di sekeliling kita. Dan menonton kisah ini membuat saya lebih menghargai wira-wira yang sering diam dalam bayang, namun sinarnya tak pernah padam. Kelemahan sedikit itu tidak pernah menenggelamkan inti besar filem ini: penghormatan kepada wira kita. Saya duduk menonton dengan dada berombak, terpukau dengan babak aksi, juga tersentuh dengan babak sepi Amir yang dihantui kehilangan. Filem ini menegaskan bahawa di balik siren dan keberanian, ada manusia biasa yang juga merasakan gentar, rindu, dan duka.

Bagi saya, Legasi: Bomba The Movie hadir tepat pada waktunya. Saat kita sering meraikan wira layar dari dunia polis atau tentera, akhirnya tiba giliran wira merah mendapat pentas megah mereka. Ia mengajar kita untuk tidak lagi memandang mereka sekadar pemadam api, tetapi sebagai penjaga nyawa, penjaga harapan. Dan menonton naskhah ini menjelang Hari Kebangsaan 2025 membuat saya lebih menghargai bahawa keberanian itu bukan mitos. Ia ada, bernafas, dan hidup bersama kita. Meski tidak sempurna, filem ini meninggalkan bara di hati saya: bahawa setiap legasi dibina dengan pengorbanan, dan setiap pengorbanan wajar dikenang.

Jom bersama kita raikan keberanian wira sejati tanah air melalui layar perak! Legasi Bomba The Movie akan mula menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 21 Ogos 2025, hanya 10 sebelum detik keramat sambutan Hari Kemerdekaan. Filem ini adalah sebuah penghormatan buat mereka yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi keselamatan kita semua. Inilah masa untuk kita bangkitkan rasa bangga, menyelami pengorbanan, dan menghayati semangat juang yang menyala dalam setiap jiwa anggota bomba. Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada sejarah ini. Bawalah keluarga, sahabat dan seluruh generasi untuk bersama menyaksikan Legasi Bomba The Movie. Mari penuhkan pawagam dengan semangat merah membara kerana legasi keberanian ini milik kita semua!