Tidak Sedih Tetapi Sangat Marah, 'La Tahzan' Cinta Dosa Luka Yang Membakar Darah

oleh: zizi hashim

Menonton La Tahzan ibarat dihumban ke jurang penuh pengkhianatan dan saya tidak mampu duduk diam tanpa rasa marah membuak. Apa yang ditawarkan sutradara Hanung Bramantyo bukan sekadar drama rumah tangga, tetapi sebuah tontonan yang bikin hati penonton mendidih kemarahan. Sebuah filem yang menampar wajah penonton. Tajam, getir, dan menyakitkan.

La Tahzan dibuka dengan bayangan rumah tangga yang tampak sempurna. Alina (Marshanda) hidup bahagia bersama suaminya, Reza (Deva Mahenra), dan dua anak mereka, Rere dan Malik. Namun, kesibukan pekerjaan membuat Alina sukar mengurus rumah tangga seorang diri. Demi meringankan beban, pasangan ini mengupah seorang pengasuh bernama Asih (Ariel Tatum). Niat yang mulanya untuk membantu akhirnya berubah menjadi malapetaka.

Di luar pengetahuan Alina, Reza terjebak dalam perselingkuhan dengan Asih. Rahsia kotor itu lama kelamaan terbongkar selepas Alina menerima laporan dari luar. Sebagai penonton, saya benar-benar menyaksikan bagaimana kehancuran itu digambarkan dengan sebegitu getir, hingga dada saya sesak. Ariel Tatum memainkan Asih dengan wajah polos tapi penuh racun. Watak yang bikin muak setiap kali muncul di layar. Lebih menyakitkan lagi, Reza digambarkan rapuh, membiarkan dirinya larut dalam godaan, seolah-olah amanah seorang suami dan ayah boleh dipijak sesuka hati.

Saya marah kerana apa yang berlaku terlalu nyata. Berapa ramai Alina di luar sana yang dikhianati dengan cara sehina ini? Bukankah jelas pengkhianatan itu tidak pernah mampu untuk dimaafkan? Asih digambarkan tenang, lembut, seolah-olah tidak bersalah, padahal tindakannya bagai api yang membakar rumah tangga orang lain dari dalam. Alina, dengan penuh air mata dan kekuatan rapuhnya, tetap memilih berdiri meski seluruh maruahnya dipijak. Adegan-adegan Marshanda terutama saat dia terpaksa berhadapan dengan kenyataan pahit benar-benar membuat penonton menggenggam penumbuk.

Ariel Tatum melakonkan Asih dengan aura menggoda yang menjijikkan. Watak yang bikin penonton meluat sekaligus benci, kerana kita tahu di luar sana kisah sebegini bukan fiksyen semata. Sementara itu, lakonan Deva Mahenra sebagai Reza memang memukau, justeru itulah yang menambahkan lagi luka: dia membuat kita benar-benar percaya pada kelemahan lelaki yang goyah, lelaki yang gagal menjaga amanah rumah tangganya.

Punca awalnya dari terlalu sibuk bekerja juga harus dijadikan sebagai amaran kerana ianya akan menjerat diri sendiri. Pengasuh yang kononnya hadir membawa tenang, tetapi rupa-rupanya menyulut bara yang menghanguskan. Apa yang tampak manis berubah menjadi racun. Reza terjerumus dalam pelukan Asih, menjual maruah dan kepercayaan yang seharusnya dipelihara dengan iman. Dan apabila pengkhianatan itu terbongkar, membuat dunia Alina runtuh seperti kaca jatuh, hancur berderai tanpa arah.

Bukan hanya saya seorang, malah seluruh panggung menonton La Tahzan dengan dada berapi, marah yang kian membesar, benci yang berulang kali hinggap, kerana adegan ini terlalu dekat dengan wajah realiti yang sering mencincang hati perempuan tabah. Riuh satu panggung dibuatnya dengan kata-kata makian yang telah hilang sabar dan terbawa-bawa emosi setiapkali menatap tangisan Alina. Saya tidak sedih, tidak menangis tetapi amarah yang terlebih dahulu menguasai dada.

Apa yang menjadikan La Tahzan lebih menyakitkan adalah cara ia membuka mata kita tentang bagaimana masyarakat sering memaksa perempuan untuk “tabah,” untuk mengalah, untuk menerima derita seolah-olah itu adalah takdir yang harus dipikul demi keluarga. Saya marah kerana kisah ini terlalu nyata, terlalu dekat, terlalu benar. Secara teknikal, sinematografi yang muram dan dialog yang tajam menambah tekanan emosi sepanjang tontonan. Hanung tahu betul cara menekan luka itu ke dada penonton. Muziknya yang mendayu-dayu pun terasa ironi, seolah-olah mempermainkan rasa perit yang sedang disaksikan ramai.

Keluar dari pawagam, yang tertinggal hanyalah bara. La Tahzan membuat saya menolak untuk berdamai, menolak untuk simpati pada penyondol sialan. Filem ini adalah jeritan. Tajam, menyakitkan, tetapi terlalu realistik untuk diabaikan. Saya benci pada Reza. Saya benci pada Asih. Tetapi lebih daripada itu, saya benci pada kenyataan bahawa kisah sebegini terus berulang di dunia nyata, di mana kesetiaan seorang isteri dianggap remeh, dan pengkhianatan lelaki terus dimaafkan, meski dalam La Tahzan Reza digambarkan sebagai telah disihir, bukan dirinya sendiri. Tetap sakitnya disitu...

La Tahzan membawa maksud jangan bersedih. Namun saya langsung tidak sedih, ianya lebih kepada khutbah amarah, puisi dendam, pantun luka. Filem ini tidak mengajar untuk sabar, tidak membisik untuk redha. Ia berdiri sebagai api. Membakar, menyala, membara. La Tahzan ialah ingatan paling kejam: jangan pernah percaya pada mana-mana individu lain yang berdiri di tengah-tengah rumahtangga kita. Jangan pernah! 

La Tahzan sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 21 Ogos 2025. Dalam durasi 2 jam 21 minit, bersedialah untuk menyelami neraka rumah tangga Alina, menyaksikan pengkhianatan Reza, dan menyumpah seranah kehadiran Asih yang meruntuhkan segala. Pergi, tonton dan rasakan sendiri bara amarah yang membakar darah.