Sumpahan Mitos Bahu Laweyan Bikin 'Perempuan Pembawa Sial' Menderita Seumur Hidup

oleh: zizi hashim

Seiring berjalannya waktu, saya percaya manusia boleh berubah. Namun, berubahnya sikap manusia itu dipengaruhi oleh banyak faktor. Ada yang kerana mendapat balasan dari apa yang sudah pernah dilakukan di masa lalu, tetapi ada juga yang berubah kerana sakit hati yang berpanjangan. Kedua-duanya valid, kerana kita tidak pernah tahu pada detik mana titik perubahan itu akan muncul di hidup kita. Itulah pengajaran yang saya kutip daripada kisah Perempuan Pembawa Sial, sebuah cerita yang mengingatkan bahawa perubahan manusia selalu lahir daripada sesuatu sebab: samada trauma, cinta, dendam, kejujuran atau apa?

Cuma tergantung apa pemicunya, setiap insan mampu mengubah seluruh dirinya, sama ada ke arah cahaya, atau sebaliknya, tenggelam dalam gelap yang membiak diam-diam. Menonton Perempuan Pembawa Sial memaut perasaan yang lebih dalam daripada ekspektasi saya. Seperti ada tangan halus yang menarik masuk ke sebuah lorong di mana mitos, dendam, dan kemanusiaan saling bertembung. 

Hidup Mirah (Raihaanun) berubah sejak pernikahan pertamanya. Sumpahan Bahu Laweyan membuat setiap laki-laki yang berhubungan badan dengannya berakhir  tewas dengan cara tragis. Pernikahan demi pernikahan gagal, hingga hidup Mirah dipenuhi kesedihan dan pertanyaan tentang takdirnya sendiri. Kematian aneh yang menimpa setiap lelaki yang mendampinginya menulis takdir seolah-olah Mirah si pembawa celaka yang tercipta hanya untuk memusnahkan.

Entah dari mana, tiba-tiba muncul adik tiri Mirah bernama Puti (Clara Bernadeth) yang menyimpan parut jiwa lebih dalam daripada yang terlihat. Wataknya ditenun dengan ironi: kadang tampak lemah, kadang berubah seperti bayang jahat yang sukar ditafsirkan. Sorotan emosi saya paling lama tertahan pada Mirah. Cara Raihaanun menggambarkan perempuan yang tersesat antara cinta dan malapetaka sangat mengesankan. Mata yang menanggung beban, suara yang seperti selalu menahan gugur. Ada momen ketika saya merasakan keheningan seluruh panggung hanya untuk mendengar degup hatinya.

Tak ingin larut dalam takdirnya yang kejam dan menyedihkan, Mirah mencuba mencari kebenaran yang membawa penonton pada serangkaian misteri yang melibatkan sumpahan lama, dendam yang membusuk dalam diam dan pengkhianatan yang menusuk lebih pilu dari sembilu. Dari titik inilah simpati kita sebagai penonton diuji habis-habisan: siapa sebenarnya mangsa, siapa dalang, dan siapa yang layak mendapat belas kasihan?

Rangka cerita yang digarap sutradara Fajar Nugros bergerak cepat dengan tempo yang tegap, nyaris tak memberi ruang untuk bernafas. Juga tidak memberi ruang untuk berkelana jauh dari tragedi Mirah. Sesekali terasa seperti ada rahsia yang sengaja dibiarkan berlubang. Beberapa flashback terasa terlalu ringkas, seakan hanya bayangan yang lalu tanpa sempat difahami. Meski begitu, dialog berbahasa Jawa halus dan simbolik budaya memberi kekayaan yang jarang ditemukan dalam filem seram moden.

Setiap babak dirangkai rapat sehingga rasa ingin tahu sentiasa mengekori, memaksa kita mengorek akar mitos Bahu Laweyan sambil bertanya dalam diam: “Apakah kesalahan yang pernah ditinggalkan Mirah di masa silam, hingga segalanya harus dibayar sebegini sekali?” Sinematografinya dibalut kegelapan yang dramatik, dengan kontra tajam yang merakam Yogyakarta bukan sebagai kota biasa, tetapi sebagai wilayah yang menyimpan gema misteri. Setiap sudutnya terasa lembap dengan aura berhantu, petanda tanah itu sendiri menyimpan rahsia yang enggan tidur.

Ritual-ritual ghaib dalam filem ini memperoleh nyawa yang lebih purba melalui kehadiran Mbah Darso (Didik Nini Thowok), sosok yang memancarkan aura keramat setiap kali tubuhnya bergerak dan mantranya dilafaz. Gestur halusnya terasa seperti membuka pintu kepada sejarah lama, fragmen legenda yang lama terpendam tiba-tiba kembali bernafas di hadapan mata.

Kehadiran Bana (Morgan Oey) memberi nuansa hangat yang tidak memaksa. Meski peranannya mendekati arketip penyelamat, kemistri antara mereka menghadirkan kesyahduan yang tak dibuat-buat. Satu adegan yang agak tak terduga ialah ketika Bana melafazkan ayat Al-Qur’an, suatu kontra yang mengejutkan, namun menyingkap sisi kemanusiaan yang tidak pernah muncul dalam peranan sebelum ini.

Jujur saya akui, banyak jumpscare pada babak-babak awal sangat mencengkam, benar-benar membuat saya tersentak sehingga tubuh rasa bergegar. Terutama sekali pada saat lelaki mundar-mandir lalu lalang di hadapan rumah Mirah dengan alasan untuk memeriksa meter elektrik. Itu yang paling saya tidak akan lupa! Kesan vibrate terkejut masih terasa sehingga saat saya menulis reviu ini. Namun, semakin menuju klimaks, kejutan-kejutan itu mulai terbaca. Unsur gore yang dicincang nipis membantu membangunkan rasa jijik dan ngeri, tetapi tidak sampai menenggelamkan sisi budaya yang menjadi asas cerita ini. 

Yang paling mencucuk perasaan ialah cara filem ini memperlihatkan stigma terhadap perempuan. Mirah menjadi simbol bagaimana masyarakat sering menjadikan tubuh dan kisah wanita sebagai tempat meletakkan kesalahan. Cerita Bawang Merah–Bawang Putih versi gelap ini memaparkan bagaimana sakit hati boleh melahirkan kejahatan, dan bagaimana dendam bisa tumbuh subur dalam jiwa yang terlalu lama diabaikan.

Fajar Nugros turut menaburkan elemen gore secara berhati-hati. Darah, luka dan kesadisan kecil yang muncul di saat tidak dijangka. Unsur-unsur itu tidak berlebihan, tetapi cukup untuk membuat kulit terasa sejuk. Ia memberi kesan bahawa sumpahan Bahu Laweyan bukan sekadar dongeng, melainkan sebuah ancaman yang wujud dan benar. Yang lebih menegangkan, intensiti seram dalam filem ini nyaris tidak mengenal jeda.

Penonton sentiasa berada di ambang cemas, menunggu apakah bayangan seterusnya akan muncul dari belakang pintu atau dari sudut gelap yang tidak difokuskan kamera. Rasa takut yang bertaut dengan rasa ingin tahu menjadikan perjalanan menonton filem ini menggugah, membuatkan kita terpaku hingga detik akhir seolah-olah keluar sedikit pun akan membiarkan sesuatu yang menyeramkan mengejar dari belakang.

Untuk yang mudah terkejut, bersedialah kerana filem ini dipenuhi detik-detik yang mencungkil jantung. Namun tidak seperti seram yang hanya bergantung pada kejutan murahan, Perempuan Pembawa Sial merangkaikan jumpscare dengan ketelitian yang terukur. Nuansa gelap yang pekat, hentakan bunyi yang bergema seperti petir dalam ruang sempit, dan atmosfera yang merayap perlahan menjadikan setiap kemunculan mengejut benar-benar menyentap tubuh.

Mulai menghantui layar pawagam Malaysia sejak 13 November 2025. Jangan biarkan filem ini berlalu tanpa anda rasakan sendiri atmosferanya. Saksikan kisah Mirah yang penuh luka, dendam, dan misteri Bahu Laweyan yang menghantui setiap langkahnya. Biarkan gelap sinemanya memeluk anda, biarkan jumpscare-nya melompat ke dada, dan biarkan kisahnya mengendap ke dalam fikiran jauh selepas lampu pawagam kembali menyala. Apa tunggu lagi di situ?