Spiral Kengerian Berulang Dalam 'The Strangers: Chapter 2' Mimpi Buruk Belum Berakhir

oleh: zizi hashim

Ketika layar mulai gelap dan bunyi pernafasan samar-samar terdengar dari kejauhan, saya tahu kengerian itu akan kembali. Bukan dari makhluk halus, tetapi dari manusia yang memilih menjadi binatang tanpa sebab. The Strangers: Chapter 2 bukanlah sekadar kesinambungan lanjutan, tetapi bab luka baharu dalam sejarah panjang ketakutan yang sudah berakar sejak 2008, saat Bryan Bertino memperkenalkan dunia kepada tiga wajah bertopeng yang kini telah menjadi ikon mimpi buruk: Dollface, Scarecrow, dan Pin-Up Girl.

Bayangkan terbangun dari mimpi buruk, hanya untuk menyedari bahawa kengerian itu belum berakhir, malah baru sahaja bermula. Itulah takdir Maya (Madelaine Petsch), satu-satunya mangsa yang terselamat dari kekejaman malam yang merenggut nyawa tunangannya, Ryan (Froy Gutierrez). The Strangers: Chapter 2 membuka lembaran baharu dengan premis yang sama menakutkan: para pembunuh bertopeng yang masih menginginkannya. Mereka tidak selesai. Tugas mereka masih belum tamat.

Renny Harlin, sutradara yang pernah menyalakan adrenalin lewat Die Hard 2 dan Cliffhanger, kini menyalurkan tangannya ke wilayah yang lebih senyap namun lebih menyakitkan. Ia membangun ketegangan bukan dari ledakan, melainkan dari diam. Diam yang terasa lebih mengancam dari suara tembakan. Difilemkan di Bratislava pada tahun 2022, trilogi ini dicipta serentak, seolah-olah setiap bab dihirup dari nafas yang sama. Maya, yang kini terbangun di hospital selepas tragedi yang hampir memusnahkan hidupnya, tidak diberi ruang untuk berduka. Tubuhnya penuh luka, matanya masih diselimuti trauma kehilangan tunang tersayang.

Ketika dia masih cuba memahami apa yang sebenarnya terjadi, bayangan-bayangan bertopeng itu muncul semula. Kali ini di sebuah bandar kecil terpencil yang tidak menawarkan jalan keluar. Setiap sudut adalah perangkap. Setiap wajah boleh menjadi musuh. Maya terpaksa bertahan melalui malam yang lebih kejam, di mana keganasan bukan lagi sekadar ancaman, tetapi kepastian. Masa rehat itu hanya ilusi. Pemburuan belum berakhir. Dari koridor rumah sakit yang dingin hingga kota kecil yang sepi dan hujan, Maya kembali berlari, menjerit, melawan, bertahan. Tidak ada ruang aman, tidak ada logik. Di sinilah kekuatan waralaba ini, ngeri yang datang tanpa alasan, kerana dunia memang tidak selalu perlu penjelasan untuk menjadi kejam.

Namun kali ini Harlin menambah sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelumnya: kilas balik yang mengintip masa lalu para pembunuh itu. Usaha ini, meski berani, menimbulkan dilema kerana ia cuba memberi wajah kepada kekacauan yang seharusnya tetap tanpa nama. Kalau tanya saya, di situlah filem ini mulai retak sedikit; misterinya terurai perlahan, dan absurditinya kehilangan taring. Tetapi di tengah kelemahan itu, Madelaine Petsch bersinar. Ada sesuatu yang getir dalam tatapannya. Campur aduk amarah, takut, dan pasrah yang membuat saya sukar berpaling. Dia bukan heroin sempurna; dia retak, dia lelah, tapi justeru itu yang membuatnya terasa hidup.

Gabriel Basso sebagai Gregory hadir seperti hembusan nafas baru. Tenang, misteri, penuh kewaspadaan. Sementara Richard Brake sebagai Sheriff Rotter memikul aura gelap yang menebal, menjadikan kota kecil itu bagai perangkap tidak bertepi. Dalam durasi sekitar 98 minit, filem ini dipenuhi adegan gore yang tidak main-main: tusukan garfu rumput, anak panah yang menembusi daging, dan adegan jahitan luka sendiri yang membuat saya ngilu. Namun kekerasan visual ini tidak selalunya diterjemahkan kepada ketegangan emosi yang berkekalan. Malah, ada momen-momen tak masuk akal seperti aksi klimaks yang melibatkan Maya melawan babi liar dengan CGI yang terasa janggal dan tidak kena pada tempatnya. Filem kehilangan sentuhan keaslian.

Secara teknikal, Chapter 2 terasa lebih matang daripada pendahulunya. Kamera Harlin menelusuri ruang-ruang gelap dengan kesabaran sadis; pencahayaannya minimalis, hampir surealis. Suara pintu berderit, hujan yang menitik di atap, langkah samar di lorong panjang, semuanya disusun bagai melodi cemas yang menempel di kulit. Tidak ada letupan besar, tapi ketegangan menapak di dada, menolak keluar nafas dari paru-paru. Namun, di sisi lain, struktur ceritanya agak longgar. Ada subplot penyiasatan yang terasa tergantung, reshot yang tampak terlalu mendadak, dan sekali lagi adegan dengan babi liar ber-CGI itu yang jujur saja, memecah ritma ngeri.

Tetapi di balik semua itu, saya tak boleh nafikan, Harlin masih tahu cara menyalakan rasa takut dari hal yang paling sederhana iaitu dari rasa tak berdaya. Ibarat mimpi buruk yang berlarut-larut; menekan tanpa henti, Chapter 2 tapi juga membuat saya tertanya-tanya tentang makna kekerasan tanpa motif. Mungkin, seperti yang pernah dikatakan Bertino dahulu, ketakutan paling murni ialah ketika kita tak tahu mengapa. Bagi saya, The Strangers: Chapter 2 terasa seperti teriakan di tengah hujan. Parau, terdesak, tetapi jujur. Ia mungkin tidak sesempurna yang diharapkan, namun ia menyimpan sesuatu yang lebih manusiawi daripada sekadar pembunuhan: rasa kehilangan, rasa bersalah, dan keengganan untuk mati sia-sia.

Secara garis besar, The Strangers: Chapter 2 adalah sekuel yang repetitif dan tidak semestinya perlu sebagai bab tengah dalam sebuah trilogi. Premis yang cukup sederhana terasa dipaksa dibagi menjadi tiga bahagian dengan durasi yang relatif pendek. Cerita ini sebenarnya akan lebih menarik dan padat jika diselesaikan dalam satu filem sahaja, tanpa perlu dipecah-pecah sehingga mengorbankan momentum naratif. Mulai ditayangkan di pawagam Malaysia pada tanggal 2 Oktober 2025, The Strangers: Chapter 2 adalah filem yang membuktikan francais ini masih memiliki potensi, tetapi juga berisiko kehilangan daya tarik asalnya.

Popcorn flick yang munasabah untuk musim filem seram, tidak berpura-pura menjadi karya agung, tetapi cukup untuk menghiburkan mereka yang dahagakan ketegangan atmosferik. Saspens yang adil dan ketegangan yang lumayan untuk sebuah filem seram pertengahan trilogi. Chapter 3 menunggu di ambang tahun depan, dan entah mengapa, meskipun saya tahu ia akan menyakitkan, saya tetap ingin kembali. Adakah anda bersedia untuk dihadapkan 'strangers' di layar lebar sekali lagi? Jawapannya bergantung pada seberapa besar toleransi anda terhadap formula yang sama, diulang dengan intensiti yang lebih tinggi tetapi inovasi yang terhad.