oleh: zizi hashim
“Whilst we try to teach our children all about life, our children teach us what life is all about!”
Hadir seperti peluru yang tidak berdentum, tetapi bila perlahan-lahan sampai ke sasaran, terus tembus jauh ke dalam dada. Sitaare Zameen Par adalah filem seperti itu. Tidak perlu letupan besar atau adegan kejar-mengejar untuk menjerat perhatian. Cukup hanya gunakan satu senjata yang paling halus, tetapi paling ampuh iaitu kejujuran. Sebuah ziarah emosi yang membuka jendela kecil kepada jiwa-jiwa yang selama ini kita anggap ‘berbeza'.
Sitaare Zameen Par adalah sebuah karya yang jujur, menyentuh, dan berani menyuarakan makna empati dalam bentuk paling lembut dan murni. Perjalanan sinematik air tangan Aamir Khan dan sutradara RS Prasanna, Sitaare Zameen Par berani menunjukkan kelembutan sebagai kekuatan, menyentuh hal tabu dalam masyarakat: penerimaan terhadap neurodivergensi, terutama Autism dan Syndrome Down, sebagai sebahagian daripada kepelbagaian manusia, bukan kelemahan.
Sekali lagi Aamir Khan membuktikan dirinya bukan hanya pelakon tetapi seniman yang mengangkat martabat perfileman dengan idealisme dan kasih sayang. Mengangkat kisah seorang jurulatih bola keranjang, yang pada awalnya keras, sinis dan sedikit skeptikal terhadap mereka yang dilabel ‘kurang upaya’. Namun segalanya berubah apabila dia diberi tanggungjawab untuk melatih sekumpulan pemain muda istimewa di mana semuanya penghidap Syndrome Down.
Watak-watak ini bukan hanya menjadi pelengkap cerita, malah menjadi pusat graviti emosi filem ini. Setiap seorang daripada mereka diberi ruang untuk bernyawa di layar. Bukan sebagai stereotaip, tetapi sebagai manusia sebenar dengan impian, ketakutan, dan keberanian. Di sinilah letaknya kekuatan filem ini. Kejujuran dalam mempersembahkan neurodivergence bukan sebagai ‘isu’, tetapi sebagai realiti yang indah dan penuh warna. Lakonan tulus para pelakon muda ini, ramai antaranya adalah pelakon baharu, menjadi nadi yang memacu keikhlasan keseluruhan naratif.
Aamir Khan, dengan segala ketelitian emosinya, membawa karektor jurulatih ini ke arah evolusi yang perlahan tetapi menyentuh. Diperkenalkan dengan sekumpulan remaja istimewa, penghidap sindrom Down, yang perlahan-lahan membongkar lapisan egonya satu demi satu. Dari watak keras kepala kepada seorang mentor yang benar-benar mendengar, transformasinya bukan mendadak dramatik tetapi tulus, dan itulah keindahannya. Dan di sinilah Sitaare Zameen Par mengikat kita dengan emosi yang tidak memaksa tetapi menyelinap masuk perlahan-lahan ke dalam ruang batin.
Separuh pertama filem ini cenderung lebih ringan dihiasi dengan momen komedi yang cerdas, interaksi lucu antara jurulatih dan pemain, serta dinamika keluarga yang menggamit nostalgia. Namun masuk ke babak kedua, nada cerita berubah. Ia menjadi reflektif, mendalam, dan menyentuh titik paling rapuh dalam hati penonton. Salah satu adegan paling kuat melibatkan Aamir dan ibunya. Sebuah momen yang meski sederhana, tetapi ditulis dengan sensitiviti luar biasa, membawa penonton merenung hubungan antara generasi, antara cita-cita dan penerimaan.
Genelia Deshmukh sebagai pendukung emosi kepada naratif ini, tampil bersahaja tetapi kuat. Watak pendamping emosi ini tampil manis dan matang, tidak tenggelam meski berdiri di sisi seorang gergasi layar seperti Aamir. Hubungan antara wataknya dan Aamir memberi 'markah tambah' kepada cerita dengan dimensi kelembutan tanpa mengalih tumpuan daripada tema utama. Kemistri antara mereka menambahkan lapisan hangat yang manis. Genelia tidak cuba mencuri tumpuan, tetapi karismanya mencairkan layar secara semulajadi.
Apa yang paling mengesankan ialah keseimbangan nada filem ini. Antara ketawa dan tangis, antara amarah dan empati, antara keliru dan sedar. Separuh pertama menawarkan momen ringan yang menghiburkan, sementara separuh akhir menghantam jiwa dengan keindahan emosi yang sukar dijelaskan. Klimaks-nya? Sebuah ledakan emosi yang akan membuatkan hati yang paling keras pun turut bergetar.
Dari segi teknikal, Sitaare Zameen Par juga tidak mengecewakan. Sinematografinya memukau tanpa berlebih-lebihan, menangkap ruang senyap dalam mata anak-anak ini, dan kebisingan dunia luar yang sering gagal memahami. Mereka yang dianggap 'good for nothing' seringkali dipinggirkan, bukan kerana kekurangan, tetapi kerana keengganan kita untuk memahami mereka. Filem ini bukan hanya memperkenalkan kita kepada watak-watak yang luar biasa, tetapi juga mengajar kita semula cara kita melihat dunia.
Muzik gubahan Shankar-Ehsaan-Loy, dan skor latar oleh Ram Sampath, mengalir bersama naratif seperti alunan nafas. Tidak pernah mendominasi, tetapi menguatkan emosi yang terselit dalam setiap perbualan, setiap detik sunyi dalam babak tanpa dialog. Lagu-lagu tidak hanya enak, tetapi mengalir bersama emosi, menjadi sebahagian daripada denyut nadi cerita. Keseluruhan ensemble pelakon, termasuk Dolly Ahluwalia, Ayush Bhansali, Simran, dan Gurpal Singh, melengkapi dunia filem ini dengan rasa yang autentik.
Saya tidak ragu-ragu untuk menyebut filem ini sebagai masterpiece. Ia meninggalkan impak dalam hati paling terdalam, mengubah cara pandang, dan yang paling penting, ia membuat kita mahu menjadi manusia yang lebih baik. Kalau tanya saya, kekuatan sebenar Sitaare Zameen Par terletak pada keberaniannya untuk menyentuh perkara yang kita selalu elak: ketidaksempurnaan. Filem ini tidak cuba memulihkan anak-anak ini kerana mereka tidak perlu ‘dipulihkan’. Sebaliknya, ia memulihkan kita, yang selama ini terlalu cepat menilai, terlalu lambat mendengar, terlalu malas untuk memahami.
Sitaare Zameen Par ialah filem yang bukan hanya patut ditonton, tetapi perlu dirasai. Ia adalah pengingat bahawa dalam hidup ini, mungkin kita yang dianggap ‘normal’ sebenarnya sedang belajar daripada mereka yang kita anggap ‘berbeza’. Sebuah karya yang akan kekal di hati. Dan seperti bintang-bintang di langit yang tidak pernah bersuara, mereka tetap menyinari malam yang paling gelap. Begitulah anak-anak ini, dan begitulah filem ini.
Kerana akhirnya, bukan kita yang mengajar anak-anak tentang kehidupan tetapi merekalah yang mengajar kita, apa erti hidup yang sebenar. Tanggal 20 Jun 2025 bermulalah tayangan di pawagam Malaysia, dalam durasi 2 jam 35 minit tidak akan terasa lama, percayalah! Rekomendasi tertinggi dari saya untuk cetusan cinta yang buat saya celik cahaya jiwa dan tanpa sedar berjuraian airmata.