oleh: zizi hashim
Melangkah masuk ke pawagam malam itu terasa seperti memasuki ruang yang sarat dengan aura mistik, seolah-olah udara malam itu membawa bisikan rahsia yang ingin disingkap. Sihir Pelakor, arahan sutradara Bobby Prasetyo, menyambut penonton dengan janji sebuah seram yang bukan hanya mengejutkan mata, tetapi juga merobek hati. Filem ini terbit dari kisah benar yang sempat viral di podcast RJL 5, dan justeru kerana keasliannya, kengerian itu terasa menggigit lebih dalam.
Kisahnya berpusat pada sebuah keluarga sederhana yang tiba-tiba dirundung malapetaka akibat sihir kuno bernama Sabdo Pandito. Pada masa penjajahan dahulu, ilmu ini kononnya dicipta untuk menumbangkan musuh. Namun di era moden, ia diselewengkan menjadi senjata pengkhianatan.
Edi (Fathir Muchtar), seorang ayah yang selama ini menjadi tulang belakang keluarga, terjerat dalam perangkap Rini (Asmara Abigail), pelanggan salon yang dengan licik merayu sambil mengikatkan guna-guna. Perlahan-lahan, kewarasan Edi mulai hilang; setahun lebih dia meninggalkan isteri, Jumiati (Marcella Zalianty), dan anak gadisnya Vita (Neona Ayu), tanpa pernah menoleh ke belakang.
Saya tersentuh melihat bagaimana perspektif Vita menjadi nadi emosi cerita. Meskipun masih pelajar sekolah menengah, ia digambarkan matang, berusaha mempertahankan keluarganya dari perpecahan. Setiap tatapan matanya bagaikan jeritan senyap yang menolak hancurnya sebuah rumah tangga. Di sinilah saya merasa filem ini lebih daripada sekadar seram supernatural malah ia adalah drama keluarga tentang luka akibat perselingkuhan.
Karektor Rini, yang dilakonkan dengan berani oleh Asmara Abigail, membuat bulu roma saya meremang. Setiaopkali dia muncul di layar, saya jadi meluat dan menyampah. Rini digambarkan sebagai wanita penuh pesona tetapi rakus, sanggup membuat perjanjian dengan jin demi merebut Edi. Adegan-adegan ketika dia menghentam usaha salon Jumiati dengan sihir sehingga pelanggan lari, memberi rasa ngeri yang bukan sahaja ghaib, tetapi juga nyata: inilah wajah kecemburuan dan kerakusan manusia.
Seram dalam Sihir Pelakor tidak hanya bergantung pada kejahatan ghaib seperti bola api atau penampakan jin perempuan, meski ada beberapa kesan visual yang agak berlebihan. Nuansa seramnya justeru datang dari ketidakberdayaan sebuah keluarga ketika ayah yang mereka cintai berubah menjadi asing, bahkan bersekutu dengan orang luar untuk menghancurkan hidup mereka. Saya mendapati diri sendiri beberapa kali termenung, membayangkan bagaimana rasanya kehilangan figura seorang ayah bukan kerana kematian, tetapi kerana terjerat sihir seorang penyondol.
Dari segi teknikal, filem ini menggabungkan seram dengan nuansa keagamaan. Doa, zikir, dan pengingat bahawa pertolongan tertinggi datang dari Allah SWT memberi lapisan spiritual yang menenangkan di tengah segala kekacauan. Scoring muziknya menambah tekanan emosi, kadang-kadang lembut, kadang menghentak, tetapi tidak berlebihan. Jalan ceritanya memang sedikit berbelit, seakan terpecah antara fokus seram dan drama keluarga. Namun, justeru kesulitan itu mencerminkan kekacauan emosi yang dihadapi watak-wataknya.
Barisan pelakon tampil cemerlang dan meyakinkan. Fathir Muchtar sebagai Edi berhasil membuat penonton benci sekaligus kasihan, manakala Marcella Zalianty memberi lapisan rapuh dan kuat sekaligus pada sosok Jumiati. Tetapi pencuri perhatian tetaplah Neona Ayu yang memberi kedewasaan emosional pada karakter Vita, serta Asmara Abigail yang menjelmakan Rini sebagai antagonis menawan namun menjengkelkan.
Apa yang saya simpan selepas menonton ialah pesan moralnya. Filem ini mengingatkan kita tentang bahaya pengkhianatan, tentang bagaimana satu keputusan gelap boleh meruntuhkan generasi. Ia juga menggariskan pentingnya kejujuran, kesetiaan, dan keberanian anak untuk memperjuangkan keharmonian keluarga, meski harus melawan kekuatan tak terlihat.
Sejak 18 September 2025, Sihir Pelakor mulai ditayangkan di pawagam Malaysia. Mungkin filem ini tidak sempurna dari segi efek visual, tetapi kekuatan emosinya membuatkan ia meninggalkan impak dan berbekas. Seramnya terasa agak menyedihkan, kerana musuhnya bukan sekadar makhluk ghaib, melainkan nafsu serakah manusia yang dibalut mentera. Apatah lagi kisah ini kisah benar. Dan bagi saya, itu jauh lebih menakutkan dari hantu itu sendiri.