Menyambut Kepulangan Adiwira Yang Dirindui, 'Papa Zola The Movie' Buat Satu Panggung Menjerit “Kebenaran!”

oleh: zizi hashim

Selama ini, dia saya kenali sebagai figura sampingan penuh jenaka dalam BoBoiBoy, tetapi kini akhirnya dia berdiri di tengah pentas yang memang selayaknya menjadi miliknya. Gabungan euforia, nostalgia, dan kehangatan komuniti yang menyambut kepulangan seorang adiwira yang tanpa sedar sangat kita rindukan. Lampu-lampu pameran berkelip seperti serpihan bintang jatuh, anak-anak berlari kecil sambil menjerit “Kebenaran!”, sementara ibu bapa mereka tersenyum, mungkin mengingat kembali saat mula-mula mengenali watak itu bertahun-tahun lalu.

Suasana meriah di malam gala itu meyakinkan saya: ini bukan cuma tayangan biasa; ini adalah perayaan sebuah fenomena budaya. Filem ini ialah hadiah untuk peminat yang setia mengikuti setiap evolusi dirinya, daripada meme 680 juta tontonan seperti Bila Papa Goreng Telur, sehinggalah detik ikonik Terpaling Puasa yang mencecah 239 juta tontonan. Daya tarikan itu terbawa masuk ke layar, namun kali ini dengan nafas yang lebih matang. Siapa kah dia yang saya maksudkan ini? Dia lah bapa kepada segala kebenaran, dia lah tak lain dan tak bukan, dia lah Papa Zola!

Nizam Abd Razak, selaku sutradara yang berperanan sebagai arkitek universe Monsta, menghantar kita ke sebuah perjalanan gah yang bertolak dari kisah silam Zola. Dia bukan hanya seorang bapa yang menyimpan wang syiling demi percutian keluarga; dia pernah menjadi anggota elit P.A.P.A (Protect and Prevent Agency) yang bertempur menahan ancaman asing. Ironinya, gelaran “Papa Zola” yang kini kedengaran lucu itu sebenarnya berasal daripada nama unit elit tempatnya berbakti. Pencerahan kecil sebegini memberikan saya sejenis keterujaan yang sukar dijelaskan, seolah mendapat kunci baru terhadap sebuah misteri lama.

Momentum awal filem agak perlahan, namun ada gunanya: ia membenarkan kita melihat sisi manusiawi seorang bapa yang berjuang untuk keluarganya. Namun sebaik sahaja ancaman simulasi permainan video dan kuasa CIMUBOT diperkenalkan, rentaknya berubah menjadi deras, bertenaga, hampir seperti kita sendiri tersedut ke dunia digital penuh aksi hiper yang digamifikasi. Peralihan visualnya halus dan konsisten, hasil kerja pasukan produksi yang menggunakan teknologi terkini seperti crowd simulation, hair system, water simulation, dan letupan yang diperhalusi untuk pengalaman sinematik sepenuhnya. Setiap bingkai terasa seperti helaian komik yang hidup, penuh tekstur dan tenaga.

Malah, beberapa adegan memberi penghormatan kepada “Kolumpo”, bandar yang menjadi akar ramai daripada kita, menghadirkan visual Stesen Keretapi Kuala Lumpur, bangunan-bangunan warisan, dan Bas Mini pink yang mencetuskan nostalgia era 80–90an. Sebagai anak Malaysia, saya terasa disentuh ketika melihat kota ini diperlakukan sebagai karektor tersendiri, bukan sekadar latar. Humornya masih menjadi DNA Papa Zola. Gila-gila, spontan, tidak pernah gagal membuat kanak-kanak ketawa berderai namun kini dipadankan dengan humor moden yang lebih dekat dengan generasi dewasa dan Gen-Zola.

Ketika menonton, saya perasan diri saya ketawa pada waktu yang sama dengan seorang bapa di baris hadapan, kemudian tersentuh pada adegan lain bersama Pipi, seolah filem ini mengikat penonton merentas generasi. Sebahagian besar kekuatan filem ini datang daripada dinamika keluarga Zola. Mama Zila tampil garang tetapi lembut, Pipi pula mencuri hati dengan keluguan dan keberaniannya. Menonton mereka bertiga, saya teringat betapa beratnya peranan seorang ketua keluarga. Kadang digambarkan lucu, kadang menggetarkan dada. Filem ini mengetengahkan sisi emosional Papa Zola dengan cermat, mengingatkan bahawa watak “masuk air” itu sebenarnya menyimpan sejarah yang jauh lebih besar daripada gurauannya.

Dan ya, momen cameo seperti Amato, BoBoiBoy dan Gopal menambah warna. Ia mengesahkan bahawa filem ini tidak pernah terpisah daripada Monsta Universe, dan malah memberi isyarat halus tentang hala tuju seterusnya melalui babak penutup. Lawak Kampus pun muncul sekejap, sebuah salam kecil yang mengundang senyuman. Secara teknikal, filem ini mempamerkan langkah matang Monsta, bukan sahaja melalui visual, malah dari segi keberanian mengangkat watak dewasa sebagai teraju utama.

Ini bukan cerita untuk kanak-kanak sahaja; ia merentas umur, merentas gaya hidup, menyentuh hal-hal yang sangat dekat dengan kehidupan sebenar: tanggungjawab, pengorbanan, dan bagaimana cinta keluarga kadang-kadang jadi kompas terakhir ketika dunia terasa kacau. Malam gala menjadi saksi: panggung penuh dengan gelak ketawa, sorak sorai, bahkan beberapa helaan nafas panjang ketika babak emosional muncul tanpa dijangka. Sinar lampu kamera, papan tanda “Game On”, dan maskot Papa Zola yang berjalan ke sana-sini menjadikan suasana seperti festival kecil yang merayakan keberanian animasi tempatan.

Lebih mengujakan, filem ini bakal melangkah lebih jauh ke India, Vietnam, Arab Saudi, Bahrain, Qatar, Turkey dan negara-negara lain. Watak Papa Zola yang tidak terikat etnik menjadikannya mudah diterima di mana sahaja. Sebagai penonton yang membesar dengan animasi tempatan, saya berasa sedikit bangga melihat dunia luar bakal menyaksikan apa yang kita hasilkan di sini. Akhirnya, Papa Zola The Movie terasa seperti surat cinta kepada penonton Malaysia, sebuah karya yang lucu tetapi juga penuh jiwa. Aksi visualnya memuaskan, skripnya bijak, emosinya dalam, dan humornya kekal sebagai nadi.

Saya sendiri terkejut bagaimana sebuah filem yang kelihatan ringan boleh menyentuh ruang kecil dalam hati saya, ruang yang mengenal letih, tetapi masih percaya bahawa seorang bapa yang kelakar juga boleh menjadi seorang wira. Menunggu detik seorang wira kembali menuntut pentasnya menyerlahkan aura keluarga, gelak tawa kecil, kostum peminat, dan barisan selebriti mencipta suasana yang hangat dan meriah; sejenis kehebohan yang jarang berlaku untuk sebuah filem animasi tempatan. Begitulah kuatnya tarikan Papa Zola, karektor yang lahir sebagai jenaka spontan tetapi kini berdiri megah sebagai protagonis dunianya sendiri.

Untuk pertama kalinya, saya menyaksikan wira ini bukan hanya sebagai figura gurauan, tetapi sebagai seorang lelaki yang memikul cinta, kesetiaan dan pengorbanan sebagai inti perjuangannya. Papa Zola kini tampil sebagai figura dewasa dengan lapisan emosi yang jauh lebih kukuh; barisan watak dewasa yang memikul konflik sebenar memberi filem ini kedalaman yang jarang ditemui dalam animasi arus perdana Malaysia. Kemunculan kameo seperti BoBoiBoy, Gopal dan Amato, serta cameo-easter egg dari Lawak Kampus menjadi bonus menyeronokkan, sekilas bukti bahawa universe Monsta semakin matang dan berkembang. Tidak ketinggalan, kredit akhir bergaya pixel-art memberikan penutup bergaya retro yang mencuit hati.

Musim cuti sekolah ini, biarkan pawagam menjadi ruang kebenaran anda. Papa Zola The Movie mula ditayangkan pada 11 Disember 2025 dan percayalah, ini antara animasi tempatan yang paling layak ditonton bersama keluarga. Ketawa, menangis, dan kagum… semuanya menanti di layar besar.