oleh: zizi hashim
Suasana pekat dengan aura keagamaan bercampur bayang-bayang kegelapan segera terasa sejak adegan pertama ThaRae The Exorcists. Filem garapan sutradara Taweewat Wantha ini membawa saya menelusuri lorong sempit sebuah desa bernama ThaRae di wilayah Sakon Nakhon, timur laut Thailand, tempat di mana komuniti Katolik terbesar dan tertua di negara itu berakar. Bukan sekadar lokasi, ThaRae dalam filem ini menjadi medan spiritual, tempat iman diuji, dan tradisi purba beradu dengan keangkuhan kuasa iblis.
Saya teringat bagaimana kisah seram Asia biasanya bertaut dengan mitos dan roh tempatan, tetapi di sini, pendekatannya terasa berbeza. Bayangkan ritual eksorsisme ala Katolik yang kita kenali melalui karya Barat seperti The Exorcist, dipadukan dengan nuansa ghaib tradisional Thailand. Gabungan itu menghadirkan satu jenis ketakutan yang terasa asing, sekaligus begitu dekat. Ia seperti menyaksikan lenturan dua dunia antara altar gereja dan pondok dukun bertemu dalam satu garis pertahanan menghadapi kegelapan yang tidak mengenal belas kasihan.
Plotnya sederhana namun membekas. Setelah 4 dekad tenang, sebuah entiti jahat kembali merasuki seorang bekas paderi. Dari sana, kejahatan merebak, memaksa seorang Paderi Paolo (lakonan Jirayu Tangsrisuk) bergabung dengan Sopha, seorang dukun yang dilakonkan Phiravich Attachitsataporn. Mereka datang dari dua dunia yang bertentangan, satu berpegang teguh pada iman, satu lagi bersandar pada ritual purba yang sarat misteri. Namun kegagalan upaya pengusiran setan secara tradisional membuat kolaborasi yang mustahil ini menjadi satu-satunya harapan.
Ketegangan tidak hanya terletak pada kehadiran iblis, tetapi juga pada pertembungan keyakinan. Saya merasakan bagaimana film ini bukan sahaja menghidangkan kengerian fizikal, tetapi turut menggali dilema rohani: adakah iman sahaja cukup untuk melawan kegelapan, ataukah manusia perlu menundukkan ego dan menyatukan dua tradisi yang selama ini bertentangan? Adegan-adegan perlawanan spiritual digarap intens, membuat dada terasa sesak, seolah kita sendiri menjadi saksi dalam gereja tua yang diterangi lilin dan gema doa.
Apa yang membuat filem ini menonjol adalah perinciannya. Wantha jelas melakukan penelitian mendalam dari ritual eksorsisme Katolik yang diperagakan dengan cermat, hingga latar set gereja megah yang dicipta menyerupai bangunan bersejarah. Visualnya muram, kelam, dan menekan, tetapi bukan sekadar serangan “jump scare”. Ada pengendalian mood yang rapi: detik sunyi yang menjerat, letupan histeria yang meledak, hingga bisikan halus yang membuat bulu roma meremang.
Selain Jirayu Tangsrisuk yang biasanya kita kenal dalam watak romantis, persembahan kali ini menunjukkan keberanian keluar dari zon selesa. Ia berpasangan dengan Phiravich, melahirkan dinamika ibarat yin dan yang. Bukan hanya dua aktor utama, tetapi keseluruhan pelakon sokongan daripada Thanes Warakulnokroh hingga Nichapat Chatchaipolrat menyuntik kehidupan ke dalam naratif, menjadikan rasa takut itu bukan lagi fiksyen, tetapi seperti tragedi kolektif sebuah desa yang nyata.
Apa yang saya bawa pulang selepas menonton ThaRae The Exorcist bukan rasa gentar, tidak juga takut, tetapi lebih kepada keliru. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan filem seram tradisi Thailand yang menampilkan banyak sami-sami tokong Budha berjubah oren, filem kali ini sangat berbeza. Saya percaya bahawa kegelapan tidak selalu datang dalam bentuk bayangan atau suara asing. Ia memang wujud dalam ego manusia, dalam perbezaan yang enggan disatukan. Tetapi justeru di situlah, melalui keberanian untuk melawan bersama, cahaya kecil akan muncul.
Durasi hampir 2jam terasa seperti perjalanan spiritual, meski sedikit meleret-leret bagi saya, tetap penuh dengan kejutan, tegang dan kaya dengan renungan. Meski ThaRae tidak menguji jantung saya dengan adegan menyeramkan, tetapi menggugat fikiran tentang iman, keberanian, dan batas manusia dalam menghadapi kejahatan iblis.
Sebagai antusias filem seram, saya merasa filem ini agak membosankan tetapi layak ditonton di layar besar. Ia tidak berjanji hiburan mudah, tetapi pengalaman seni berat yang harus difahami. Tayangan di pawagam Malaysia bermula 11 September 2025. Sebuah kisah pertempuran iman melawan kegelapan, lahir dari tanah Thailand, namun gema universalnya boleh dirasai oleh sesiapa sahaja yang pernah bergelut dengan pertanyaan: bagaimana jika kepercayaan kita sendiri yang diuji di tengah malam paling panjang?