One Battle After Another: Meditasi Tentang Harga idealisme, Konflik Generasi Dan Debat Kemanusiaan Ideologi Politik

oleh: zizi hashim

Jarang sekali sebuah filem tiba pada momentum yang tepat, masa yang terasa mustahil kebetulan. One Battle After Another (OBAA), karya ke-10 sutradara Paul Thomas Anderson yang dibintangi trio legenda Leonardo DiCaprio, Sean Penn, dan Benicio Del Toro, adalah manifesto sinematik yang menggoncang jiwa sekaligus memuaskan dahaga kita akan hiburan spektakular. Karya ini menyingkap sisi sinema yang bukan hanya menegangkan, tetapi juga menyentuh inti paling rapuh dari dalam diri manusia.

Saya mengikuti jejak Anderson sejak Magnolia, dan sejujurnya, tidak pernah menyangka dia akan menggarap projek dalam skala komersial sebegini besar. Namun  di situlah letak geniusnya dia, sanggup melarutkan estetika seni ke dalam format hiburan arus perdana, tanpa membiarkan integriti bercerai-berai. Bersumber daripada novel Vineland karya Thomas Pynchon, naskhah ini menceritakan sekumpulan bekas revolusioner yang dipaksa bersatu setelah 16 tahun, demi menyelamatkan seorang anak gadis. Namun, di sebalik kerangka plot itu, ia menjelma renungan tentang idealisme yang usang, luka generasi yang diwarisi, dan persimpangan getir antara kemanusiaan dan ideologi politik.

Lakonan Sean Penn sebagai Colonel Lockjaw terasa seperti guruh yang menyambar saraf. Ada keangkuhan beracun dalam setiap lirikan matanya, seolah-olah dunia hanya wujud untuk tunduk pada misi fanatiknya. Setiap pergerakan, setiap jeda dalam dialognya, memancarkan karisma berbahaya yang membuatkan anda tidak dapat mengalihkan pandangan. Wataknya adalah manifestasi dari hubris yang menakutkan, seorang teroris yang meyakini kebenaran mutlak misinya. Penn membawakan kompleksiti ini dengan keganasan yang mengejutkan sekaligus memukau.

Leonardo DiCaprio, seperti biasa, membuktikan mengapa beliau adalah salah seorang aktor terhebat generasi kita. Sebagai bapa yang tersandung dalam usahanya melindungi anak, DiCaprio menghadirkan kerentanan yang jarang kita saksikan dalam persona biasanya yang penuh keyakinan. Ekspresi wajahnya, jeda antara perbualan, semuanya adalah seni tulen yang mengalir natural. Sisi rapuh seorang ayah yang rela terbakar demi anaknya, sebuah peranan yang penuh nuansa, jauh daripada persona maskulin yang sering kita kaitkan dengannya.

Benicio Del Toro hampir mencuri perhatian keseluruhan filem. Wataknya yang tenang dan terkawal menjadi penyeimbang kepada kekacauan DiCaprio. Beliau adalah kekuatan senyap yang mengingatkan kita bahawa perjuangan tidak selalu memerlukan teriakan, terkadang ia memerlukan ketabahan yang tegar.

Namun kejutan datang daripada Teyana Taylor yang menjelmakan watak Perfidia, seorang wanita sarat 9 bulan tetapi menembak senjata automatik dengan ketawa yang menggigilkan. Adegan awal miliknya sahaja sudah cukup menggetarkan saya. Liar, berkuasa dan penuh paradoks tentang keindahan serta keganasan. Ia adalah citra sinema yang membekas.

Chase Infiniti membuktikan dirinya layak berdiri seiring dengan barisan pemenang anugerah ini. Kemampuannya mempertahankan peranan di tengah lautan bakat ini menunjukkan dia siap menjadi Scream Queen generasi baharu. Saya yakin nama ini akan kita dengar lebih kerap pada tahun-tahun mendatang.

Ditembak seluruhnya dalam format VistaVision dan ditayangkan dalam rasio aspek IMAX 1.43:1, filem ini menjadi yang pertama dalam katalog Anderson ditayangkan dalam format IMAX. Keputusan ini membuahkan hasil spektakular, terutama dalam adegan kejar-mengejar kereta di jalan raya yang mengingatkan saya pada keghairahan klasik era 70an seperti "To Live and Die in L.A." dan "The French Connection". Kasar, visceral dan terasa sungguh hidup.

Sinematografi yang memukau ini diperkuat oleh latar belakang gunung yang luas dan adegan jalan raya yang membuat anda merasakan seolah-olah berada dalam kereta itu sendiri. Setiap bingkai adalah lukisan bergerak yang menceritakan kisah tersendiri. Muzik Johnny Greenwood pula bertindak sebagai urat nadi filem; dari bisikan mimpi ke dentuman jazz psikotik, skor itu menyusup ke dalam emosi, membuat ketegangan terasa lebih nyata.

Hebatnya dia sebagai komposer berevolusi dari dreamscapes gaya "A Moon Shaped Pool" kepada kegilaan jazz freestyle yang psikotik. Setiap gubahan adalah elemen rumit yang tidak terpisahkan dari setiap adegan, membina ketegangan dan menetapkan nada sepanjang hampir 3 jam durasi filem. Muzik ini berfungsi sebagai watak tersembunyi, membisikkan ketakutan kita, memperkuat paranoia, dan kadang-kadang memberikan ruang untuk bernafas di tengah kekacauan naratif.

Yang paling mengusik jiwa saya adalah keberanian Anderson menyulam pelbagai genre sekaligus. Ada komedi gelap, aksi, drama keluarga, hingga suspens politik tanpa terasa canggung. Semuanya berpadu dengan mulus dalam satu kanvas kohesif. Anderson mengetahui dengan tepat bila dan di mana untuk menaikkan atau menurunkan tahap kegilaan, memastikan penonton tetap terlibat sepanjang masa. Hampir 3 jam berdurasi, tidak pernah terasa tersumbat atau berlebihan. Ia mengalir seperti dokumentari sempurna 90 minit, membuat anda berharap ia tidak berakhir.

Saya keluar panggung dengan dada berdebar, lalu esok paginya, saya masih terperangkap dalam dunia itu. Jarang ada filem yang kesannya bertahan sebegitu lama. Lebih daripada hiburan, karya ini menyuarakan kebenaran zaman kita: jangan biarkan fanatisme politik mengikis kemanusiaan. Jangan sampai obsesi ideologi melumpuhkan kasih sayang terhadap keluarga. Di tengah arus berita dan kebisingan politik yang menyesakkan, filem ini terasa seperti cermin yang memaksa kita menilai semula diri.

Terdapat momen komedi gelap yang membuat kita tertawa terbahak-bahak terutama dari Del Toro dan DiCaprio, namun Penn membawa humor yang lebih gelap, humor tiang gantungan yang dibawa dengan keberanian yang menggelembung. Dia adalah teror, dan aktor bijak menemukan keangkuhan dalam kejahatan itu.

Selepas keluar dari panggung, saya merasa telah melihat begitu banyak, merasai begitu banyak. Berjalan ke dalam malam di tempat letak kereta, saya jujur mahu mengalami semuanya sekali lagi. OBAA mungkin magnum opus Paul Thomas Anderson. Ia adalah filem yang sempurna memahami mengapa era 70-an menjadi zaman untuk pembuatan filem yang berani dan tanpa batas. Ini adalah filem MOMEN INI, relevan, berani, menghibur, dan mengubah paradigma.

Jika anda mencintai "Magnolia," "There Will Be Blood," "The Master," "Punch Drunk Love," dan "Inherent Vice", dengan menonton OBAA, anda akan diberi ganjaran berlimpah. Mula tayang di pawagam seluruh Malaysia pada 25 September 2025, jangan biarkan karya ini berlalu tanpa jejak dalam memori anda. Inilah saatnya untuk merasai denyut zaman melalui sebuah karya yang akan dikenang sebagai filem terpenting tahun ini.