Menjejak Gunung Demi 'Pencarian Terakhir' Cetus Atmosfera Meremang Bulu Roma!

oleh: zizi hashim

Sehelai kabut tipis sering menjadi pembuka kepada kisah yang ingin bernafas dalam diam, dan Pencarian Terakhir (2025) bernafas dengan cara yang sangat peribadi, seakan memanggil penonton masuk ke rimba cerita yang pekat dengan kehilangan, mitologi, dan sebuah cinta yang belum sempat selesai. Filem arahan sutradara Affandi Abdul Rachman, produksi Starvision Plus, ini kembali membawa kita ke Gunung Sarangan, gunung yang konon menyimpan rahsia yang lebih tua dari waktu, lebih gelap dari malam.

Saat kakinya bermula melangkah, Drupadi (Adzana Ashel) bukan sekadar seorang remaja yang mahu menjelaskan misteri; dia adalah seorang anak yang sudah terlalu lama menahan kerinduan. Ketika ditinggalkan ibunya, Sita (Artika Sari Devi), pada usia sepuluh tahun, dunia Drupadi hancur dalam senyap. Ayahnya, Tito (Donny Alamsyah), menyusut menjadi lelaki yang dingin, takut menyentuh masa lalu kerana luka itu masih bernanah. Tujuh tahun kemudian, semuanya kembali bergetar.

Drupadi kembali menjejak gunung yang pernah meragut ibunya, ditemani pacarnya Raka (Razan Zu) dan geng setianya: Maya (Dinda Mahira), Ucok (Fatih Unru), Jamal (Fadi Alaydrus), dan Nurul (Alika Jantinia). Karektor veteren dari versi 2008 turut berkumpul: Bagus (Yama Carlos), Oji (Alex Abbad) dan Gancar (Tesadesrada Ryza), seolah-olah seluruh sejarah dua generasi ini berkisar pada satu titik: hilangnya Sita di Sarangan. Langkah mereka, pada mulanya, berbalut semangat persahabatan. Namun Sarangan bukan gunung yang boleh disinggahi tanpa izin. Pantang larangnya banyak, dan setiap pelanggaran bagai membangkitkan sesuatu dari perut bumi, sesuatu yang tidak mahu diganggu.

Gerak naratif filem ini tidak tergesa-gesa. Ia perlahan, seperti gunung yang memerhati dari jauh. Tetapi tepat di saat keyakinan mula berlabuh, rentetan kejadian pun mengganas. Momen ketika kumpulan itu menemui “warung misteri” lalu dipaksa memakan ulat adalah antara babak paling menggoncang naluri. Jijik, takut, terperangkap, semua hadir pada masa yang serentak. Ditambah pula dengan adegan mereka dikejar nenek hutan, saya sendiri yang menonton di pawagam terasa seperti turut berlari, kerana ketakutan itu sangat mengena bagi sesiapa yang pernah hiking sendirian di hutan yang asing.

Namun, tidak semua seram dari filem ini datangnya dari hantu. Banyak daripadanya lahir dari trauma manusia sendiri, ketakutan yang diwarisi, penyesalan yang dipendam, dan cinta yang tidak pernah diucapkan. Adzana Ashel memegang filem ini dengan cara yang jarang dilihat daripada pelakon muda. Ada keberanian, ada keretakan, ada kehilangan yang membeban di balik pandangannya. Dia bukan hanya memainkan watak Drupadi, dia menjadi lonjakan jiwanya.

Razan Zu sebagai Raka hadir dengan kesetiaan yang memberi cahaya pada gelap perjalanan mereka. Kemistri mereka manis-tawar, tidak berlebihan, tetapi cukup untuk membuatkan babak romantis terasa tulus. Donny Alamsyah, seperti biasa, mempamerkan kelasnya. Tito adalah lelaki yang patah, tetapi masih menyimpan cinta yang tidak mampu lagi dieja. Setiap batang tubuh yang kaku, setiap nafas tertahan, menjadi bukti bagaimana trauma boleh mengubah manusia menjadi bayang dirinya sendiri.

Artika Sari Devi hanya muncul sedikit, tetapi penampilannya cukup untuk menggoncang seluruh struktur emosi cerita. Keanggunan misterinya terasa menghantui bahkan selepas kredit akhir bergulir. Dan geng sahabat Drupadi? Mereka adalah gambaran manusia sebenar. Lucunya tepat, takutnya hidup, persahabatannya hangat. Fatih Unru mencuri tawa, Dinda Mahira menyimpan kekuatan halus, dan seluruh barisan pelakon menjadikan perjalanan ini terasa seperti milik kita juga.

Sutradara Affandi Abdul Rachman memang bijak mengarah seram yang tidak murahan. Beliau tidak bersandar pada jumpscare semata-mata; beliau membina ketegangan. Gunung Sarangan dirakam dalam visual kabut, warna gelap, bayangan panjang, dan shot drone yang membuat penonton terasa kecil di hadapan alam yang megah tetapi berbahaya.

Reka bentuk bunyinya… ya Tuhan. Bisikan angin, deru dedaun, langkah yang hilang, suara yang tidak tahu datang dari mana, semuanya bergabung mencipta atmosfera yang membikin bulu roma meremang. Scoring-nya pula tidak menenggelamkan cerita, malah menjadi jalinan untuk naratif misteri. Rekaan produksi seperti replika pohon pine buatan yang nampak realistik menunjukkan keseriusan filem ini. Setiap details kecil bekerja sebagai satu ekosistem.

Keindahan cerita ini terletak pada keupayaannya menggabungkan drama keluarga, thriller pendakian, dan mitos lokal tanpa rasa canggung. Konflik antara Drupadi dan Tito menjadi nadi filem, mencipta arah emosi yang kuat. Ketika pendakian bermula, filem ini berubah menjadi medan ujian mental dan fizikal. Misteri lama dari filem 2008 terkuak perlahan-lahan, satu demi satu. Tidak tergesa-gesa, tetapi cukup untuk membuat dada berdebar.

Kengerian datang bukan kerana hantu semata, tetapi kerana watak-watak muda ini melanggar pantang larang bumi yang lebih tua daripada manusia. Meski ada momen twist yang boleh dijangka, keseluruhannya tetap menyengat dan penuh makna. Pencarian Terakhir bukan hanya seram; ia adalah meditasi tentang kehilangan, cinta keluarga, dan keangkuhan manusia di hadapan alam. Ia mengajarkan bahawa pendakian tidak hanya memijak tanah, tetapi juga memijak batin sendiri dan tidak semua orang bersedia melihat apa yang ditemui di puncak.

Ini filem yang mengetuk dada, menggigilkan tulang, dan tetap hangat di hujung hati. Siapa yang hilang sebenarnya? Siapa yang ditemui sebenarnya? Jawapannya hanya menanti di pawagam Malaysia bermula 20 November 2025. Persiapkan diri anda untuk sebuah perjalanan emosi yang mendebarkan! Sebuah kisah yang akan menyingkap persoalan, membangkitkan air mata, dan meresap ke dalam jiwa. Jangan lepaskan peluang ini, ajak keluarga, sahabat atau seseorang yang penting, kerana malam anda di pawagam mungkin akan meninggalkan jejak tersendiri.