Transformasi Sang Yautja Menjadi Protagonis Dalam Kembara 'Predator: Badlands'

oleh: zizi hashim

Seperti guruh jauh yang perlahan-lahan menghampiri, memberi firasat bahawa sesuatu yang besar sedang menanti. Bumi asing yang digelar Badlands itu terbentang luas, penuh bayangan kelabu, udara beracun, dan sesuatu yang terasa seperti doa purba yang terputus. Dalam kekosongan itulah seorang Yautja muda bernama Dek memulakan perjalanan mencari musuh paling agung, namun lebih tepatnya… mencari dirinya sendiri. Galaksi yang jauh itu memanggil penonton untuk menyusuri perjalanan seorang Yautja muda yang terbuang daripada puaknya.

Francais Predator telah berjalan jauh sejak zaman Schwarzenegger mengangkat senjata dalam tahun 1987. Namun Badlands menghadirkan anjakan yang sukar dijangka: untuk kali pertama sejak filem asal, kita melihat alam Predator dari sisi batinnya, dari perspektif makhluk yang selama ini dijadikan simbol pengganas. Filem ini memindahkan kuasa naratif ke tangan Yautja itu sendiri, menjadikannya protagonis yang terluka, tercabar, tetapi masih mengusung maruah kunonya.

Keberanian sutradara Dan Trachtenberg mengubah hala tuju francais ini terasa seperti angin baharu yang menyapu padang tandus Badlands. Rentaknya lincah, namun tidak tergopoh-gopoh. Setiap babak dirangkai dengan ritma yang memikat, sebuah gabungan hikayat Yautja, drama peribadi, dan aksi yang berdentum-dentum tanpa perlu melimpahkan darah merah. Dunia ini masih ganas, tetapi warnanya dipenuhi hijau pekat, biru beku, putih cair, dan pelbagai organ asing yang menjadikan setiap ledakan terasa seperti pesta visual dari dimensi lain.

Rangka naratifnya ringkas. Dek terbuang, perlu membuktikan dirinya, dan dipaksa menempuh planet berbahaya yang dihuni binatang asing, mesin pemburu, dan struktur Weyland-Yutani yang licik. Namun di bawah kesederhanaan plot itu, Badlands membuka jendela ke budaya Yautja: ritual kehormatan, cara mereka menilai musuh, bagaimana keluarga dalam dunia mereka dibina atas kompleksiti yang tidak diungkap dalam mana-mana filem sebelumnya. Ada detik tertentu di mana filem ini memberikan aroma dokumentari kosmik. Hikayatnya terasa hidup, seolah-olah kita menyaksikan tamadun yang sudah lama menunggu untuk didedahkan.

Sinematografinya sahaja sudah cukup untuk membuat sesiapa pun tunduk seketika. Mungkin tidak konsisten, namun apabila ia berjaya, ia berjaya dengan cara yang sukar dilupakan. Ada shot planet yang seolah-olah dilumur emas mati; ada raksasa asing yang tubuhnya bergerak seperti makhluk mitologi; ada pertempuran yang berdenyut seperti nadi terakhir seorang pemburu yang enggan menyerah. Ada juga shot-shot tertentu yang seperti lukisan galaksi: permukaan planet yang membentang jauh, langit yang pecah dengan serpihan cahaya, dan reka bentuk makhluk yang menakjubkan. 

Visual efeknya terasa lebih licin daripada beberapa filem besar mutakhir, akan tetapi kekuatannya bukan semata pada kecanggihan teknologi, tetapi cara ia digunakan untuk membina suasana. Dan kemudian Thia muncul. Elle Fanning, dengan dual performance yang begitu rapi, menyuntik dimensi emosional yang tidak pernah wujud dalam francais ini. Thia bukan tipikal companion; dia berlapis, dia rapuh dan berani dalam waktu yang sama, dan dia membawa Dek ke sisi dunia yang dia tak pernah fahami, keinginan untuk suatu hubungan yang melampaui ritual darah. Ada humor yang ringan, ada sentimentaliti yang tidak membosankan dan ada detik-detik sunyi di mana suara hati dua makhluk berlainan spesis itu bertaut lebih kuat daripada ledakan plasma.

Kekuatan Badlands bukan hanya pada pertempuran, tetapi pada cara filem ini menyulam hubungan antara watak. Thia menjadi nadi yang tak disangka. Keletahnya, kejujuran ekspresinya, dan kecerdasan emosinya menjadikan filem ini lebih manusiawi walaupun dia sendiri separa sintetik. Dialah tali halus yang mengikat perjalanan Yautja muda itu kepada sesuatu yang lebih lembut daripada keganasan, iaitu persahabatan. Setiap pertemuan mereka bagai hentian kecil dari kegilaan dunia, seakan mereka saling mengingatkan bahawa kekuatan tidak bermaksud kesunyian. Fanning benar-benar mencuri layar; prestasinya bagaikan denyut hidup yang meresap ke tulang filem.

Trachtenberg sekali lagi membuktikan mengapa namanya disebut sebagai penyelamat francais ini. Selepas Prey, kini Badlands terasa lebih berani, lebih matang, lebih… tertambat pada emosi. Setiap adegan aksi dibina seperti struktur ritual purba. Tegang, padat dan penuh simbolik. Dan ketika tiba ke kemuncaknya, semuanya terbayar dengan kepuasan yang hampir terasa katarsis. Ada dendam, ada pembalasan, namun yang paling kuat ialah perjalanan batin watak-wataknya.

Meski ton filem ini berubah daripada tradisi brutal Predator yang terdahulu, perubahannya terasa seperti langkah evolusi yang selesa. Sesekali humor menyelinap, sesekali rasa sentimental melintas, dan sesekali ternyata filem ini mahu kita melihat Yautja bukan sebagai makhluk yang memburu tanpa hati, tetapi makhluk yang juga memahami kehilangan. Tambahan pula, Badlands menyisipkan subtema tentang trauma keluarga, hubungan yang retak, dan makna pengorbanan. Ada yang merungut bahawa tonnya terlalu lembut berbanding Predator klasik, tetapi irama baru ini terasa seperti evolusi yang wajar.

Dan ya, finalenya, revenge arc yang dibina dari awal adalah sebuah letupan emosi yang terancang rapi. Cliffhanger yang muncul selepas itu bagaikan magnet; menjerut hati penonton untuk kembali lagi ke galaksi yang terus berkembang ini, terutama dengan janji bahawa perjalanan Dek baru sahaja bermula. Predator: Badlands mengalir seperti saga pengembaraan yang bernafas sendiri. Kadangkala ia terasa seperti video game dalam bentuk terbaik; kadangkala seperti novel sains fiksyen lama yang dihantui kehormatan dan kesedihan. Apa pun bentuknya, naskhah ini berjaya menjadi semangat baharu francais Predator. Segar, emosional, dan masih setia kepada tradisi perburuan asalnya.

Apa pun, filem ini sedikit terbeban oleh perubahan tona yang mungkin mengasingkan peminat lama yang mengharapkan kekejaman klasik. Badlands memilih jalan lebih lembut; lebih peribadi. Namun pilihan itu terasa seperti keberanian yang patut dihormati. Dan sejujurnya, ketika tirai hampir jatuh dan cliffhanger meledakkan tanda soal besar di hujung cerita, saya sendiri rasa bagaikan ditarik ke masa depan francais ini, ingin tahu ke mana Ttkdir hendak membawa sang Yautja muda dan sahabat manusianya itu selepas ini.

Predator: Badlands menghidangkan hiburan yang meremangkan kulit, namun juga memberikan rasa hening yang jarang dimiliki filem aksi sains fiksyen. Sebuah naskhah yang mahu hidup lebih lama daripada dentuman senjata: ia mahu kita mendengar degupan hati watak-wataknya. Mulai 6 November 2025, pawagam Malaysia bakal menjadi portal ke dunia tandus yang penuh amarah, persahabatan ganjil, dan evolusi Yautja yang menggugah rasa. Jika pernah mencintai naskhah asal tahun ’87, atau jika mahu melihat sisi baharu sang pemburu yang akhirnya diberi suara sendiri, ini saatnya melangkah ke layar perak. Temui Dek dan biarkan Badlands memanggil nama anda ke dalam dunianya.