
oleh: zizi hashim
Suasana seakan bergetar perlahan setiap kali sekuel kepada sebuah filem emosional mula membuka tirai, dan Air Mata di Ujung Sejadah 2 melakukan hal yang sama, tetapi dengan langkah yang lebih matang, lebih renyah, lebih menghiris ruang perasaan. Sekuel arahan sutradara Key Mangunsong dan produksi Beehave Pictures ini menyambung kembali riwayat yang pernah meninggalkan takungan air mata dalam nadi penonton 2 tahun lalu, kini hadir dengan renungan yang lebih mendalam tentang kasih, kehilangan, dan hakikat bahawa cinta seorang ibu tidak pernah mengenal garis penamat.
Perjalanan filem ini bertaut pada kisah Aqilla (Titi Kamal) yang menyimpan keperitan sunyi dalam diam. Tiga tahun lalu, beliau melepaskan Baskara kepada Yumna (Citra Kirana) dan Arif, kerana saat itu pilihan paling pahit ialah pilihan paling betul. Namun kesunyian yang merayap di akaun media sosial keluarga itu membuat hatinya resah. Seperti ada tanda yang tidak terucap. Maka langkahnya menuju ke Solo bermula, langkah yang membawa dirinya ke tengah gelora emosi yang lebih padat daripada yang pernah terjangka.


Yumna, wanita yang kelihatan tenang di permukaan, kini dihimpit ketidaktentuan. Suaminya Arif jatuh sakit, terbaring di hospital, dan dunia kecilnya retak tanpa amaran. Kehadiran Aqilla, pada masa yang salah, dalam keadaan yang genting, menjadikan segala gerak-gerinya dibaluti curiga. Bagi Yumna, kehadiran itu seperti bayangan yang cuba merampas Baskara. Anak yang diasuh, dijaga dan dicintai seperti darah dagingnya sendiri.
Di titik inilah filem ini membuktikan kemampuannya menyentuh ruang emosi penonton. Ia mengangkat persoalan yang tidak mudah dijawab, Cinta siapa yang lebih tulus? Hati siapa yang lebih layak disebut rumah? Dan bagaimana sebuah jiwa kecil harus memilih? Baskara, kini lebih besar dan lebih matang, berada di antara dua dunia. Sorot matanya sering memancarkan keletihan seorang anak yang dipaksa memahami sesuatu yang terlalu berat untuk usianya. Lakonan Faqih Alaydrus menangkap keretakan batin ini dengan cukup halus, cukup organik.


Filem ini turut memperkenalkan Fathan (Daffa Wardhana), adik kepada Arif yang menjadi saksi sunyi kepada pertarungan dua wanita. Karektornya tidak menenggelamkan sesiapa, tetapi memberi kedalaman yang menambah tekanan psikologi pada naratif, seolah-olah memegang kaca pembesar kepada luka-luka lama yang tidak pernah sembuh.
Titi Kamal menghadirkan persembahan paling raw di sepanjang karier dramatisnya. Setiap air mata yang jatuh terasa bukan berlebihan, tetapi seakan hasil daripada ribuan malam yang tidak tidur. Citra Kirana pula memperlihatkan sisi Yumna yang lebih kompleks. Seorang wanita yang selama ini dianggap tabah, namun sebenarnya menyembunyikan badai di balik wajah yang sentiasa lembut.
Namun filem ini tidak mahu membiarkan penonton tenggelam sepenuhnya dalam kepedihan. Kewujudan Mamang Osa menjadi penawar yang membasuh dada, sementara Mbok Tun membawa kehangatan yang ringkas tetapi mengena. Setiap kemunculan mereka seakan membuka tingkap udara pada rumah yang terlalu lama tertutup.


Sinematografinya pula bergerak dalam rentak yang lembut dan kontemplatif. Banyak adegan dirakam seakan dunia terhenti, seolah setiap bingkai ingin memberi ruang kepada penonton untuk berfikir tentang perpisahan, tentang penyesalan, tentang takdir yang mengikat manusia tanpa bertanya persetujuan .Bahkan runut bunyinya tidak hanya mengiringi cerita, tetapi menjadi lonjakan emosi yang memandu hati penonton.
Farel Prayoga hadir lagi dengan “Cinta Untuk Mama” tetapi kali ini nyanyiannya terasa lebih matang, lebih sarat makna. Pengakuan peribadinya kepada ibunya sendiri menambah lapisan sentimental pada lagu itu, menjadikannya seperti gema kepada perasaan Baskara. Andmesh pula menghembuskan sendu melalui “Bukan Lagi Rumahmu.” Balada ini seperti memegang tangan penonton dan membawa mereka ke sudut tergelap hati Yumna. Tempat di mana cinta bertukar menjadi kehilangan, dan kenangan menjadi beban.
Lirik yang ditulis dari perspektif Yumna menghantar rasa yang hampir membelah dada. Tambahan pula, lagu “Bintang-Bintang” oleh Keke Adiba & Yogie Nandes, serta “Pura-Pura Bahagia” oleh Fadhilah Intan, menjadi jahitan emosi yang mengikat keseluruhan naratif. Semuanya bekerja seperti satu orkestra halus yang menyatukan air mata dan ketabahan.


Meskipun ada kritikan menyatakan konflik sekuel ini tidak setajam filem pertama, Air Mata di Ujung Sejadah 2 memilih jalan berbeza. Ia bukan mahu menandingi getaran lama, tetapi memurnikannya. Filem ini lebih reflektif, lebih dewasa, lebih memerhatikan diam-diam bagaimana manusia memaafkan diri sendiri. Dengan durasi 112 minit, karya ini bergerak seperti sebuah doa panjang. Kadang perlahan, kadang menggoncang, tetapi sentiasa jujur.
Sebagai seorang ibu yang mempunyai anak kandung, membesarkan dari bayi dihadapan mata saya sehingga kini sudah besar panjang, saya sejujurnya tidak mampu untuk berpihak kepada salah satu pihak. Ada yang kata saya sepatutnya masuk ke #teamibukandung tetapi dalam masa yang sama saya turut merasakan sakitnya perasaan ibu angkat yang membesarkan sejak bayi. Hancur luluh hati saya pada babak perpisahan Baskara dengan Yumna, saya menangis tersedu-sedu tanpa peduli sekeliling saya. Saya yakin bukan hanya saya seorang yang merasa sakit dan menangis malam itu.
Akhirnya kita tiba kepada persoalan yang tidak pernah hilang, Ke mana Baskara akan berpaut? Kepada ibu yang melahirkan, atau kepada ibu yang membesarkan? Atau mungkinkah cinta seorang anak sebenarnya tidak perlu memilih? Filem ini mula menghuni pawagam seluruh Malaysia 20 November 2025, mengajak penonton melalui perjalanan emosional yang tidak dapat dielakkan. Siapkan tisu. Siapkan ruang dalam hati. Kerana kisah ini tidak hanya untuk ditonton, ianya untuk dirasakan.