
oleh: zizi hashim
Bergerak seperti arus liar yang tidak mengenal halangan, ada sesuatu yang memikat tentang cara KLEPET memperkenalkan 3 sahabat ini diberi nama Paly, Wady dan Jany ini. Dengan gaya hidup motorhome yang serba bebas, KLEPET hadir dengan tenaga yang tidak sempat memberi ruang untuk kita berfikir panjang. Ceritanya terus menyeret saya masuk ke orbit 3 sahabat yang hidup seakan nomad moden. Mereka berkeliaran sambil mengejar kebebasan yang kadang terasa mustahil dicapai dalam dunia nyata. Keriuhan pesta sehingga jam 4 pagi itu membentuk suasana realiti anak muda zaman sekarang. Ketawa yang melimpah, muzik yang membingitkan, dan keletihan bahagia sebelum subuh.
Ketika pagi menjengah, ketiga-tiganya terkulai dalam keletihan yang manis, tanpa menyedari bahawa hidup mereka akan bertukar hala dengan cara yang pelik, rawak dan menggelikan hati. Lalu muncullah Lola, gadis Ukraine yang muncul dengan pakaian berdarah, berdiri di antara perabot sempit motorhome itu, wajahnya cemas namun tetap menyimpan sisi misteri yang mencetuskan tanya. Jeritan bertindih, panik yang bercampur-baur dengan kelucuan, dan Jany yang mengetuk kepala Lola dengan cebok, semuanya membuat saya tersenyum sendiri. Kecelaruan itu terasa jujur, tidak direka untuk menghibur semata-mata, tetapi mencerminkan kekacauan manusia ketika berhadapan hal-hal yang tak masuk akal.


Puncaknya bermula saat Jany, terkejut dengan jeritan Lola ketika memandu, terlanggar Hitman. Ketiga mereka memeriksa keadaan, dan Paly terlihat sebuah beg sarat dengan wang. Walaupun Jany ragu-ragu, Paly mengambil keputusan untuk mencuri wang itu kerana tiada saksi. Keputusan itulah yang menjerumuskan mereka ke Hotel Astakona, tempat mereka berempat menunggu Lawi, ketua gangster yang akan membantu “mencuci” wang tersebut.
Watak Yak dan Jud pula menggerakkan konflik lebih mendalam; mereka mengejar Lola atas arahan ketua mereka, sementara Hitman lakonan Aeril Zafrel menuntut semula wangnya yang sudah “terpusing” ke tangan Paly. Rangkaian peristiwa tak henti-henti ini membuatkan cerita menyerupai domino yang jatuh berturut-turut. Lari, sembunyi, terlanggar, menipu, berunding dan akhirnya terperangkap.
Apa yang mengkagumkan ialah bagaimana filem arahan Indra Putra (Sanji) ini menggabungkan kecelaruan visual dengan sentuhan animasi pendek, seolah-olah menyelitkan jiwa komik ke dalam aksi hidup. Masuk akal sebenarnya, kerana KLEPET ialah spin-off komik Under 18 karya Zint, komik yang pernah menemani sebahagian daripada kita ketika sekolah. Tahun 2025 terasa seperti tahun di mana karektor komik tempatan keluar dari halaman kertas dan menjelma ke layar, ditemani sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) oleh FINAS.


Gandingan Aedy Ashraf, Meerqeen dan Nadhir Nasar menjadi titik tumpu yang paling mempesona. Mereka menghidupkan persahabatan yang bergelora tetapi tulus. Paly digambarkan matang tetapi impulsif, dengan pelat L ke R yang kadang lucu tanpa sengaja. Jany pula polos dan lembut hati, seorang yang menjaga disiplin solat tetapi tetap menari sakan ketika berpesta. Wady, lakonan Meerqeen, hadir sebagai generator tawa paling mencolok; timing komedinya tepat, dan babak dia menyakat Yak dalam kereta menjadi momen yang paling melekat dalam ingatan saya sampai terhenti sekejap daripada bernafas. Ada kecerdikan halus dalam cara humor itu dipersembahkan.
Penceritaan filem ini banyak bergerak laju, tetapi masih mudah dicerna kerana jumlah wataknya tidak berselerak. Kemunculan Fadhli Masoot sebagai Dr. Jebat pula menambah rempah komedi yang menyedapkan, meskipun ruangnya agak kecil. Namun, ketika filem cuba masuk ke zona drama, rentaknya sedikit tergelincir. Konflik antara Paly dan Jany, rahsia yang tidak dijelaskan, ketidakhadiran melawat Wady di penjara, perpisahan yang tidak begitu berpunca, kelihatan kurang terjalin kemas. Tetapi mungkin itu lumrahnya persahabatan lelaki: diam, elak, dan tiba-tiba bertemu kembali dengan sebaris ayat dari Surah Al-Insyirah yang kedengaran seperti penawar sunyi.


Watak Lola pula dalam separuh kedua cerita tampak kurang rasional. Soalan paling besar ialah mengapa dia tidak menggunakan aplikasi AI ciptaan Jany untuk berkomunikasi, terutama ketika trio itu mula bergaduh besar. Namun kerana filem ini bernaung di bawah genre komedi, kecacatan logik itu terasa kecil dan mudah dimaafkan. Visual dan audio filem ini memancarkan keberanian. Warna terang, gerakan kamera yang cergas, elemen animasi yang menyelit tiba-tiba tetapi tidak mengganggu, malah memberi rasa seakan menonton komik hidup. Perincian teknikal ini menjadikan KLEPET berbeza daripada komedi aksi tipikal tanah air.
Kesimpulannya, KLEPET ialah naskhah yang dicipta untuk membuat kita ketawa selepas hari-hari yang berat. Ia seperti tonik ringan bagi hati yang mendung. KLEPET mengalir seperti botol tawa yang dibuka perlahan-lahan selepas hari panjang penuh tekanan. Ia mengajak penonton melepaskan beban, menyingkir kusut kepala, dan membiarkan diri hanyut dalam kelucuan yang tidak berpura-pura. Kerusi pawagam malam itu terasa lebih ringan, seperti dunia luar berhenti seketika untuk memberi ruang kepada kita bernafas
Duduk saja, kunyah popcorn, biar kacau-bilau mereka menggembirakan kita. Dan ya... gelak tawa itu datang dari tubuh yang letih, tetapi terasa seperti terapi yang murah dan memulihkan. Untuk sesiapa yang perlukan ruang pelarian daripada tekanan kerja dan keserabutan hidup, inilah filem yang paling serasi. Sesiapa yang sedang mencari kelucuan yang mampu mencairkan penat, atau mahu sejenak melarikan diri daripada simpang-siur hidup yang tak pernah memberi rehat, KLEPET sedia menanti.
Gelak yang tercetus sepanjang cerita ini bukan gelak kosong; ia terasa seperti udara segar yang menyingkirkan kusut dalam kepala. Mulai 27 November 2025, pawagam seluruh Malaysia akan menyala dengan huru-hara manis Paly, Jany dan Wady, 3 sahabat yang terseret ke dalam kekacauan paling lucu yang tak pernah mereka rancang. Jika jiwa perlukan ruang untuk bernafas, kalau hati mahu disapa kelincahan cerita yang ringan namun menghiburkan, singgahlah ke layar besar dan biarkan KLEPET menggamit tawa yang sudah lama tertahan.