Mencari Ramlee: Sebuah Pengakuan Rindu, Siapakah P. Ramlee Dalam Kenangan?

oleh: zizi hashim

Tirai dibuka kepada sebuah filem baharu, mahakarya sulung sutradara Megat Sharizal, membuat saya terasa bagaikan membuka jendela lama yang tertutup debu nostalgia, menyambut semula kehadiran satu nama yang tidak pernah pergi, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Sebuah naskhah yang kalau menurut saya, tidak terburu-buru untuk memikat, namun perlahan-lahan menyelinap ke dalam perasaan. Tidak datang untuk menjawab soalan tentang siapakah P. Ramlee di mata sejarah. Sebaliknya, ia membuka ruang untuk bertanya siapakah P. Ramlee dalam kenangan, dalam ilusi kolektif bangsa, dan dalam kita yang telah lama kehilangan makna pada kata 'warisan'?

Saya hadir di malam tayangan perdana membawa bersama anak lelaki remaja saya, anak kepada zaman yang tidak sempat mengenal P. Ramlee secara langsung. Dia langsung tidak pernah menonton filem-filem P. Ramlee, meski kerapkali saya memaksanya untuk menghargai, dia sentiasa memberi alasan. Dalam deretan baju kotak, skirt kembang dan fedora yang cuba menghidupkan semula aura 70-an, saya duduk di kerusi panggung dengan harapan yang samar semoga anak saya dari generasi baru akan menyukai filem ini, serta nostalgia yang terlalu kabur untuk didefinisikan. Surprisingly filem ini... membuka sesuatu dalam diri saya dan anak saya. Dan percaya atau tidak, anak saya memberi markah tinggi untuk 'Mencari Ramlee'.

'Mencari Ramlee' tidak berdiri sebagai biografi, tidak juga berhasrat menjadi rakaman sejarah. Tidak juga cuba menjadi dokumentari atau epik sejarah. Ia memilih ruang yang lebih jujur iaitu ruang emosi. Mengambil latar pada 31 Mei 1973, sehari selepas pemergian seniman agung itu, filem ini membina naratif berani dan menyentuh. Kita dibawa masuk ke dalam hidup Zakaria (Tony Eusoff), seorang peniru gaya P. Ramlee yang bergelut dengan kemelut hidup, beban hutang dan bayang-bayang kegagalan, memaksanya berhadapan dengan gangster atau Abg Long Kawasan, Yusuf (Megat Sharizal).

Namun, percaturan takdir menjadi lebih rumit apabila kakak Yusuf, Zaiton (Sofea Jane), yang menghidap amnesia, mempercayai bahawa Zakaria ialah P. Ramlee yang sebenar. Dari sinilah bermula lakonan yang bukan sahaja merentap identiti Zakaria, tetapi juga menyelongkar lapisan-lapisan jiwa tentang cinta, kehilangan, dan harga sebuah warisan seni. Maka bermulalah sebuah teater yang mengaburkan sempadan antara penipuan, pengharapan, dan cinta. Saya hampir-hampir terpedaya. Bukan oleh naratif, tetapi oleh betapa liciknya filem ini mempersembahkan ilusi. Dalam ruang-ruang sunyi, dalam cahaya samar dan bisikan lagu-lagu klasik, kita tidak lagi tahu apa yang nyata dan apa yang hanya kenangan kolektif yang terlalu rindu untuk dilepaskan.

Kemunculan beberapa watak ternama seperti Bront Palarae, Mimi Lana, Vanidah Imran dan Iedil Dzuhrie menambah kekayaan rasa, namun sorotan tetap tertumpu pada Sofea Jane dan Tony Eusoff. Sofea, dengan renungan kosongnya yang menyimpan ribut emosi, benar-benar menghidupkan watak Zaiton yang rapuh dan penuh misteri. Dan kemunculan Najua P. Ramlee, cucu kepada seniman yang dirindui itu, ia satu momen yang membuatkan dada terasa penuh.

Namun, filem ini juga menuntut kesabaran. Resolusinya sukar ditangkap, seolah-olah disengajakan agar penonton sendiri menyulam makna. Apakah Zakaria dan Zaiton benar-benar mati? Atau itu hanya pentas dalam pentas, ilusi dalam lakonan? Adegan peacock yang menjelma menjadi Zaiton, dan babak pertukaran set setiap kali nama Zakaria disebut, semuanya seperti serpihan mimpi yang belum lengkap. Dan mungkin itu maksud Megat. Bahawa 'Mencari Ramlee' bukan tentang menjumpai satu jawapan. Tapi tentang menyedari bahawa kita telah lama kehilangan keikhlasan dalam seni, dan lakonan adalah satu-satunya cara untuk jujur.

Meski ada ketikanya, dialog dalam filem ini terasa janggal. Antara baku dan santai, kadang-kadang seperti tidak tahu ke mana arah lidahnya mahu pergi. Tetapi muzik, oh muziknya. Dalam naskhah ini, Pitahati, kumpulan yang dikenal dengan eksperimentasi sonik dan kepekaan estetik, menyulam muzik sebagai jantung kepada nadi naratif. Setiap melodi bukan sekadar latar, tetapi terasa seperti bisikan zaman silam yang masih ingin didengari. Setiap gubahan lagu semacam roh kepada naratif. Dalam adegan romantik Zakaria dan Zaiton, alunan melodi menjahit luka dengan benang keindahan, membuatkan babak itu seperti mimpi yang kita tahu tidak akan kekal.

Gaya pengarahan Megat Sharizal tidak bersandar pada kemewahan visual semata. Ia bermain dengan rasa, melalui cahaya yang redup, dialog yang sederhana namun tajam, serta ruang-ruang sunyi yang mempersilakan penonton untuk berfikir dan merasa. Filem ini menjadi 'surat cinta' kepada zaman keemasan filem Melayu, seperti yang disebut oleh Megat sendiri, dan surat itu ditulis dengan tinta yang jujur, sentimental, dan matang.

Diterbitkan oleh Playground Film Sdn Bhd dengan sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) FINAS, filem ini bukan sahaja dirayakan di tanah air. Ia juga dipilih untuk tayangan rasmi di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR), sebuah pencapaian yang membuktikan bahawa cerita kita masih punya gema di dunia luar. D’Ayu Pictures bertindak sebagai pengedar, membuka peluang lebih luas untuk naskhah ini menembusi pasaran global. Karya ini mengingatkan kita bahawa seni klasik tidak usang. Ia tidak perlu digilap semula agar berkilat. Cukuplah kita menyentuhnya dengan rasa hormat dan kasih, dan ia akan kembali bernyawa.

'Mencari Ramlee' bukan tentang siapa P. Ramlee dalam sejarah. Ia tentang siapa P. Ramlee dalam hati kita. Ia mengangkat persoalan identiti, kehilangan, dan penghargaan yang sering datang terlalu lambat. Zakaria yang 'berlakon' sebagai Ramlee, dalam diam mengajar kita bahawa setiap insan punya peluang untuk menjadi wira walau hanya seketika, kerana dalam lakonan itu, ada kejujuran yang membebaskan.

Kalau menurut saya, filem ini adalah pengakuan bahawa kita rindu. Rindu pada era yang tak sempat kita kenali sepenuhnya. Rindu pada seni yang lahir dari jiwa, bukan algoritma. Sebuah eksperimen yang tidak sempurna, tetapi berani. Tidak menutur dengan suara lantang, tetapi dengan bisikan. Bukan filem untuk semua orang, dan itu bukan kelemahan. Kerana dalam keberaniannya merayakan absurditi dan kesamaran, filem ini menjadi cermin kepada zaman yang kita rindu tetapi tak pernah benar-benar kenal.

Dan mungkin, dalam adegan Zakaria menggenggam tangan Zaiton, yang tidak pasti apakah cinta atau ilusi, kita temui sesuatu yang tulus. Bahawa kita semua, tanpa sedar, masih sedang mencari Ramlee dalam hidup yang semakin kehilangan melodi. Yang paling menyentuh adalah rindu pada seorang lelaki yang pernah menggetar jiwa kita dan berkata, "Andai dipisah... Lagu dan irama... Lemah tiada berjiwa... Hampa..." 

Begitu jugalah filem ini, antara pementasan dan sinema, antara fakta dan emosi, antara Ramlee dan kita. Tidak cuba menandingi legasi itu, 'Mencari Ramlee' hanya menyulam secebis rasa bahawa dalam dunia hari ini yang serba pantas, kita masih perlukan filem yang membuatkan kita berhenti, bernafas, dan mengenang. Dan dalam pencarian itu, saya temui bukan jawapan, tapi kerinduan yang akhirnya terasa sah untuk diisytiharkan. Ayuh ramai-ramai saksikan 'Mencari Ramlee' menjelang 19 Jun 2025 ini di pawagam seluruh Malaysia dan rasakan sendiri emosinya!