Martabat Misi Berdarah: Apabila Ekstra Dah Tak Mahu Jadi Pelakon Tambahan Sahaja, Huru Hara Jadinya!

oleh: zizi hashim

Siapa sangka, dari sembang kosong di meja mamak lahirnya sebuah filem komedi yang menyengat, menyakat, dan diam-diam menyentuh urat hati. Martabat: Misi Berdarah bukan filem lawak biasa-biasa. Ia adalah nukilan dari sisi gelap dunia perfileman, diceritakan dengan cahaya dan tawa. Gurauan di meja mamak boleh menjadi cermin jujur yang memantulkan realiti walau dalam gelak ketawa.

Saya masuk pawagam tanpa banyak ekspektasi. Saya cuma nak release stress otak dan hanya fokus nak gelak. Selepas beberapa minit filem berlangsung, saya mulai sedar ini bukan filem parodi kosong. Ini tribute istimewa dalam durasi 119 minitpenghormatan yang penuh cinta dan ironi kepada golongan paling kurang disebut dalam ucapan kemenangan mana-mana anugerah: pelakon tambahan, kru teknikal, dan ‘orang belakang kamera’ yang tidak pernah naik nama di poster. Tentang manusia yang selama ini berdiri di hujung bingkai kamera, namun tetap berdiri meski jarang dipandang.

Ceritanya berkisar tentang 5 sekawan, manusia-manusia yang cukup gembira dapat jadi pokok dalam latar belakang atau jadi askar #87 yang mati awal. Tapi bukan itu yang mereka kejar. Mereka cintakan dunia lakonan, meski cuma mampu berada di pinggir lensa. Mereka datang ke set penggambaran dengan impian kecil: diberi peluang untuk bersinar, walau hanya sekelumit, pun jadilah! Dari semangat itu, bermulalah sebuah kembara gila… apa lagi, segalanya jadi huru-hara. Tetapi gila yang manis untuk dikenang kelak. Bukan sekadar babak demi babak kelakar, tetapi juga komentar pedas tentang diskriminasi industri, keangkuhan status, dan realiti yang selalu dibungkus manis oleh sorotan lampu.

Salah seorang mereka, Azza (dilakonkan oleh Shiqin Kamal), dengan tidak sengaja mencederakan pelakon utama yang antagonis, bukan dengan niat, tetapi mungkin kerana karma dari semua ekstra yang pernah disepak terajang tanpa minta maaf. Bila penggambaran tergendala dan tiada pelakon gantian, maka terjadilah titik mula kekacauan. Dan tiba-tiba muncul Tok Batin, seorang ketua penjenayah sebenar yang menyamar sebagai pelakon utama. Dari situlah, segala-galanya meletup, huru-hara, lucu dalam erti yang tak dijangka, meletus bukan sahaja dengan letupan sinematik, tetapi juga dengan parodi dan sindiran yang tajam, secara literal dan metafora. 

Apa yang menjadikan filem ini benar-benar hidup ialah kejujurannya. Setiap adegan tidak memaksa lawak, tidak menjerit minta perhatian. Lawaknya bukan jenis terjerit-jerit. Ia sinis, nakal, dan penuh sindiran terhadap industri. Malah, dalam kurang 10 minit, pawagam sudah dipenuhi gelak yang tulus. Lawaknya bersifat lokal, tetapi resonansinya universal. Mereka yang pernah berada dalam produksi, pernah jadi kru senyap, akan terasa tersentuh. Dari studio besar sampai pelakon demand, semua ‘kena’ tetapi dengan gaya yang masih penuh kasih sayang.

Bukan sahaja lawak itu menjadi, malah susunan plotnya juga kemas. Tiada ruang kosong yang bosan. Malah, sinematografinya mengejutkan saya. Tidak dibiarkan hambar, ada sudut kamera yang berani, efek khas meyakinkan, dan penggunaan lokasi yang eksentrik menambah nilai dramatik. Filem ini tahu ke mana ia mahu bawa penonton, dan ia bawa kita ke sana dengan penuh yakin. Zahiril Adzim dan Adrian Teh sebagai pengarah bersama menyulam realiti dengan humor secara elegan. Setiap pelakon, tanpa kecuali, memberikan nyawa pada watak yang mereka bawa. Tiada siapa yang mendominasi; tiada yang tenggelam.

Tiada pelakon yang 'overpower'. Setiap watak, sekecil mana pun, ada momen tersendiri. Ada impak. Bahkan cameo-cameo yang muncul ibarat bonus tak dijangka yang buat kita gelak lagi kuat. Lebih penting, setiap watak yang muncul bukan sekadar simbol hiburan, tapi representasi sebenar ekosistem industri hiburan kita, dari wajah-wajah ternama hingga mereka yang hanya berusaha dalam senyap. Kalau anda rajin perhati, ada juga parodi terhadap figura terkenal industri seni dan itu yang buat filem ini terasa dekat, terasa ‘kena batang hidung’.

Zahiril Adzim, dalam debut pengarahan bersama Adrian Teh, berjaya menyatukan dua dunia, dunia gelak ketawa, dan dunia realiti pahit industri. Martabat: Misi Berdarah adalah hiburan dalam bentuk cermin retak yang menyorot senyap orang-orang belakang tabir yang selama ini kita lupa ucap terima kasih. ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas dan Astro Shaw patut diberi tepukan gemuruh kerana memberi ruang kepada kisah seperti ini untuk bernafas. Tak ramai berani buat cerita tentang ‘orang kecil’ dengan nada besar, tapi mereka buat, dan buat dengan baik.

Martabat: Misi Berdarah adalah dedikasi, sebuah penghargaan buat para pelakon tambahan, kru belakang tabir, dan semua yang sering dilupakan ketika lampu studio dimatikan. Ia membuktikan bahawa filem lucu juga mampu menyentuh, bahawa cerita ringan juga boleh membawa beban makna yang berat. Meski filem ini sangat santai dan bersifat filem 'pop corn', ia memberi pengalaman menonton yang menarik. Dan bagi saya, ia mengingatkan bahawa setiap senyap di belakang layar menyimpan gema yang layak diberi pentas apresiasi.

Martabat: Misi Berdarah ialah filem untuk kita yang selalu merasa ‘ekstra’ dalam hidup orang lain. Ia mengingatkan, walau kita cuma muncul dalam satu babak, jangan lupa, setiap watak ada nilainya. Filem ini kelakar, ya. Tapi di sebalik gelak ketawa itu, ia bisikkan satu hal: martabat tak datang dari sorotan, tapi dari keberanian berdiri walau dalam bayang-bayang.

Jadi, kalau anda hendak tonton sesuatu yang lucu, sinis, sedikit gila tapi sangat jujur… silakan ke pawagam dan saksikan sendiri misi berdarah penuh martabat ini bermula 12 Jun 2025 di pawagam seluruh Malaysia.