Lubang Duka, Liang Trauma Dan Bisikan Masa Lalu Ayah Dan Anak Dalam Rintik Misteri 'Indera'

oleh: zizi hashim

Ada ketikanya, luka yang lama tak pernah sembuh hanya berpindah dari tubuh ke tubuh, dari generasi ke generasi, dalam diam yang pekat dan dalam sunyi yang tidak sempat disuarakan. Indera, arahan sutradara Woo Ming Jin, mengajak kita masuk ke dalam ruang itu. Ruang antara kehilangan dan harapan, antara dosa dan pembalasan, antara yang hidup dan yang telah lama diam di dasar perigi. Indera adalah meditatif, menggali trauma individu dan kolektif, serta membingkai sejarah hitam Malaysia sebagai latar yang menyayat dan mengganggu jiwa.

Woo Ming Jin, yang pernah mencuri perhatian menerusi filem Stone Turtle (2022), membina semesta Indera dengan sentuhan seram misteri yang mengalir seperti bisikan lembap. Tema Memali 1985 menyelubung ruangan dengan rasa takut yang tidak hanya dipicu bom dan meriam, tetapi juga oleh dinding bisu masa lalu dan penjajahan rasa tidak aman. Kerana luka sejarah tidak membisu, ia bergema melalui anak-anak kampung, industri ketidakpercayaan, dan tangisan yang tak terlihat mata.

Joe, seorang bapa tunggal yang dipukul duka dan dihimpit hutang, membawa anak perempuannya, Sofia, berpindah ke sebuah kampung terpencil. Mereka menyusur jejak ke hujung hutan, mencari pekerjaan, mencari tempat berlindung, tetapi apa yang mereka temui adalah sebuah rumah usang yang menyimpan lebih banyak pertanyaan daripada jawapan. Di situ, seorang wanita Jawa yang meminta dipanggil “Ibu” menanti bersama anak-anak yang matanya penuh rahsia. Perigi tua di belakang rumah bagai menyimpan gema yang hanya dapat didengar oleh jiwa-jiwa yang sudah lama patah.

Sinematografi Saifuddin Musa memahat suasana dengan lembut: cahaya mentari menari di celah daun, tetapi bayangnya tetap pekat; wajah Sofia yang muram, rautnya adalah kanvas emosi. Menangkap sudut jarak dekat wajah Sofia yang sunyi, pantulan cahaya di permukaan perigi, dan rongga rasa yang tersangkut di antara daun pohon, segalanya menyatu dalam estetika sunyi yang merentas rupa. Latar itu, baik rumah “Ibu” yang misteri, atau perigi yang menanti bisikan pagi dan malam menjadi watak sendiri dalam filem ini, menanggung rahsia dan rasa bersalah. Meski menangkap keindahan landskap desa, dalam masa yang sama mengikat penonton ke dalam perasaan terkurung yang tidak terucap.

Sejujurnya, saya akui memang agak struggle dengan plot yang mengalir lambat apabila dialog dan foreshadowing berkelindan seperti lapisan kabut pagi, menuntut tumpuan penuh. Gaya penceritaan yang mengalir bak mimpi buruk yang samar-samar, babak-babak kadangkala terasa longgar dan draggy dan naratif ‘cerita dalam cerita’ gaya Melayu tahun ’60an tanpa sari kata Melayu semakin menambah lapisan kekaburan, namun juga memanggil rasa ingin tahu, apakah yang tersembunyi di tiap patah kata yang hilang itu? Filem ini tidak mengejar jeritan, tidak mengejut dengan bunyi. Ia perlahan, terlalu perlahan barangkali untuk sesetengah orang, tetapi dalam setiap sunyi itu, ada kelam yang tumbuh. 

Sofia, anak kecil yang tidak bersuara, tapi matanya bercerita tentang dunia yang tidak kita kenali, menjadi cerminan kepada segala yang telah dikubur ayahnya. Dan seperti kisah dongeng yang dibacanya saban malam, rumah itu menjadi istana ngeri, lubang menjadi portal, dan suara-suara yang memanggil menjadi ujian terakhir kepada kasih sayang yang semakin kabur bentuknya. Shaheizy Sam, dalam peranannya sebagai Joe, membawa beban watak dengan cukup jujur. Mata yang selalu redup, langkah yang sentiasa ragu, dia bukan hero, dia cuma manusia yang terperangkap dalam salah dan silap yang dia sendiri tidak tahu bila bermula. Dan Sofia, meski dalam diam, adalah suara paling kuat dalam filem ini.

Langkah pertama Joe selepas tragedi kehilangan isterinya, Anisa (Azira Shafinaz), di tengah hutan bertukar menjadi cabaran rasa bersalah, tanggungjawab, dan trauma yang menanti untuk dihadapi. Sembilan tahun kemudian dia kembali terpikat oleh sebuah tawaran sebagai tukang serba boleh untuk seorang wanita Jawa eksentrik (Ruminah Sidek) yang tinggal bersama beberapa kanak-kanak misteri. Sebagai ayah yang terperangkap dalam nostalgia dan kesedihan, setiap pandangan Joe seperti memanggil bayangan masa lalu, masa ketika Anisa masih mendengar ucapan terakhirnya. Sofia (Samara Kenzo), adalah gema trauma yang kecil tetapi bersinar, kecerdasan kanak-kanak dipadu dengan perasaan yang dipendam. Tatapannya memancarkan bisikan duka yang belum dijentik kata.

Dalam kekeliruan, saya tersentuh dengan lapisan sejarah yang dibentangkan. Berlatar belakang peristiwa Memali 1985, satu bab berdarah yang masih menjadi luka kolektif, filem ini tidak menuding, tetapi menyulam latar itu dalam bentuk alegori. Soalan tentang ketaatan, kebebasan, dan autoriti bergerak di latar seperti bayang-bayang yang tak pernah hilang, mahu mengingatkan kita bahawa seram paling nyata bukan hantu, tapi manusia itu sendiri bila hatinya dipenuhkan dengan dendam, ketakutan dan kehilangan arah. Ada babak yang terasa terlalu meleret. Ada naratif yang terbelit dan perlukan tumpuan tinggi untuk difahami. Tapi mungkin itulah hakikat trauma, tidak lurus, tidak logik, dan selalunya berputar tanpa hujung.

Penutup filem ini menembusi perlahan: tidak semua yang hilang boleh dicari, tidak semua kesalahan boleh ditebus. Indera bukan hanya misteri. Ia adalah gambaran tentang bagaimana masa lalu memanggilmu, tentang rumah yang mungkin bukan lagi tempat pelindung, dan tentang bisikan yang menuntut kamu untuk tidak berkata selamat jalan. Saya keluar pawagam dalam keadaan terdiam, terasa bagaikan perigi itu masih menunggu, Sofia masih berdiri di tepinya, dan saya masih terdengar suara yang berseru, “Jangan toleh! Jangan jawab!” Tetapi adakah kita harus terus langkah… atau perlu menatap bayangan dahulu?

Sebagai penonton yang tidak cepat ‘tangkap’ semua maksud tersirat, saya rasa ada bahagian Indera yang melepasi pemahaman saya. Tapi itu tidak menjadikan ia kurang bermakna. Kadang-kadang, filem seperti ini tidak memerlukan kita untuk faham semuanya, cukup kita rasa. Dan saya rasa trauma Joe, ketakutan Sofia, dan luka sejarah yang belum sembuh. Indera ialah filem untuk mereka yang sukakan filem seram perlahan, berlapis, dan penuh subteks, seperti Hereditary, Roh, atau Midsommar. Bukan popcorn horror. Ia lebih kepada renungan ke dalam jiwa dan cerminan masyarakat kita yang masih berdarah di bawah wajah yang tenang.

Justeru, jika anda seorang penggemar filem seram yang menghirup naratif perlahan, 'slow burn' dan digerakkan oleh plot, lensa sejarah, dan simbol, Indera berdiri sebagai karya unik dalam sinema tempatan. Dengan durasi 1 jam 44 minit, Indera mulai ditayangkan di pawagam Malaysia bermula tanggal 7 Ogos 2025. Hanya satu peringatan: jangan cepat berlalu dari layar kerana sapaan sunyi filem ini masih bergema, lama setelah lampu pawagam menyala. Meski keliru dan tak faham, mungkin itu hanya saya. Siapa tahu anda akan temui jawapannya, tontonlah dan cari gali sendiri. Dan bila ada suara panggil dari belakang… jangan toleh! jangan jawab!