Liku-Liku Kehidupan Pencuri Yang Ingin Menjadi Baik, Bukan Mudah Dalam 'The Bad Guys 2'

oleh: zizi hashim

Ada sesuatu yang sentimental dalam menyaksikan sekumpulan penjahat yang sudah dikenali sejak pengembaraan pertama mereka masih bergelut dengan persoalan yang sama. Bolehkah seseorang yang berdosa menjadi baik tanpa membuang siapa dirinya yang asal? The Bad Guys 2, yang mula ditayangkan serentak di Malaysia bermula 7 Ogos 2025, kembali memanggil kita masuk ke dunia absurd di mana kereta mewah dicuri semudah menarik nafas, dan kentut seekor piranha cukup kuat untuk menghantar mereka terbang ke angkasa.

Terdengar karut? Memang! Tetapi kadang kala, kita memang perlu sedikit kekarutan untuk memahami kejujuran di sebalik kekacauan. Di bawah arahan sutradara Pierre Perifel sekali lagi dengan naskhah dari Yoni Brenner dan Etan Cohen, filem ini masih merujuk pada buku kanak-kanak karangan Aaron Blabey. Estetika visual kekal sebagai nadi utamanya, menggabungkan ketajaman animasi 3D dengan sentuhan sketsa 2D yang terasa hidup dan organik.  Warna-warna yang terpercik di layar bukan sekadar kosmetik; ianya mencerminkan kekalutan batin setiap watak, dari Mr. Wolf yang keliru, hingga Mr. Snake yang masih menyimpan rasa curiga terhadap dunia.

The Bad Guys 2 dibuka dengan kilas balik menarik terkait misi pencurian di Cairo yang penuh gaya dan ketegangan itu. Selepas itu geng Bad Guys memutuskan untuk taubat dan menjauh dari dunia jenayah. Mr. Wolf (Sam Rockwell), Mr. Snake (Marc Maron), Mr. Shark (Craig Robinson), Mr. Piranha (Anthony Ramos), dan Ms. Tarantula (Awkwafina) cuba menjalani hidup normal, meski mereka tahu, ‘normal’ itu hanyalah cakap-cakap kosong. Sudah tentu keadaan tidak semudah yang mereka bayangkan. Ketenangan tidak lama bertandang. Kedamaian tidak bertahan lama.

Tuduhan baru pula datang menggoncang nama mereka, memaksa satu misi terakhir dimana kali ini melibatkan karektor-karektor eksentrik: Doom, Kitty Kat dan Pigtail yang lebih cerdas, lebih merbahaya dan lebih menggoda. Begitu juga dengan kemunculan semula musuh lama Professor Marmalade, si antagonis flamboyan yang lebih mirip sebagai parodi Elon Musk berbanding ancaman sebenar. Oh, dan jangan lupa, ada juga subplot romansa antara Mr. Wolf dan Gabenor Diane Foxington.

Bagaimanapun bukan konflik luaran yang paling mengusik perasaan, melainkan pergelutan dalaman. Apabila kita menyaksikan Mr. Wolf perlahan-lahan dihimpit keraguan, bukan pada dunia, tetapi pada keputusannya sendiri untuk menjadi 'baik', kita dihadapkan dengan soalan yang menusuk: apakah keinsafan itu mesti menghapus identiti? Atau adakah ruang untuk menjadi baik sambil tetap menjadi diri sendiri? Situasi seperti itu lantas memaksa geng Bad Guys kembali melakukan aksi berani demi melindungi nama baik mereka sekaligus mencegah kejahatan yang lebih besar. Berhasilkah mereka?

Saya cukup tertarik dengan kombinasi animasi 3D dan sentuhan ala lukisan tangan 2D yang memberi keunikan lewat visual tajam, dengan tambahan energi bagi setiap karektornya. Lihat sahaja pada adegan aksi, ketika gerak-geri bertempo tinggi tampak lebih dinamik untuk ditonton. Ditambah jenaka lucu yang efektif memanfaatkan konsep bad-guys-go-good serta karektoristik haiwan watak-watak, yang pada akhirnya mampu menjadikan The Bad Guys 2 tampil lebih berkebolehan berbanding filem pertama.

Begitupun, filem ini tidak datang tanpa cacat cela. Komedi slapstik terutama lawak kentut dari Mr. Piranha berulang kali sehingga terasa hambar, seperti jenaka yang dipaksa menghibur di saat hati sudah tidak terletak di situ. Terdapat juga momen-momen di mana naratif terasa longgar; musuh baru yang sepatutnya memberi tekanan tidak benar-benar menggigit. Namun setiap kelemahan itu sedikit demi sedikit ditebus melalui estetika visual yang penuh tenaga. Adegan pembukaan di Cairo misalnya, terlaksana penuh gaya, kejar-kejaran di atap kota dan iringan muzik latar yang addictive. Semangat itu masih ada, meskipun kadangkala tersembunyi di balik plot yang terlalu ingin memikat semua usia.

Yang paling mengesankan adalah caranya filem ini menyentuh topik transformasi tanpa kehilangan jati diri. Ia tidak mendakwa seseorang harus buang segala masa silam untuk jadi baik. Ia hanya mencadangkan sesuatu yang lebih halus: bahawa memperbaiki diri tidak menuntut pemusnahan, hanya pejajaran semula. Kita tidak perlu menjadi 'orang lain' untuk menjadi lebih baik. Cukup dengan menjadi diri sendiri, dengan niat yang lebih murni. Dah paling penting, The Bad Guys 2 tetap tak melupakan soal hati. Protagonisnya memang kerap bertingkah absurd, namun ikatan di antara mereka amatlah kuat, sehingga berhasil memberi nyawa bagi tuturan The Bad Guys 2 yang mengambil intisari tentang makna persahabatan.

Maka The Bad Guys 2 berdiri sebagai sebuah kisah yang mungkin tidak seteguh yang pertama dari segi naskah, namun tetap memukau dari segi hati. Ia adalah puisi dalam bentuk animasi tentang persahabatan yang tidak sempurna, tentang niat baik yang bercampur ragu, dan tentang jalan pulang yang kadangkala penuh jenaka bodoh… tetapi sekurang-kurangnya ia jujur. Dan ya, mereka benar-benar melayang ke angkasa kerana kentut. Kadang-kadang, transformasi bermula dengan sesuatu yang sekecil itu: satu letusan dari dalam.

Bukan sekadar kisah pencuri yang mahu berubah, tapi sebuah pengembaraan penuh warna tentang persahabatan, pilihan hidup, dan harapan untuk menjadi lebih baik. Aksi yang mencuit hati, lawak yang mengena, serta mesej moral yang halus menjadikan filem ini sangat menghibur, malah menyentuh hati. Buat yang mencari tontonan santai tetapi bermakna, filem ini sangat sesuai untuk seisi keluarga. Anak-anak pasti terpukau dengan watak-watak animasi yang lucu, manakala orang dewasa akan terhibur dengan lapisan makna yang lebih mendalam. Jadi, ajaklah seisi keluarga, kerana dalam tawa dan aksi mereka, ada pengajaran yang mungkin kita lupa… bahawa sesiapa pun berhak diberi peluang kedua.