oleh: zizi hashim
Bayangkan sebuah kampung terpencil di Pantai Timur pada tahun 80-an. Sunyi, jauh dari hiruk-pikuk kota, tapi menyimpan rahsia yang berat. Di sinilah penonton di bawa bertemu Pak Lee (Fattah Amin), seorang tok dalang yang hidup dalam bayang kehilangan anaknya, Ayu. Suatu hari, kehadiran seorang penyelidik dari Indonesia, Dian, bersama anaknya Dewi, menggoncang tenang desa itu. Dewi mula melihat dan berbicara dengan Ayu. Tetapi siapa sebenarnya Ayu? Dari situ, kisah pun mula terurai, perlahan-lahan… tapi bukan tanpa kejutan.
Skrip tulisan Dain Said, Ben Omar dan Nandita Solomon punya jiwa tersendiri. Ia bukan hanya kisah hantu atau mistik, tetapi tentang memori, rasa bersalah, dan usaha menebus masa lalu. Dialog yang disusun ringkas tetapi mengena, dan mesej tentang warisan budaya terasa menyelinap ke dalam jiwa. Saya puji naskhah ini kerana menampilkan cerita berjiwa tradisi dan sarat dengan makna.
Bila pertama kali dengar nama Fattah Amin membawakan watak utama, sejujurnya saya agak ragu dan tertanya-tanya, bolehkah dia angkat watak seberat ini? Bukan memperkecilkan kredibiliti Fattah Amin sebagai pelakon, namun kuriositi berdasarkan filemnya yang lepas-lepas membuatkan diri tak dapat lari dari persoalan demi persoalan. Namun ternyata, Fattah tidak main-main. Dia menzahirkan kesedihan dan kekosongan Pak Lee dengan cukup meyakinkan. Pujian juga harus diberi atas usaha beliau mendalami loghat Kelantan. Bukan mudah, tapi berjaya juga dilunaskan dengan penuh disiplin. Pekin Ibrahim? Seperti biasa, wataknya tidak pernah tenggelam.
Antara kekuatan utama filem ini ialah visualnya. Beberapa babak seolah-olah lukisan bergerak. Salah satu momen paling mengesankan ialah peralihan Dewi tidur atas katil yang perlahan-lahan berubah menjadi tenggelam di air, sangat sinematik dan mendalam. Sutradara Dain Said tidak hanya mahu bercerita, dia mahu penonton berfikir. Setiap objek, gerakan, dan lokasi punya makna. Contohnya, boneka separuh tenggelam yang diangkat oleh Ayu bukan sekadar objek. Ia adalah metafora kepada anak-anak yang hilang, cerita yang dikambus tanah, suara yang direndam.
'Kulit Wayang' tidak hanya menyeramkan, dalam masa yang sama ia mengusik hati dan akal. Skor muzik hasil ciptaan Yudha Kobayashi menambahkan suasana yang tidak mudah dilupakan. Kadangkala bunyinya terlalu senyap, kadangkala cukup kuat untuk buat bulu roma berdiri. Semua itu menyatu dengan bunyi-bunyi alam dan bayangan wayang yang hidup di balik layar. Tiada ledakan, tiada kejutan murahan. Sebaliknya, segalanya dibina dengan sabar.
Tempo filem ini memang perlahan, tetapi ada alasannya: untuk membenarkan setiap elemen seni dan budaya bercakap sendiri tanpa tergesa-gesa. Sememangnya sentuhan Dain Said adalah signatur puitis dan membekas. Andai pernah menonton "Bunohan", pasti akan terasa seperti di bawa kembali ke dunia itu. Rawa, trauma, mistik dan budaya tradisi berpadu dalam satu naratif yang tidak biasa. Dain tidak takut untuk bermain dengan bayang-bayang, dan "Kulit Wayang" adalah kanvas yang dia warnakan dengan emosi yang kompleks.
Meski bukan adaptasi rasmi, roh Ramayana terasa kuat dalam naratifnya. Namun filem ini berdiri dengan gaya sendiri, ia tidak meniru, tapi mengambil ilham lalu mengolah menjadi sesuatu yang moden dan relevan. Lebih dari sekadar seram, "Kulit Wayang" bukan untuk mereka yang mahukan kejutan murah. Ia untuk penonton yang sanggup duduk, menyelami jiwa dan mendengar bisikan budaya yang lama tidak kita pedulikan. Bukan mudah untuk mengangkat wayang kulit sebagai teras cerita moden namun filem ini melakukannya dengan berani dan bergaya. Fattah Amin memberikan persembahan yang mengejutkan, sinematografi yang memukau, dan muzik yang menghantui jiwa.
Tayangan sudah bermula sejak 1 Mei 2025. Kalau anda rindu filem Melayu yang ada nadi, naskhah ini wajib ditonton. Dan bila lampu pawagam kembali menyala, percayalah, anda akan bawa pulang lebih dari sekadar cerita.