oleh: zizi hashim
Langkah saya memasuki Pavilion Bukit Jalil pada 14 Ogos 2025 terasa seperti menyeberangi jambatan emosi. Riuh, menyala dan sarat jangkaan. Lampu sorot memecah langit, thavil berdegup dari ruang legar TGV, dan gelombang manusia mula berkumpul seawal jam 5 petang. Di kiri kanan, peminat berselendang merah, berkaca mata hitam ikonik, memakai kemeja-T wajah sang Superstar. Meski Rajinikanth tidak muncul secara fizikal, setiap kali wajahnya terpapar di skrin LED gergasi, sorakan memuncak seperti halilintar. Auranya merentas jarak, menembusi masa.
Saat lampu malap, seluruh panggung berdiri memberi hormat; saya turut berdiri, merasai detik merinding itu. Coolie mengangkat Rajinikanth selaku Deva, bekas ketua kesatuan pekerja pelabuhan yang pernah memilih mengundurkan diri ke hidup damai, namun dipaksa takdir untuk kembali berjuang selepas sahabatnya diragut tragedi. Pada usia 74, “Superstar Padma Bhushan Rajinikanth” memapar wibawa yang sukar ditandingi. Langkah senteng yang pasti, senyum sinis berlapis makna, aura yang menguasai setiap inci bingkai. Sutradara Lokesh Kanagaraj menyusun koreografi aksi yang padat, visual yang bertenaga, dialog terasah, paduan yang membuat sorakan penonton beralun sepanjang durasi 2 jam 48 minit.
Tidak menghairankan apabila Coolie mencatat rekod kutipan hari pertama tertinggi di dunia bagi tayangan pawagam Tamil, gelombang yang terasa sejak saat pertama kredit pembuka mengalun. Nadi emosional filem dirawat rapi melalui watak Pretty lakonan Shruti Haasan. Beliau memegang takhta sebagai kakak yang tegar, lembut saat mendakap adik-adik yatim, tegas ketika menuntut keadilan. Interaksinya dengan Deva mengilau, dua jiwa yang terikat oleh kehilangan dan tekad, melangkah seirama menentang sindiket yang menguasai pelabuhan.
Pertemuan mereka tidak semata pakatan strategi, tetapi juga pertembungan luka yang mencari penawar. Nagarjuna menyuntik pesona antagonis licik, berbahaya namun mempesona; setiap kemunculannya menggetarkan kerusi. Soubin Shahir, Upendra dan Sathyaraj menambah tekstur dunia Coolie. Ada getir, ada guruh, ada bara yang menyala dari sudut-sudut yang tidak disangka. Dan ketika Aamir Khan menyelinap dalam peranan misteri di saat genting, panggung bergemuruh; saya, seperti ramai yang lain, menepuk tangan tanpa sedar.
Momen kejutan yang terasa ibarat sumbu disulut ke puncak. Jalinan naratif Coolie dirangka seperti kunci pas yang mengunci rapat tema kesetiaan, pengorbanan, dan keberanian, keadilan sebagai paksi, nyawa sebagai taruhan. Deva yang pernah dipuja sebagai ikon buruh kini diseret semula ke kancah oleh memori dan maruah; perjalanan menentang sindiket membuka simpul pengkhianatan, merentak nurani watak-wataknya. Setiap pergelutan terasa berdaging, setiap ledakan aksi tidak hampa. Ada jiwa yang dipertaruhkan, ada harga yang dibayar.
Kegemilangan malam itu tidak lahir dalam vakum. Di belakang layar, Kumpulan Syarikat Malik Streams berdiri sebagai pengedar rasmi Coolie di Malaysia, hak penuh yang mereka junjung untuk tayangan seluruh negara bermula 14 Ogos 2025. Diterajui Dato’ Malik, kelompok ini telah lama terbukti tangkas mengemudi industri hiburan tempatan melalui Malik Streams Corporation, beroperasi sejak 2007 dalam penyediaan barangan isi rumah dan bekalan borong, sambil memantapkan fungsi sebagai penghubung langsung Malaysia dengan gergasi hiburan Bollywood dan Kollywood.
Visinya rentang: selain hiburan dan media, sayap perniagaan merangkumi pelaburan hartanah, pertukaran mata wang, industri perhotelan serta kerja dermawan berjiwa patriotik yang menyulam reputasi korporat dengan bakti. Beberapa tahun kebelakangan, mereka menapak ke dunia logam berharga melalui MS Gold, 4 butik emas grand, eksklusif, dan bergaya yang bertempat di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, Seremban, dan Johor. Kilau yang menggambarkan falsafah 'nilai yang terjamin, maruah yang terpelihara'.
Strategi promosi Coolie di Malaysia terasa nyaring dan berani. Saya sempat menatap papan iklan LED raksasa di tengah kota; citra Deva memancar di antara hiruk-pikuk lalu lintas, seolah menandai medan perjuangan di jantung metropolis. Keesokan paginya, foto belon udara panas bertema Coolie yang melayang di Dataran Merdeka membanjiri garis masa, adegan surreal yang membuat ramai mengangkat kening sambil tersenyum. Kempen media sosial Malik Streams lincah, menggamit komuniti daripada peminat tegar hinggalah penonton umum yang mencari hiburan berkualiti.
Tidak hairan tiket tayangan awal lesap dalam beberapa jam, manakala tayangan tengah malam dipenuhi penonton yang rela berjaga semata-mata mahu menjadi saksi pertama. Jaringan pawagam yang luas, sinergi promosi, serta kurasi pengalaman tontonan yang teliti. Semuanya mengukuhkan Coolie sebagai perayaan budaya yang merentas kaum dan generasi. Kembali ke layar, kekuatan Coolie ialah keseimbangan antara tontonan dan rasa. Aksi yang digubah Kanagaraj tidak sekadar pameran tenaga; ia dirangka seperti tarian mekanik, pukulan, tangkisan, letupan namun selalu dikembalikan kepada manusia di tengahnya: Deva yang menyimpan luka, Pretty yang menyulam harapan, komuniti pelabuhan yang menuntut hak.
Saya menyukai cara filem ini mengekalkan ritma tanpa mengorbankan keintiman; babak sunyi diberi ruang, humor disisipkan secukup rasa, dan klimaksnya disalurkan sebagai katarsis, bukan gimik semata. Usai tayangan, ruang legar kembali bermandi cahaya. Saya melihat senyuman lebar, mata yang masih berkilau, telefon yang segera menghala ke media sosial. Rakaman sorakan, ulasan panjang, bahkan janji temu menonton ulangan, semuanya mewarnai malam. Di saat itu, saya terfikir tentang trajektori Dato’ Malik: daripada ekosistem borong dan isi rumah, memetakan laluan ke layar perak, memaut jaringan serantau, lalu memperindah ekuiti jenama melalui emas. Jejak yang konsisten, terancang, dan berimpak.
Coolie menjadi simpul bukti bahawa ekosistem hiburan Malaysia, dengan pemain sekuat Malik Streams, mampu menggalas fenomena berskala besar, menyatukan khalayak di bawah satu bumbung rasa. Kesimpulan peribadi saya sederhana tetapi tulus. Coolie ialah tontonan aksi berkaliber yang menyimpan jiwa; sebuah penghormatan yang anggun untuk 50 tahun perjalanan “Superstar Padma Bhushan Rajinikanth” di industri, dan pada masa yang sama, potret keyakinan ekosistem kita sendiri. Daripada promosi berani di langit kota hingga detik kecil di kerusi pawagam ketika penonton saling bertukar senyuman.
Malam gala itu menutup tirai dengan satu kesedaran: sinema Tamil masih berdenyut garang, dan di Malaysia, denyut itu ditempatkan dengan megah oleh tangan yang tahu, Malik Streams. Tayangan bermula di seluruh Malaysia pada 14 Ogos 2025, apa tunggu lagi...