oleh: zizi hashim
Gemuruh hilai sorak penonton yang berhamburan saat kemunculan tiba-tiba 2 ekor pocong menjelmakan diri dalam kain kafan berdarah ketika tayangan perdana Rego Nyowo memberikan nuansa seram yang realistik antara takut dan acah-acah berani. Riuh rendah jadinya seluruh panggung, saya tidak terkecuali meremang bulu roma kerana hantu yang paling saya takut tentunya Pocong!
Melihat 2 ekor pocong melompat-lompat menghampiri penonton, membisikkan sesuatu. Kisah ini bukan sekadar tontonan malam minggu, ia seperti sumpah sunyi yang melata dari layar, menyusup ke bawah kulit, perlahan-lahan menyesakkan dada. Diarahkan oleh Rizal Mantovani, maestro genre seram yang sebelumnya menggoncang skrin dengan Sumala dan Santet Segoro Pitu, naskhah ini diilhamkan dari thread viral “Kosan Berdarah” di X oleh Kelanara Studio, menjadikan kisahnya terasa amat dekat dan menyakitkan dalam makna yang tak terucap.
Tak ada hal yang lebih menyedihkan daripada mencari rumah baru di kota asing, lalu menyedari bahawa rumah itu sendiri menolak kehadiranmu. Lena (Sandrinna Michelle), gadis Jakarta yang hijrah ke Malang untuk melanjutkan pengajian bersama abangnya, Benhur (Ari Irham), memulakan hidup baharu di sebuah rumah sewa sederhana milik pasangan Bu Astri (Diah Permatasari) dan Pak Wiryo (Erwin Moron). Dari luar bangunannya tampak ramah dengan harga sewa yang murah, bilik yang luas, dan bonus makan malam bersama-sama setiap minggu. Namun di dalamnya, ada sesuatu yang mengintai. Sesuatu yang sabar menunggu untuk dibayar dengan darah.
Cerita berkembang perlahan-lahan, namun menggigit seperti dingin dinihari. Ada mimpi buruk, bisik-bisik penghuni yang kian gugup, dan akhirnya sosok pocong gantung yang menghantui seperti doa yang tidak selesai. Lena, yang awalnya skeptikal dan menganggap semua itu halusinasi, perlahan-lahan diheret masuk ke pusaran mistik yang tak memberinya ruang untuk pulang. Rego Nyowo yang secara literal bererti 'bawa ku ke neraka' menjadi tajuk yang bukan sahaja menggambarkan harga sewaan, tetapi harga kehadiran dalam dunia antara hidup dan mati.
Secara visual, Rego Nyowo adalah satu jamuan gelap yang lazat. Malang dan kebun pisang di Padalarang disulap menjadi nadi ketegangan. Rizal Mantovani berjaya mencipta irama kengerian melalui bingkai sinematografi berdron dan pencahayaan yang menghantui, dibantu rekaan produksi yang mencengkam. Adegan pocong gantung sukses buat rasa takut benar-benar menjalar masuk ke nadi. Ia bukan sekadar hantu, tetapi simbol kematian yang belum sempat memaafkan.
Sayangnya, naskhah ini turut terjebak dalam beberapa lubang kecil. Keputusan watak-wataknya kadang sukar dicerna. Mengapa masih tinggal di rumah yang berkali-kali ‘menolak’ penghuninya? Mengapa begitu lama untuk mempercayai bahawa yang ghaib itu nyata? Pacing cerita juga agak terburu-buru di babak akhir, sehingga konflik besar tentang ilmu hitam terasa hanya digores di permukaan.
Namun, kekurangan itu sedikit terpadam oleh kekuatan lakonan. Sandrinna Michelle membawa watak Lena dengan baik, meski solekan terkadang terlalu “Instagramable” untuk gadis remaja tetapi emosinya sampai. Ari Irham sebagai Benhur mencipta dinamika tegang yang agak stereotaip, namun berhasil menyuntik konflik yang diperlukan. Namun bintang sebenar ialah Diah Permatasari sebagai Bu Astri yang manis di luar, namun penuh luka, dendam dan cinta yang tersasar. Saat beliau menangis di sisi mayat Rian sambil menyebut, “Anak ibu cuma satu,” itulah detik manusiawi yang mengoyak dinding antara protagonis dan antagonis.
Babak pengorbanan Bobi pula benar-benar membekas. Karektor yang sempat selamat dan bersih, memilih untuk kembali demi menyelamatkan teman-temannya, hanya untuk tewas juga akhirnya. Sementara itu, Rian yang screentime-nya terbatas, berhasil menancapkan kesan mendalam melalui kematiannya yang heroic. Mereka bukan watak sampingan sebaliknya adalah denyut nadi trauma bersama. Bicara tentang elemen bunyi, susunan skor muzik dan efek suara memang impresif. Namun, ada saatnya ia terasa memaksa: ketegangan dibentuk lebih kerana muzik daripada suasana visual. Kekuatan bunyi patut menjadi latar, bukan pengarah utama emosi penonton.
Yang mungkin sedikit mengecewakan adalah kewujudan pocong itu sendiri. Setelah ‘lepas’ dari kain kafan, wujudnya terasa lebih menyerupai hantu generik. Kurang unsur budaya yang membuatnya unik sebagai pocong. Seharusnya ia lebih menyeramkan sebagai entiti yang masih ‘terikat’ secara fizikal dan spiritual. Meski begitu, Rego Nyowo tetap layak disebut antara karya seram Indonesia paling kuat tahun ini. Bukan sahaja kerana ia menakutkan, tetapi kerana ia menyentuh lapisan trauma, kesepian, dan ketakutan anak muda yang mencari tempat berteduh di kota yang asing dan menjumpai iblis sebagai tuan rumah.
Jika kamu fanatika filem seram yang gemar menelusuri lorong gelap antara realiti dan kepercayaan lama, filem ini akan menjadi malam yang panjang buatmu. Rego Nyowo bukan sekadar pengalaman menonton, ia adalah ziarah ke sisi gelap rumah-rumah yang menagih lebih daripada sewa bulanan. Dalam durasi 1 jam 45 minit, Rego Nyowo dijadualkan tayangan di pawagam Malaysia bermula tanggal 7 Ogos 2025. Siap sedia kah anda? Saya menonton dengan sejumlah ramainya penonton dengan pelbagai reaksi membuatkan filem ini semakin seram tetapi pada masa yang sama, menghiburkan.