oleh: zizi hashim
Tahun 1928. Matahari musim dingin nyaris tak sempat menghangatkan bumi sebelum diselubungi langit kelabu. Dari sebalik jendela kaca gereja tua di Midwest Amerika, seorang paderi muda berdiri terpaku menggenggam selembar dokumen dengan tangan yang sedikit bergetar. Bukan kerana dingin, tetapi kerana isi fail itu membawa gema sesuatu yang jauh lebih dingin daripada musim yang menyelubungi bangunan batu itu: kes seorang wanita muda bernama Emma Schmidt, dan keputusan yang hampir mustahil untuk dihadam oleh akal moden iaitu sebuah ritual exorcism yang harus dilakukan.
Father Joseph Steiger, tokoh muda dengan semangat akademik dan jiwa yang masih belum terukir oleh keletihan zaman, menerima perintah yang mengaburkan batas antara keraguan dan iman. Ia bukan panggilan dari langit, bukan suara ghaib dalam mimpi; ia adalah arahan langsung dari pihak gereja. Lebih nyata, lebih tegas, dan lebih membingungkan. Ritual itu harus berlangsung di gereja kariahnya. Dia harus duduk, mencatat, menyaksikan dan diam.
Lalu datanglah Emma. Wajahnya pucat, tubuhnya susut, matanya... seperti telah lama melihat sesuatu yang manusia biasa tak mampu renungkan. Di belakangnya, muncul sosok tua yang membawa bau garam dan kemenyan: Father Theophilus Riesinger. Paderi senior yang dipertanggungjawabkan menjalankan ritual, lelaki yang tidak gemar berkata-kata. Namun ketika dia berbicara tentang tali pengikat dan kewaspadaan, Steiger merasa naluri kemanusiaannya digugat habis-habisan.
Apa yang terjadi selepas itu bukan sekadar pertarungan antara iman dan ketakutan, antara suara Tuhan dan jeritan syaitan, tetapi juga antara dua lelaki yang mewakili dua zaman. Satu berpegang pada disiplin lama, satu masih berharap ada ruang bagi belas kasihan. Dan dalam pergelutan itu, terkurunglah Emma, tersepit antara tubuh yang memberontak dan jiwa yang perlahan-lahan menghilang.
Malam demi malam, ritual dijalankan. Doa dilantunkan seperti senjata, air suci dipercikkan seperti darah dari medan perang. Para biarawati yang seharusnya hidup dalam damai dan kontemplasi menjadi barisan hadapan yang tak terucap dalam peperangan ini. Tangan mereka retak, kepala mereka terluka, tubuh mereka membusuk oleh beban yang tak terlihat. Namun, suara mereka tidak pernah masuk ke dalam catatan sejarah.
Antara semua itu, wajah Emma terus berubah. Ia menggeliat dan meraung, menggigit dirinya sendiri, berbicara dengan suara-suara yang seolah datang dari liang waktu yang tak diketahui asalnya. Abigail Cowen, pemegang watak utama, tidak hanya berlakon. Dia turut merasai penderitaan Emma dengan luka yang nyaris tidak sanggup ditonton, apalagi dilupakan. Namun, anehnya, kamera seolah-olah menjadi penonton yang dingin, hanya mencatat, tidak menyentuh. Kita melihat, tapi tidak merasa.
Dan di sana pula berdiri Al Pacino, sang legenda, membawa watak Father Riesinger dengan ketenangan yang lebih menyerupai senja daripada badai. Tiada jeritan berapi, tiada lontaran kata-kata yang membelah ruang seperti dalam The Devil’s Advocate. Hanya wajah yang menyimpan ribuan malam tidak tidur lena, dan tatapan yang tahu bahawa setiap doa sahaja mungkin tidak mencukupi.
Begitu juga halnya Dan Stevens, sebagai Steiger, lelaki muda yang terhimpit antara harapan dan trauma, antara logika dan takdir. Dia menggambarkan kelelahan dengan cara yang sunyi: mata yang merah, suara yang hampir hilang, tubuh yang seolah kehilangan bentuknya sendiri. Namun meski usahanya jelas, wataknya tetap tersekat dalam skrip yang terlalu cermat menahan, hingga yang tersisa hanyalah bayangan emosi, bukan geloranya.
David Midell, sang sutradara, memilih untuk tidak menjerit. Dia tidak memaksa suara-suara menakutkan atau efek visual berlebihan. Dia menolak jalan mudah dan klise namun dalam penolakannya itu, ia terperangkap pula dalam kebuntuan. Kisah ini punya akar yang kuat: berdasarkan salah satu kes exorcism paling terdokumentasi di sejarah Amerika. Tetapi sayangnya tidak menyelami kedalaman spiritual dan psikologi yang boleh menggugat, filem ini lebih terasa seperti skrip rekonstruksi gerejawi. Rapi, teratur, dan… terlalu steril.
Lebih ironis lagi, tajuk “The Ritual” sendiri telah menjadi seperti jenaka berulang dalam genre seram. Terlalu banyak filem menggunakan nama yang sama, namun memberikan isi yang serupa. Seolah-olah roh genre ini sendiri telah ketandusan idea dan tenaga untuk berjuang. Seperti kata seorang pengkritik secara sinis, menonton filem exorcism hari ini adalah seperti diseret melalui padang deja-vu yang tidak berkesudahan. Anda boleh ramal apa yang akan terjadi. Anda tahu siapa yang akan menjerit, bila tubuh akan melayang, dan bila air suci akan menjadi senjata terakhir.
Begitu pun dalam kerumitan itu, muncul satu tokoh kecil yang sempat menyalakan cahaya: Sister Camila, dimainkan dengan empati oleh pelakon yang tdak disebut cukup kerap. Dialah yang menjaga Emma ketika semua lelaki sibuk bertanya dan mencatat. Dia yang merawat luka, memegang tangan, dan berdoa bukan kerana tugas, tapi kerana cinta. Di tengah dunia yang dikawal oleh suara paderi dan keputusan institusi, Camila berdiri sebagai simbol suara yang selalu dipinggirkan: wanita dalam gereja, yang sering kali melakukan pekerjaan paling berat namun paling sunyi.
Dan di sinilah filem ini menyentuh sesuatu yang tak sempat dijelajahi: bukan hanya pertarungan antara syaitan dan Tuhan, tapi pertarungan antara sistem dan manusia. Antara suara yang didengar dan suara yang dipadam. Ada saat-saat dalam filem ini ketika kita merasa hampir menyentuh jiwa yang sesat itu, Emma hanya mahu didengar, bukan dikuasai. Namun sayangnya, rasa itu cepat hilang, seperti asap kemenyan yang meruap sebelum sempat melekat pada pakaian.
The Ritual adalah doa yang dilantunkan tanpa air mata. Ia tenang, namun terlalu tenang. Ia ingin menyentuh, tapi jarinya tak pernah cukup dekat. Ia bukanlah filem yang terlalu teruk, malah niatnya patut dipuji. Namun dalam genre yang telah terlalu lama bermain dengan roh dan ritual, hanya keberanian luar biasa yang mampu menghidupkan semula kepercayaan. Dan filem ini, walaupun dihuni nama-nama besar dan niat yang mulia, masih terlalu fragile untuk menggoncang.
Mahu tahu apa yang paling saya benci tentang filem ini? Penggunaan teknik 'kamera goyang' (shaky) yang sangat amatur dan melelahkan. Tiada sebab kukuh mengapa babak-babak ritual atau dialog peribadi perlu dirakam seolah-olah kamera dipegang oleh seseorang yang baru pulih dari demam panas. Zoom keluar masuk tanpa arah, bingkai yang terganggu setiap saat, kononnya gaya ala-ala dokumentari, tapi tanpa sebarang konteks visual atau naratif yang menjelaskan kenapa pendekatan ini diambil. Hasilnya? Buat sakit mata dan sakit kepala. Gagal total!
Kadangkala, dalam dunia sinema seram, yang paling menakutkan bukanlah syaitan yang merasuk tetapi rutin yang tidak mahu berevolusi dan enggan berkembang. Mungkin, untuk menyelamatkan genre ini, yang perlu diusir bukan lagi syaitan… tetapi kebosanan. Tayangan di pawagam Malaysia bermula 5 Jun 2025 dalam durasi 1 jam 38 minit. Jom tengok wayang?