
oleh: zizi hashim
Rasa ganjil itu tumbuh perlahan sejak adegan awal lagi, ketika wajah Rigen Rakelna muncul dalam balutan ekspresi antara percaya dan kehilangan. Solah Vincenzio, lelaki yang pulang dengan dada penuh harapan dan keyakinan akan disambut bak pahlawan, hanya untuk mendapati kampung halamannya berubah menjadi ruang asing (seolah tak mengenalinya) yang diselimuti khabar kematian dan bisik-bisik ngeri. Dari situ, penonton segera tahu bahawa Kang Solah from Kang Mak x Nenek Gayung bukan kisah pulang yang biasa. Ia lebih seperti cermin yang licik, mentertawakan ketakutan sendiri melalui kegilaan yang nyaris mustahil dan tak masuk akal tetapi menghibur.
Karya arahan sutradara Herwin Novianto dan hasil tulisan Alim Sudio ini ibarat pesta liar tak teratur antara seram dan komedi, di mana logika boleh diketepikan, dan keseriusan menjadi bahan lawak yang elegan. Falcon Pictures tampak berani bahkan sedikit gila ketika mengawinkan dua dunia yang sememangnya mustahil bertemu: Kang Mak yang terinspirasi dari Pee Mak, dan legenda lokal Nenek Gayung yang pernah menghantui jalanan kota. Yang serius boleh jadi bahan ketawa dan yang menakutkan jadi bahan ejekan. Eksperimen ini bukannya kehilangan arah, malah melahirkan semesta baru yang liar dan mengasyikkan. Segar, bahkan sedikit nekad.


Pertemuan dengan Nenek Gayung di tengah hutan bukan cuma untuk memberi sensasi, tapi juga menyelinap sebagai cermin. Bagaimana kita takut, bagaimana kita gelak, dan bagaimana kita berdamai dengan dua-duanya. Asri Welas tampil sebagai roh yang menakutkan tapi juga mengundang senyum sinis: saat jeritan terjadi, hilai tawa tak pernah jauh di belakangnya. Dialog signatur "Mau nenek mandiin kamu?" mencipta takut, dalam masa yang sama mencetus pecah ketawa.
Entah bagaimana, Rigen Rakelna sukses membawakan watak Solah sebagai lelaki yang kuat meski rapuh, hero yang kembali tetapi merasa tersesat. Dengan energi yang menyala, Kang Solah terlihat separuh lucu, separuh menderita. Kekalutan batin dan komedi fizikal yang segar berhasil seimbang. Kemistrinya dengan Davina Karamoy terasa organik; di sela kejaran hantu dan bicara kelakar gila, ada getir cinta lama yang masih membara, meski dalam diam. Rigen Rakelna memperlihatkan sisi Kang Solah yang emosional tanpa kehilangan selera humor. Thumbs Up!


Sahabat-sahabatnya, Indra Jegel, Tora Sudiro dan Indro Warkop menjadi tempo komedi yang tak kenal erti berhenti. Ketakutan dan kelucuan sebenarnya berasal dari ruang batin yang sama, tempat di mana manusia cuba berdamai dengan hal-hal yang tidak difahami. Mereka bukan hanya pelakon; mereka adalah sekumpulan teman yang sudah lama bergurau bersama, dan itulah rahsia gelak ketawa yang buat panggung pecah maksima.
Namun di sebalik hilai tawa yang pecah, filem ini menyimpan kelamnya tema pengkhianatan, kehilangan, kesetiaan dan kerinduan yang tak sempat disampaikan. Di sebalik gurauan spastik dan CGI yang sengaja dibikin tidak masuk akal, Kang Solah menyimpan secebis kebenaran tentang manusia, bahawa antara perangai gila dan gelak tawa yang tak bertepi, ada hati yang pernah kecewa dan tetap ingin pulang. Di situlah Kang Solah menunjukkan kematangannya. Bahawa di sebalik setiap jenaka, selalu ada luka yang belum sembuh.


Saya juga menikmati bagaimana filem ini menggunakan colour grading, rekabentuk bunyi dan tempo dengan bijak, seperti orkestra saspens antara momen intens dan lawak jenaka yang pelik. Muzik latar yang terkadang salah tempat justeru menambah efek komedi. Saya akui, spin-off ini berhasil mencipta semesta tersendiri, yang barangkali akan terus tumbuh menjadi dunia seram-komedi paling unik di layar perak. Aura mistik Nenek Gayung yang menguasai layar sempat membuat saya meremang bulu roma.
Saya sebenarnya mengharapkan Herwin Novianto membawa Kang Solah ke jalur yang berbeza dari Kang Mak, sedikit kalau pun tidak banyak. Namun, unsur drama dan plot twist filem ini ternyata dibawa ke jalur yang sama dengan filem pertama. Pada akhirnya, Kang Solah from Kang Mak x Nenek Gayung merupakan spin-off yang tidak dinafikan memang sangat menghibur, meski menurut saya secara peribadi belum mampu mengatasi kehebatan filem pertamanya.


Dan kalau menurut saya lagi, filem ini sangat ramah dan mesra untuk penonton baru yang belum pernah menyaksikan Kang Mak. Banyak kilas balik yang disajikan sehingga penonton boleh memahami jenaka-jenaka tersirat dari para pelakon. Secara garis besar, cerita Kang Solah pun juga cukup aman dan mudah untuk dimengerti bagi penonton yang mungkin baru pertama kali menyaksikan penampilan kelompok pelawak ini di layar lebar. Melihat hala tuju perkembangan cerita bermula dari Kang Mak dan kini Kang Solah, Falcon Pictures memberi kod kukuh hadirnya semesta baru filem seram komedi.
Memandangkan masih ada 3 orang yang belum pulang ke kampung halaman mereka, saya harap formula penceritaan bakal jadi lebih berbeza dan tetap menghiburkan untuk filem-filem seterusnya jika mereka benar-benar ingin dikembangkan menjadi alam semesta. Kang Solah from Kang Mak x Nenek Gayung tetap terlihat bagai sebuah perayaan dua alam. Satu untuk ketawa, satu untuk berdebar. Sebuah ruang tawa untuk segala yang dahulunya menakutkan. Sememangnya spin-off ini sudah membentuk semesta sendiri. Semesta di mana hantu boleh jadi kawan gelak, dan gelak boleh jadi senjata melawan bayang-bayang.
Kalau anda pernah tergelak besar tak henti-henti menonton Kang Mak, bersedialah untuk babak yang lebih gila, lebih seram, dan lebih menyentuh hati. Jangan tunggu cerita orang, saksikan sendiri keanehan Kang Solah di layar besar, nikmati kelucuan yang kadang menakutkan, dan ketakutan yang entah kenapa terasa lucu. Dengan durasi 1 jam 56 minit, Kang Solah from Kang Mak x Nenek Gayung mulai tayang di pawagam seluruh Malaysia pada tanggal 6 November 2025, jom!