
oleh: zizi hashim
Tidak berteriak dengan dramatisasi murahan, tetapi berbisik perlahan tentang cinta, kehilangan dan batas keyakinan yang sering memisahkan manusia yang sebenarnya ingin saling memahami. Menonton Jangan Panggil Mama Kafir terasa seperti menatap diri sendiri di cermin yang retak. Setiap serpih pantulan membawa rasa takut, rindu dan cinta yang tak selesai. Filem arahan sutradara Dyan Sunu Prastowo ini bukan sekadar kisah tentang perbezaan agama, tapi tentang seorang ibu yang memilih tetap mencintai, bahkan ketika seluruh dunia menentangnya.
Sebagai seorang ibu, saya tidak mampu menonton Maria (Michelle Ziudith) tanpa merasa sakit di dada. Ada sesuatu dalam matanya yang menahan seribu air mata. Bukan tangis histeria, tetapi kelelahan seorang wanita yang terus berdiri meski seluruh dunia memintanya rebah. Maria, seorang perempuan kristian, jatuh cinta pada Fafat (Giorgino Abraham), lelaki Muslim yang tulus. Mereka menikah, melawan pandangan sinis dan batas keyakinan yang ditetapkan manusia. Dari cinta itu lahirlah Laila (Humaira Jahra), cahaya kecil yang menjadi pusat semesta keduanya.


Namun takdir kerap bermain kasar. Kebahagiaan itu runtuh sekelip mata ketika Fafat meninggal dunia dalam sebuah kemalangan. Sebelum pergi, dia meninggalkan janji yang menjadi tanggungjawab Maria, agar membesarkan Laila sesuai ajaran Islam. Sejak itu, Maria belajar mengaji, menghafal doa, bahkan mengajarkan anaknya cara solat dan memastikan anaknya tumbuh dengan nilai-nilai Islam meskipun dia sendiri tidak berpindah agama. Cintanya pada anak melebihi batas teologi mana pun, kerana dalam kasih, Tuhan selalu lebih dekat daripada yang dikatakan doktrin.
Yang paling menyedihkan apabila konflik datang bukan dari luar, tetapi dari keluarga sendiri. Ustazah Habibah (Elma Theana), ibu Fafat, merasakan Maria tidak cukup 'layak' untuk mendidik cucunya dalam Islam. Dengan niat melindungi, Habibah menggugat hak jagaan Laila ke mahkamah. Apa yang terjadi selepas itu bukan sekadar pertarungan hukum, tetapi pertempuran batin antara kasih sayang dan keyakinan. Pada saat itu, saya tidak hanya menyaksikan sebuah cerita, tetapi seolah-olah turut berada di sisi Maria, melihat bagaimana cinta dan iman saling menguji tanpa satu pun yang harus kalah.


Michelle Ziudith memberikan seluruh tubuh dan jiwanya untuk peranan ini. Sebelum penggambaran, dia mengakui sering mendengarkan lagu-lagu Adele untuk membina emosi, agar Maria terasa manusiawi. Seorang ibu yang tidak sempurna, tetapi penuh kasih dan cinta. Yang paling relate dengan saya ialah pada babak Maria masuk ke bilik anaknya yang telah kosong, dengan tatapan penuh harapan agar sang anak ada di dalam bilik seperti kebiasaannya dan tersenyum manja dengan keletahnya, namun tidak ditemukan. Maria lantas menangis teresak-esak sehingga hilang nafas, kalau saya di tempat Maria saat itu, kemungkinan besar saya sudah jadi gila dibuatnya!
Giorgino Abraham, meskipun hadir singkat sebagai Fafat, meninggalkan jejak kuat. Dia membawa ketenangan dan karisma yang membuat penonton memahami mengapa cinta Maria kepadanya begitu mendalam. Karektor Fafat menjadi semacam roh penggerak bagi keseluruhan cerita. Cinta yang abadi meski jasadnya telah pergi. Elma Theana pula memberi dimensi lain pada karektor Ustazah Habibah, representasi banyak orang tua di dunia nyata. Keras bukan kerana benci, tetapi kerana takut kehilangan. Kaku tetapi dibungkus keikhlasan seorang nenek yang takut kehilangan cucu pada dunia yang tak dia fahami. Dalam tangannya, watak antagonis itu menjadi kompleks dan tragis, bukan sekadar hitam putih.


Humaira Jahra, pelakon cilik yang memperkenalkan dirinya melalui filem ini, tampil luar biasa powerful sebagai Laila. Tatapannya yang jujur dan dialognya yang tulus menyalakan kembali harapan dalam setiap adegan. Adegan pengadilan tempat dia berteriak mempertahankan ibunya akan jadi salah satu momen paling dikenang tahun ini. Saya masih ingat momen ketika Laila berdiri di ruang pengadilan, dengan suara kecilnya yang tegas berkata, “Jangan panggil Mama kafir.” Saat itu, pawagam seolah berhenti bernafas. Kata-kata itu sederhana, tapi menghentak seluruh naluri keibuan dalam diri saya. Kerana pada akhirnya, yang anak inginkan bukan ibu yang sempurna, tapi ibu yang tetap memeluknya tanpa syarat.
Filem ini turut disokong barisan pelakon hebat seperti Kaneishia Yusuf, Indra Birowo, TJ Ruth, Dira Sugandi, Ence Bagus, Emmie Lemu, Gilbert Patiruhu, Pratiwi Dwiarti dan Runny Rudiyanti, yang masing-masing memberi tekstur dan warna pada dunia cerita ini menjadikannya potret masyarakat yang majmuk, berlapis dan jujur. Yang paling saya sukai ialah bagaimana Dyan Sunu Prastowo tidak melebih-lebihkan dramanya. Beliau menjaga nada filem agar seimbang antara kesedihan dan harapan. Humor kecil dari watak Tante Yohana (TJ Ruth) dengan loghat Bataknya membuat kisah ini terasa hidup, kerana di dunia sebenar, bahkan dalam duka paling dalam pun, manusia masih mampu tertawa.


Kekuatan filem ini terletak pada kejujurannya. Naskhah tulisan Archie Hekagery dan Lina Nurmalina tidak berpihak pada siapa pun. Ia tidak memaksakan pandangan, hanya memperlihatkan kehidupan sebagaimana adanya bahawa dalam setiap keyakinan, ada manusia yang sedang berusaha mencintai dengan cara yang paling benar yang mereka tahu. Sinematografinya lembut dan natural, kamera seolah-olah tidak ingin mengganggu emosi para watak. Setiap adegan terasa seperti potongan kehidupan sebenar, dari Maria yang menyiapkan makanan untuk anaknya hingga Umi Habibah yang berdoa dalam kesunyian. Muziknya hadir dengan empati, tidak menghakimi, hanya memeluk.
Dalam durasi 1 jam 50 minit, Jangan Panggil Mama Kafir diarahkan dengan kepekaan yang jarang ditemui. Produser Yoen K dan penerbit eksekutif Derrick Heng memastikan keseimbangan antara kekuatan cerita dan kesantunan tema. Ini bukan filem dakwah, bukan filem polemik, ini kisah tentang kasih yang bertahan, meski langit runtuh sekalipun. Adegan penutupnya begitu simbolik: Laila berkata bahawa kuih manisan yang mereka makan berbeza bentuk, tapi rasanya sama-sama manis. Sebaris kalimat yang sederhana, tapi di situlah seluruh makna filem ini terkandung, bahawa perbezaan tidak pernah menghapus kasih, hanya memperkaya bentuknya.
Namun yang paling meninggalkan bekas adalah pesan akhirnya: cinta tidak memilih agama, tapi mengajarkan bagaimana manusia harus saling menghormati. Bahawa ibu tetap ibu, seberapa pun keras dunia mencuba memisahkan mereka. Saya menangis teresak-esak membayangkan apa jadinya saya andai anak saya dirampas dari saya setelah kehilangan suami. Ternyata kebahagiaan itu bagai pagi yang singkat, hangat tapi tak lama. Maria ditinggal sendirian, tetap menepati janji terakhir suaminya: membesarkan Laila dalam ajaran Islam.
Paling merobek jiwa saya saat suara kecil Laila bergetar melaung, “Jangan panggil Mama kafir!” Sebuah jeritan dari anak kecil yang belum mengerti politik agama, tapi sudah cukup tahu bahawa cinta ibunya tak boleh ditandai dengan label apa pun. Jangan Panggil Mama Kafir bukan filem tentang siapa yang benar dan siapa yang sesat. Ia adalah refleksi tentang bagaimana cinta mampu menembus batas yang manusia sendiri ciptakan. Kerana di antara semua perdebatan manusia, kasih seorang ibu tetap menjadi bahasa yang paling universal. Dan seperti Laila, saya juga ingin berkata pada dunia: jangan panggil sesiapa pun kafir hanya kerana mereka mencintai dengan cara yang berbeza. Wajib tonton, pergi lah ke pawagam bermula 30 Oktober 2025, pergi lah sekarang.