Apabila Manusia Bertuhankan Nafsu, Maka Anda Dilarang Tak Tengok 'Malam Terlarang'

oleh: zizi hashim

Bayangan kabus menggulung lembut di pesisir pantai Morib, seolah bumi sedang menarik nafas panjang sebelum menelan rahsia yang terlalu tua untuk diingat. Sejujurnya, jarang sekali filem seram tempatan mampu membuat saya terpegun sehingga lupa untuk bernafas, tetapi naskhah arahan Nurhanisham “Labu” Muhammad ini melakukannya dengan penuh elegan, berani dan luar biasa indah.

Adegan pembukaan di pesisir pantai Morib yang berbalam-balam seperti lukisan yang hidup. Setiap bingkai diolah dengan rasa dan makna, setiap bayang-bayang membawa rahsia. Ritma ceritanya perlahan, tetapi hipnotik. Ada sesuatu yang magis pada cara ia memanggil ketakutan. Bukan dengan jeritan, tetapi dengan keindahan yang menggigilkan hati.

Kalau menurut saya, Malam Terlarang adalah mahakarya seram yang berpijak di bumi, nyata tetapi menjulang ke langit gelap kepercayaan Nusantara. Ia menggabungkan keindahan sinematografi, keberanian tema dan kekuatan lakonan dalam satu harmoni yang jarang sekali dicapai oleh filem tempatan. Justeru, anda dilarang tidak menonton filem ini, kelak nanti diri sendiri yang rugi.

Di sebalik mistik dan kengerian, Malam Terlarang adalah tentang manusia yang bertuhankan nafsu. Tentang bagaimana cinta dan kuasa boleh menenggelamkan nilai kemanusiaan. Filem ini menyoal, seberapa jauh manusia sanggup pergi untuk memenuhi keinginan? Dan apabila segalanya runtuh, apa yang tinggal lagi selain dosa dan sunyi?

Kisah tragik keluarga Omar ini mungkin tampak sederhana di permukaan, namun lapisan emosi dan simbolisme yang digarap menjadikannya naskhah seram paling solid tahun ini. Dari luar, mereka kelihatan seperti lambang kejayaan. Seorang bapa yang disegani, seorang ibu yang lembut dan dua anak yang tampak sempurna. Namun, keindahan yang terlalu rapi itu selalunya menipu. Saat Safar, anak sulung mereka tidak pulang dari malam yang panjang, sesuatu dalam keluarga itu mulai retak.

Panggilan telefon menjadi penamat kepada sebuah ketenangan palsu: Safar ditemui mati di paya bakau, tubuhnya dingin di dalam lumpur. Di sinilah segalanya bermula, pencarian, pertanyaan, dan kehilangan kewarasan. Kematian Safar menjadi asbab kepada derita panjang. Mawar, adik perempuan Safar, enggan mempercayai bahawa kematian kakaknya hanya sekadar takdir. Gadis berjiwa wartawan itu melangkah ke wilayah yang manusia waras tidak akan jejak, wilayah antara realiti dan halusinasi.

Mawar, yang tidak berpuas hati mula menjejak kebenaran dengan keberanian yang menakjubkan. Shasha Abedul, dengan wajah polos dan tatapan yang penuh gentar, menjelmakan Mawar sebagai lambang keberanian dengan tenaga luar biasa. Lembut, tetapi kuat. Takut, tetapi nekad. Lakonannya bukan hanya meyakinkan, tetapi sebegitu 'hidup' sepenuhnya dan mutlak. Lakonannya membangkitkan empati dan ngeri dalam masa yang sama. Dia menjadi saksi kepada kejatuhan moral seluruh keluarganya.

Sofia Jane pula… benar, inilah kebangkitan seorang legenda. Sarimah hadir dengan aura yang tidak boleh dijelaskan dengan kata-kata. Dalam lakonan pertamanya sebagai teraju utama filem seram, beliau menyalurkan Sarimah dengan lapisan perasaan yang rumit, antara cinta, dosa dan kehilangan. Setiap pandangannya terasa menyimpan sesuatu yang tidak terucap. Sofia tidak berlakon; dia menjadi. Dan bila dia “hidup” semula selepas bertahun lumpuh, bulu roma saya meremang tanpa sebab.

Zul Ariffin pula memberikan antara persembahan terbaik sepanjang kariernya. Melangkah keluar dari zon selesanya dengan watak Omar, ahli politik yang haus kuasa dan pengiktirafan. Tubuhnya lebih berat, wajahnya penuh tekanan; semuanya membawa beban simbolik. Omar bukan sekadar bapa dalam cerita ini, dia lambang lelaki yang menjual jiwanya kepada kuasa, mengorbankan keluarga demi membina imej diri. Transformasi fizikal dan emosional Zul menambah kedalaman. Kita percaya padanya, dan pada masa yang sama, takut kepadanya.

Sutradara Nurhanisham “Labu” Muhammad jelas memahami bahawa ketakutan tidak selalu datang dari jeritan, tetapi dari keheningan yang panjang. Dia mengatur tempo filem ini dengan sabar, tak ubah lagaknya seperti seorang pawang yang tahu bila perlu memanggil roh, dan bila harus membiarkannya berdiam. Tiada jumpscare murahan; sebaliknya, setiap detik seram dibina dengan tekstur halus. Cahaya, bayangan, gema, dan masa yang terasa berhenti berdetik.

Visual Malam Terlarang terlalu cantik untuk sebuah filem seram. Pantai Morib dan Kuala Selangor dipotret dengan keindahan suram yang menggetarkan. Kabus, lumpur, laut, bayangan rumah usang, semuanya bersuara dalam diam. Rumah keluarga Omar yang berdiri bersebelahan tanah perkuburan Islam menjadi metafora sempurna antara hidup dan mati, antara dunia nyata dan alam ghaib. Saya terkesima mengetahui rumah itu benar-benar dibina pada tahun 1987, tahun yang sama dengan latar filem, seolah-olah semesta turut bersekongkol memberi restu.

Runut bunyi hasil ciptaan MonoloQue menambahkan lapisan spiritual yang menggigit. Gamelan Pahang digabungkan dengan rentetan moden, menjadikan suasana ritual terasa benar-benar suci dan mengancam dalam waktu yang sama. Nyanyian haunting oleh Zamzuriah Zahari pula menjadikan babak puja pantai seakan-akan upacara sebenar. Setiap hentakan gendang, setiap nafas melodi, membuat saya seolah diseru masuk ke dalam dunia Pamakbul.

Dan ya, Pamakbul. Nama dewi laut dari mitos Nusantara itu kini bukan lagi dongeng. Dalam Malam Terlarang, Pamakbul terasa seperti kewujudan yang benar, roh yang diam-diam memerhati setiap perbuatan manusia. Ia bukan sekadar simbol kejahatan, tetapi amaran terhadap keserakahan manusia yang memperalat alam dan kepercayaan demi kepuasan sendiri. Tema “Bila Bertuhankan Nafsu” yang diangkat filem ini terasa relevan dan menggigit, menyerang sisi paling jujur dalam diri penonton.

Saya masih tidak boleh melupakan babak klimaksnya. Ia menakutkan, tragis, jijik dan indah dalam satu waktu. Kejahatan dan kasih sayang berpeluk sebelum lenyap di dalam air pasang. Filem ini mencipta sebuah pengalaman spiritual, seperti ziarah ke sisi gelap jiwa manusia. Sukar mencari cela, kerana setiap bahagian terasa dilahirkan dengan cinta dan kesungguhan. Saya berani katakan, ini filem seram tempatan paling sempurna tahun 2025.

Malam Terlarang adalah filem seram lokal paling solid dan lengkap yang saya tonton setakat ini dari lakonan, visual, naratif, bunyi, hingga falsafahnya. Ia bukan hanya setanding filem seram antarabangsa, malah melampaui banyak daripadanya dalam aspek keaslian dan jiwa. Markah penuh saya berikan buat Malam Terlarang dan mungkin, lebih dari itu kerana selepas Malam Terlarang, saya tahu, filem seram Malaysia sudah naik ke tahap baharu yang tidak lagi boleh dipandang enteng.

Hening, indah, dan tragis. Penamat filem ini tidak memberi kelegaan, tetapi kesedaran bahawa kejahatan tidak pernah mati, ia hanya mewarisi tubuh baru. Malam Terlarang bukan hanya menakutkan, ia menguji nurani. Ia membuat kita bertanya, siapakah sebenarnya makhluk paling menakutkan di dunia ini. Hantu yang tidak kelihatan, atau manusia yang kehilangan jiwa? Tayangan bermula di seluruh pawagam Malaysia tanggal 30 Oktober 2025, sekali lagi saya katakan, anda dilarang tidak menonton filem ini. Cepat beli tiket, jom kita ke pawagam!