
oleh: zizi hashim
Kabut tebal yang menutupi ladang dan rumah kayu di pinggir desa itu terasa seperti metafora sempurna bagi isi hati Yak. Setelah dua filem terdahulu memerangkapnya dalam trauma dan bisikan maut, kini dia kembali. Bukan untuk bertarung, tetapi untuk memahami. Death Whisperer 3 bukan sekadar lanjutan cerita, tetapi semacam penebusan.
Di bawah arahan sutradara Surachedh Assawaruenganun dan Narit Yuvaboon, dengan produksi kukuh dari M Pictures, bab terakhir ini menampilkan sisi paling gelap dan emosional dari keseluruhan trilogi. Yak (lakonan penuh jiwa oleh Nadech Kugimiya) cuba memulihkan hidupnya setelah kehilangan dan mimpi buruk yang menghantuinya dalam dua bab sebelumnya. Dia berusaha kembali ke dunia ketenteraan, satu-satunya tempat yang pernah membuatnya merasa “hidup”.

Namun kedamaian itu hancur ketika adiknya, Yee (Natcha Nina Jessica Padovan), tiba-tiba hilang tanpa jejak. Penyiasatan Yak membuka rahsia lebih kelam dari apa yang dia pernah bayangkan. Sebuah mazhab kuno yang mengorbankan manusia untuk memuja roh gelap dan mengekalkan kekuatan abadi. Dengan bantuan sahabat lamanya Sarjan Paphan (Ong-art Jeamjaroenpornkul), Yak menjejaki sebuah desa terlarang bergelar 'Bongsinodbiang' tempat segala mitos dan sumpahan mula bernafas.
Di sinilah filem ini memijak sempadan antara realiti dan halusinasi. Yak berhadapan dengan roh berjubah hitam, entiti yang bukan sekadar makhluk halus, tetapi perwujudan dosa leluhurnya sendiri. Ritual berdarah yang mengorbankan penduduk desa digambarkan dalam sinematografi yang mencengkam. Lensa kamera M Studio menangkap keindahan kelam dalam setiap frame: cahaya bulan yang menembusi pepohonan, wajah murung Yak di bawah hujan, dan kabut yang terasa seperti roh yang berbisik.


Pelakon pembantu turut memperkukuh dunia misteri ini, Jelilcha Kapuan dan Rattanawadee Wongtong sebagai ahli keluarga yang tersisa, Nutthacha Padovan dan Kajbhunditt Jaidee sebagai anggota mazhab yang menggigilkan, serta Arisara Wongchalee sebagai dukun desa yang menjadi penghubung antara dua dunia. Peerakrit Phacharaboonyakiat menambah intensiti sebagai rakan seperjuangan Yak, mencipta keseimbangan antara kelelakian dan kelemahan jiwa.
Kekuatan terbesar Death Whisperer 3 terletak pada tema keluarga dan dosa warisan. Filem ini bukan sekadar tentang roh jahat yang menuntut korban, tetapi tentang keturunan yang terikat oleh kesalahan nenek moyang. Yee, yang awalnya tampak polos, membawa rahsia yang menggoncang: bahawa sumpahan yang memburu mereka selama ini berpunca dari darah keluarga sendiri. Twist ini mengubah segala perspektif, seram tidak datang dari luar, melainkan dari dalam diri mereka sendiri.


Nadech Kugimiya mempersembahkan lakonan terbaiknya di sini. Tatapannya menyimpan kelelahan, ketakutan, dan kasih sayang yang berlapis. Dalam adegan pertarungan dengan pemimpin mazhab, tubuhnya luka, tetapi matanya kosong, seperti seseorang yang sudah kehilangan makna hidup. Itulah kekuatan Nadech, membuat kita percaya bahawa Yak bukan lagi manusia sepenuhnya, tapi roh yang tersesat di tubuh yang masih bernyawa.
Sinematografi filem ini luar biasa: paduan warna dingin dan pencahayaan remang menjadikan desa itu terasa hidup dan menakutkan dalam masa yang sama. Efek praktikal dan CGI digunakan dengan penuh gaya. Adegan roh muncul dari tanah berlumpur antara nyata dan mimpi, menimbulkan rasa mual dan kagum dalam satu waktu.
Bahagian skor muzik dan reka bunyi benar-benar mencuri perhatian. Lapisan bunyi bisikan direka dengan teknik 3D sound, membuat penonton terasa bagaika mendengar suara itu berhembus langsung di belakang telinga. Komposisi muziknya mengingatkan pada Hildur Guðnadóttir, dengan getaran rendah dan orkestra kelam yang menghantui sehingga usai tayangan.


Namun Death Whisperer 3 bukan tanpa cela. Beberapa subplot mengenai pemujaan terasa panjang dan sedikit berulang, dan ada bahagian yang terlalu bergantung pada jumpscare berbunyi keras, warisan sinema seram lama yang terasa klise. Tetapi di tengah kelemahan itu, filem ini menebus segalanya dengan kekuatan emosinya. Babak akhir yang menampilkan Yee sebagai medium roh meninggalkan rasa kosong yang sukar dijelaskan, antara kelegaan dan kehilangan.
Berbeza daripada dua filem terdahulu yang lebih bersifat personal, sekuel kali ini memperluas skala ke arah seram rakyat. Desa menjadi metafora masyarakat yang terperangkap dalam lingkaran dosa dan tahyul. Naratif dibahagi dalam tiga babak ketat iaitu pencarian yang penuh tekanan, eksplorasi ritual yang mengerikan, dan klimaks pengorbanan besar-besaran. Ia mirip gabungan antara The Wailing dan Train to Busan, tetapi dengan jiwa Thai yang mistik dan emosional.



Kisah ini diinspirasikan oleh novel “Tee Yod: The End of Madness” karya Krittanon, yang menjadi rujukan tematik untuk menggali sisi psycho-religious manusia ketika berdepan dengan sumpahan. Itu sebabnya, di balik adegan berdarah, terselit renungan kewujudan tentang dosa, kepercayaan, dan kasih yang tidak sempat diungkap.
Dan ketika layar akhirnya gelap, saya tetap duduk lama. Jantung masih berdegup, tapi bukan kerana takut, melainkan kerana rasa kehilangan yang samar. Ada bisikan yang seolah tidak mahu diam, mengingatkan bahawa setiap generasi mungkin membawa sisa trauma yang belum ditebus.
Kalau menurut saya, Death Whisperer 3 adalah penutup trilogi yang memuaskan, penuh kekelaman, keindahan visual dan makna spiritual. Ia menegaskan bahawa ketakutan paling sejati bukan datang dari hantu, tetapi dari warisan yang kita warisi tanpa rela.
Filem ini mulai tayang 23 Oktober 2025 di pawagam Malaysia serta rantau Asia Tenggara, termasuk format IMAX dan Dolby Atmos untuk pengalaman bunyi yang imersif. Menonton Death Whisperer 3 terasa seperti mendengar doa lama yang dibisikkan di telinga tengah malam: lembut, tetapi membawa firasat buruk. Saya tak tahu apakah Yak akhirnya bebas, tapi saya tahu kutukan itu masih berhembus ke dalam benak penonton, ke dalam ingatan yang enggan diam.
Trilogi ini berakhir bukan dengan kelegaan, tapi dengan sunyi yang pekat. Death Whisperer 3 mungkin tidak sempurna, tetapi ia menutup kisah dengan cara yang jujur, getir, menakutkan, dan manusiawi. Entah kenapa, setelah filem usai, terasa seperti seseorang masih berbisik dari dalamnya. Mungkin itu cuma gema suara Yak. Atau mungkin, seperti judulnya, kematian memang tidak pernah berhenti berbisik. Dan sebenarnya kalau filem ini ternyata Box Office sekali lagi, kita semua boleh nampak ketara kerana siapa? Ya, kerana pesona Yak yang begitu sedap mata memandang! Tidak syak lagi!