
oleh: zizi hashim
Tak ubah seperti ditarik ke dalam pusaran waktu rasanya; dua dekad cinta, rindu, dan sajak yang tidak pernah benar-benar mati. Di sekeliling saya, penonton bernafas serentak, seolah-olah kita semua tahu yang kita sedang menyaksikan kebangkitan sesuatu yang pernah membentuk cara kita memahami cinta. Dan seperti melihat wajah lama dalam cermin yang berbeza. Cerita yang dahulu hanya milik remaja dua puluh tahun lalu, kini lahir semula dengan tubuh dan jiwa baharu.
Karya arahan sutradara Riri Riza ini terasa seperti surat cinta yang ditulis semula dengan pena yang lebih matang. Ia bukan remake yang gopoh, tetapi seolah-olah versi dewasa dari perasaan remaja. Lembut, reflektif, dan penuh kesedaran. Menyulam semula dunia Ada Apa Dengan Cinta? dengan kepekaan yang lebih matang, sentuhannya bak menulis puisi dari kenangan yang pernah menghangatkan, lalu menghembuskan nyawa baru ke dalamnya. Bersama Mira Lesmana, beliau menghidupkan semula semesta yang akrab tetapi segar. Sebuah filem muzikal yang menggabungkan puisi dan perasaan, harmoni dan kenangan. Masih sarat dengan bahasa perasaan, tapi kini berpijak lebih teguh pada realiti zaman ini.


Detik pertama Leya Princy muncul melangkah sebagai Cinta, senyumannya membawa aura muda yang jujur, menggoda lembut tetapi matanya berbicara lebih bayak daripada dialognya. Ada ketidakpastian, ada keberanian, dan menyimpan kerumitan seorang gadis yang baru belajar menafsirkan luka. Di sisi lain, El Putra Sarira tampil sebagai Rangga dengan dingin yang bersebab. Bukan kerana sombong, tapi kerana banyak hal yang ditahan agar tidak runtuh. Kemistrinya dengan Leya terasa organik, bukan meniru tetapi menjiwai roh lama dalam tubuh yang baru.
Yang menarik, filem ini tidak terjebak pada bayang-bayang AADC sepenuhnya. Ia mengingatkan, tapi tidak mengulang. Ia meminjam roh nostalgia, lalu menganyamnya dengan rentak muzikal yang hidup dan penuh emosi. Setiap lagu adalah pengakuan perasaan yang dinyanyikan dengan suara yang patah dan jujur, bukan hanya untuk estetika. Visual filem ini, dengan tata produksi yang memeluk setiap details dari kostum sekolah, buku puisi, hingga tata ruang Jakarta awal 2000-an menghadirkan rasa familiar yang mencipta tenang.


Saya merasa seperti pulang ke rumah, tetapi rumah itu kini lebih terang, lebih luas dan lebih berani bercakap tentang zaman yang telah berubah. Namun yang paling memikat kalau menurut saya ialah elemen muzikalnya. Setiap lagu adalah kelanjutan dialog, bukan selingan. Saat Cinta menyanyi dengan air mata yang menahan rindu, atau ketika Rangga berdiri di tepi jendela dengan puisi yang belum selesai, muzik menjadi bahasa ketiga yang menyatukan mereka. Di sinilah magis Anto Hoed dan Melly Goeslaw kelihatan jelas. Melodinya tidak hanya indah, tetapi juga menyimpan gema dari masa lalu yang kita semua kenal.
Pasangan suami isteri ini menghadirkan dimensi emosi yang memikat: melodi yang mendakap, harmoni yang menyisir kembali kenangan. Setiap bait lagu menyentuh sisi sentimental tanpa terjebak dalam melodrama. Ada momen di mana Cinta menyanyi sendirian di ruang kelas yang kosong, dan di situlah aku tersentak, betapa sunyinya cinta ketika ia tak sempat diucapkan. Apapun saya akui, tidak semua adegan muzikal berhasil sempurna. Ada momen yang terasa sedikit berlebihan, bagai tercari-cari keseimbangan antara puisi dan realisme. Tetapi justeru di ketidaksempurnaan itu, saya nampak kejujuran Riri: keberanian untuk bereksperimen, untuk membiarkan filem ini bernafas seperti manusia yang sedang belajar mengenal dirinya semula.


Satu hal yang patut dipuji ialah cara filem ini menafsir semula kisah Alya. Watak yang dulu penuh trauma kini ditulis dengan empati. Jasmine Nadya menampilkan kedalaman yang mengejutkan, lirih tapi berdaya, rapuh tapi tak menyerah. Babaknya memberi ruang bagi penonton untuk bernafas, dan bagi filem ini untuk tumbuh lebih besar daripada sekadar romansa.
Saya juga menyukai bagaimana Rangga & Cinta tidak terjebak dalam pameran nostalgia. Ia tahu bila harus berhenti meminjam dan mulai berbicara dengan suaranya sendiri. Meskipun adegan ikonik di bandara digantikan dengan versi baharu yang lebih lembut dan simbolik, pesannya tetap sama. Cinta sejati tidak menuntut dimiliki, cukup dikenang dengan ikhlas. Visualnya menawan tanpa berlebihan. Kamera mengikuti langkah remaja-remaja ini dengan keintiman, membiarkan cahaya pagi Jakarta membingkai wajah, membiarkan hujan menitiskan makna. Setiap warna, setiap bunyi, terasa seperti serpihan masa lalu yang dimodifikasi agar sesuai dengan hari ini.


Sebagai penonton yang membesar dengan AADC, sudah tentu saya menonton dari kacamata nostalgia. Apatah lagi berpeluang menonton bersama anak lelaki remaja saya, bagai tak percaya. Dan ketika Leya menatap El di bawah cahaya lampu dan berkata lirih, “Kita pernah seindah ini, kan?”, saya tahu saya sedang menyaksikan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar kisah cinta. Ini tentang waktu, tentang kehilangan, tentang bagaimana perasaan yang lama masih berdegup meski tubuhnya telah berganti lain.
Menonton Rangga & Cinta saya akui tetap tersentuh. Filem ini terasa hangat, seperti membaca surat cinta orang lain namun menemukan diri sendiri di antara baris-barisnya. Setiap watak, setiap lirik, setiap langkah tarian, bergetar dengan niat yang tulus. Saya percaya semua yang terlibat dalam pembikinannya benar-benar percaya bahawa puisi masih punya tempat di layar perak. Namun jangan marah kalau sejujurnya saya katakan masih tidak dapat mengatasi kehebatan AADC, saya masih tetap setia 'mencintai' Rangga dan Cinta original versi 2002, maafkan saya. Nicholas Saputra masih tetap satu-satunya Rangga di mata dan jiwa saya.
Rangga & Cinta bukan hanya kelahiran semula sebuah cerita, tapi juga sebuah reminder bahawa perasaan tulus tidak akan pernah lapuk ditelan masa. Ia akan selalu menemukan caranya untuk kembali, bahkan setelah dua puluh tahun duduk diam-diam dalam hati. Dan seperti setiap puisi yang baik, Rangga & Cinta tidak selesai ketika tayangan tamat. Ia terus hidup, bergema dalam dada, lama selepas layar menjadi gelap.
Kerinduan yang pernah disemai dua dekad lalu kini bernafas kembali. Temui kembali magis puisi dan cinta yang pernah membuat kita percaya kepada rindu. Rangga & Cinta mulai menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 6 November 2025. Mungkin kali ini, kita tidak sekadar menonton kisah mereka, kita menatap semula masa muda remaja kita sendiri. Jom! jangan kasi lama...