
oleh: zizi hashim
Wajah pucat Rina di tengah kabut Wonosobo, menimbulkan tanda tanya dan sekaligus rasa ngeri yang tidak langsung menggigit, tetapi merayap seperti doa yang disalah tafsir. Sinonim dengan judulnya yang bermaksud Darah Hitam, Getih Ireng, tidak sekadar filem seram yang menjerit dengan darah dan jeritan, ia adalah renungan kelam tentang garis keturunan, dosa lama, dan cinta yang mengurai menjadi dendam. Setiap detik terasa seperti doa yang berubah jadi sumpahan, setiap hembusan kabut membawa rahsia yang berbisik, “darah tidak pernah berdusta.”
Rina dan Pram, sepasang suami isteri muda yang meninggalkan kota Solo untuk mencari ketenangan di desa, tidak tahu bahawa rumah baru mereka menyimpan sejarah darah yang belum kering. Wonosobo digambarkan dengan nuansa kelam, diwarnai dialek tempatan yang jarang kita dengar dalam filem mainstream. Saya suka dengan keputusan berani sutradara Tommy Dewo dan penulis skrip Riheam Junianti yang tidak menghilangkan identiti budaya itu kerana ia memberi tekstur yang lebih dalam, seolah-olah setiap dialog lahir dari tanah dan tradisi yang masih hidup.


Lantas kisah ini bermula perlahan, dengan majlis kesyukuran masuk rumah baru, senyuman tetangga, bunyi gamelan yang samar namun dalam keheningan itu, ada sesuatu yang retak. Sosok lelaki tua tanpa busana muncul sekejap di mata Rina, lalu menghilang seperti kabus yang menyembunyikan dosa. Dari situ, kehidupan mereka berubah menjadi mimpi buruk yang menolak untuk berakhir.
Rina (Titi Kamal) tampil sebagai wanita yang terperangkap di antara dua dunia: antara kepercayaan dan kewarasan, antara cinta dan rasa bersalah. Tatapan matanya kosong namun sarat beban, menjadi cermin bagi setiap jiwa yang pernah kehilangan sesuatu yang tak tergantikan. Darius Sinathrya sebagai Pram juga menarik: lelaki yang cuba rasional di tengah badai mistik, tetapi akhirnya runtuh perlahan di hadapan sesuatu yang tak mampu dijelaskan oleh logika.
Momen paling menghantui saya ialah kemunculan entiti lelaki tua tanpa busana. Bukan sahaja kerana penampilannya, malah juga kerana simbol yang dibawanya. Tentang kesucian yang dicemari dendam, tentang jiwa tua yang menolak mati sebelum keadilan ditegakkan. Adegan itu bukan sekadar menakutkan, ia menyingkap sisi manusiawi dalam kengerian. Ada juga rasa jijik terutama ketika air liur menitis ke mulut Rina. Sudahlah hodoh rupanya, menjijikan pula. Saya tutup mata, tak mahu lihat bukan kerana takut tapi kerana geli, rasa nak muntah.


Saya rasa, Titi Kamal mempersembahkan salah satu lakonan terbaik sepanjang kariernya melalui Getih Ireng. Dia bukan hanya menjerit atau menangis, tapi bernafas dengan ketakutan itu. Setiap pandangan matanya mengandungi kepasrahan, setiap langkahnya terasa berat, tubuhnya lelah membawa beban sumpahan turun-temurun. Ada momen di mana dia duduk sendirian di tepi ranjang, menatap tangannya sendiri dengan pandangan kosong. Adegan itu sunyi, tapi menyayat lebih dari seribu kata.
Darius Sinathrya sebagai Pram juga memainkan lapisan emosinya dengan baik dari seorang suami rasional yang tak percaya pada ilmu hitam, kepada lelaki yang akhirnya tunduk kepada sesuatu yang tidak mampu dijelaskan. Transformasinya terasa nyata, dan interaksinya dengan Rina menjadi denyut utama filem ini. Dan kemudian, ada Sara Wijayanto. Seperti roh yang muncul hanya untuk menyampaikan rahsia, Sara memberikan lapisan spiritual yang memperdalam ketegangan cerita. Karektornya muncul dengan aura misteri, menjadi jambatan antara dunia nyata dan dunia yang tak terlihat.


Filem arahan sutradara Tommy Dewo ini menghidupkan mistik Jawa dengan sensitiviti dan keanggunan yang jarang terlihat. Loghat Wonosobo yang pekat menambah lapisan keintiman; terasa bagaikan kita sedang duduk di beranda rumah desa, mendengar kisah yang diwariskan dari nenek moyang. Kisah tentang dendam yang menitis bersama darah keturunan. Ketika ritual sihir itu dimulakan, seluruh pawagam seperti menahan nafas; saya sendiri terasa seperti sedang memerhati dari celah jendela dunia lain.
Dari sudut teknikal, Getih Ireng berdiri gagah dengan sinematografi yang pekat dan terukur. Pencahayaan remang, gerak kamera lambat, dan rekabentuk bunyi yang membalut seluruh ruang filem mencipta atmosfera mendalam. Bukan sekadar menyeramkan, tetapi menekan dada. Adegan ritual mistik disusun dengan presisi yang nyaris ritualistik: asap kemenyan, nyanyian mantra, darah yang menitis di tanah, semuanya diolah dengan rasa hormat terhadap budaya Jawa, bukan eksploitasi semata-mata.
Sinematografinya memeluk gelap dengan lembut. Bayangan dan cahaya seakan berdansa, mempermainkan emosi penonton. Efek bunyi seperti detak jantung, desahan nafas, bisikan tak bernama, membina remang ngeri yang tidak melompat, tetapi merayap perlahan, jahat menghuni benak. Di sini Getih Ireng menolak cara seram kolot; ia tidak berteriak, ia berbisik… dan bisikan itu terus tinggal lama meski setelah filem berakhir.


Namun, saya akui ada beberapa celah CGI yang kasar, tempo yang sesekali terasa longgar. Beberapa babak kehilangan momentum dramatik akibat potongan yang terlalu cepat. Tetapi kejujuran naratifnya menutup cela itu kerana inti Getih Ireng bukan pada keindahan visual, tapi pada luka yang diceritakan dengan getir. Di situ letaknya kejujuran Getih Ireng, kalau menurut saya. Tidak mengejar kesempurnaan teknikal, melainkan keaslian perasaan. Ia mengajak kita memahami ketakutan yang tumbuh dari akar budaya, dari kepercayaan yang diwarisi generasi ke generasi.
Di babak klimaks, pertarungan antara manusia dan entiti jahat itu bukan hanya fizikal, malah emosional. Ritual darah, doa yang terbalik, dan bisikan arwah mencipta simfoni seram yang menakutkan. Getih Ireng diadaptasi dari thread viral karya Jeropoint di platform X (Twitter), dan menariknya, naskhah ini berjaya mentransformasi kisah daring menjadi pengalaman sinematik yang matang. Menggabungkan kekuatan budaya dengan rasa universal tentang kehilangan dan cinta, Tommy Dewo dan pasukannya tidak cuba meniru formula Hollywood, sebaliknya mencipta bahasa visual mereka sendiri. Lambat, meditatif, namun penuh tenaga bawah sedar.
Mulai 6 November 2025, Getih Ireng telah pun menumpahkan darahnya di pawagam Malaysia dan ini bukan kisah yang boleh dilewatkan begitu saja. Datanglah dengan dada terbuka, kerana filem ini tidak sekadar menakutkan, tapi menguji jiwa. Ia mengendap perlahan, menuntut penonton untuk menyelami misteri yang lahir dari darah dan doa, dari cinta dan kehilangan. Saksikan bagaimana Titi Kamal menjelmakan ketakutan seorang wanita yang terperangkap antara realiti dan kepercayaan, dan biarkan Wonosobo berbisik kisahnya dalam gelap.
Kadang, untuk memahami makna hidup, kita perlu berani menatap gelap yang diwariskan. Jangan tunggu siang datang, temui Getih Ireng di pawagam terdekat.