oleh: zizi hashim
Ada kisah yang tumbuh dari luka, doa, dan degup rindu yang sabar menanti pelabuhan. Dan ada ketikanya momen dalam hidup yang terlalu indah untuk hanya dibingkai dalam senikata lagu. Begitulah Komang, sebuah filem yang lahir dari hati seorang lelaki bernama Raim Laode, dan didedikasikan untuk sosok yang menjadi pusat semestanya: Komang Ade Widiandari. Sebuah karya sinematik yang terasa seperti hela nafas terakhir selepas tangis panjang, tenang tetapi menyimpan gegaran emosi yang dahsyat.
Di tangan sutradara Naya Anindita, dan dipahat indah oleh penulis naskah Evelyn Afnilia, filem ini bukan hanya sebuah adaptasi lagu, tetapi surat cinta terbuka dari Raim Laode kepada takdirnya. Saat tirai dibuka dan layar menyorot laut biru Kota Baubau, saya tahu, ini bukan filem cinta biasa biasa. Ini adalah jendela ke dalam jiwa seorang lelaki dari Buton, Sulawesi Tenggara, si Ode, alter ego kepada Raim yang jatuh hati pada Ade, gadis manis dari Bali. Latar budaya yang begitu autentik, dari bunyi ombak hingga dialek daerah, menjadikan setiap bingkai terasa seperti pulang ke kampung halaman yang tidak pernah kita tahu dan kita rindukan.
Bermula dari sebuah pertemuan di Baubau yang dipayungi langit biru Sulawesi Tenggara, Ode dan Ade, dua nama, dua jiwa, dua keyakinan menyulam cerita mereka dengan benang-benang yang tidak selalu sewarna. Kiesha Alvaro dan Aurora Ribero, bagai roh yang dijemput untuk memberi nyawa kepada kisah cinta ini. Kemistri mereka tidak dipaksa; ia hadir dalam lirikan mata, dalam jeda diam yang berbicara lebih dari seribu dialog.
Yang membuat saya terperangkap adalah bagaimana filem ini tidak terburu-buru mengajar kita tentang cinta. Ia membiarkan kita duduk, menyerap sepi, dan merasa pedihnya perpisahan yang tiada jaminan kembalinya. Ade, dengan senyumannya yang contagious kelihatan ringan namun menanggung berat persimpangan budaya, menolak untuk menjadi sekadar watak pasif. Dia memilih, dia melawan, dia melepaskan. Ode pula, dalam kembara menjadi stand up comedy, mengangkat gelak tawa sebagai perisai dari kerinduan yang terus mencucuk tajam dari dalam.
Komang bukan sekadar visual yang memanjakan. Ia adalah emosi yang bergulung-gulung, merangkumi kisah cinta yang dililit ragu dan harapan. Perbezaan keyakinan menjadi dinding yang tinggi, namun tidak menghalang semangat Ode untuk mencintai. Di satu sisi, Ade sudah didekati Arya, lelaki Bali seiman yang lebih disenangi keluarganya. Di sisi lain, Ode memilih jalan yang lebih sunyi, ke Jakarta, mengejar impian lalu ke Belanda, semata-mata mahu membuktikan bahawa lagunya, Komang, bukan sekadar ciptaan, tetapi sebuah perjalanan.
Juga bukan sekadar kisah asmara dua insan. Ia adalah peta perbezaan di antara agama, keluarga, cita-cita dan bagaimana kesemua itu menjadi pagar yang menyekat, tetapi dalam masa yang sama menjadi jambatan yang mempertemukan semula. Saya terkesima saat adegan-adegan kecil menyulam makna yang mendalam. Seperti ketika keluarga Ode tidak menghidangkan daging sapi untuk menghormati kepercayaan Ade, atau ketika Ade memasak lawar cumi agar kakaknya yang sudah berpindah agama dapat makan bersama. Bukti bahawa toleransi tidak memerlukan laungan, cukup hadir sebagai isyarat diam yang ikhlas. Itu lebih menusuk dari seribu dialog moral.
Adegan Ode ke Belanda mungkin tampak terlalu dramatik, tetapi saya memilih untuk melihatnya sebagai metafora bahawa cinta sejati, seperti karya besar, harus melalui banyak lokasi batin sebelum menemui bait-bait akhir. Bahkan babak kilas balik masa kecil Ade berjaya menambahkan dimensi kepada perasaannya yang terkunci, yang akhirnya meledak dalam bentuk keberanian untuk memilih Ode. Dan ketika plot twist kecil muncul, seperti patung lumba-lumba yang menyimpan kenangan, saya terjebak oleh betapa lembutnya filem ini mengikat makna kepada objek, menjadikannya penanda waktu dalam ruang emosi kita.
Arya (Adzando Davema), saingan yang tampak sempurna di mata keluarga, memainkan peranan antagonis yang bukan kejam, tetapi manusiawi. Dia menjadi cermin kepada realiti pilihan, yang mudah diterima belum tentu yang benar dirasa. Lakonannya sarat dengan pengharapan dan rasa hormat menambah lapisan emosi yang kaya. Dia bukan antagonis, dia adalah manusia yang juga mencintai.
Filem ini mungkin berdurasi 109 minit, tetapi dalam ruang masa itu, saya merasa pernah melalui momen yang terpancar di skrin layar besar. Cinta yang berjarak, restu yang tidak mudah, dan keberanian untuk mencintai meski dunia tidak memihak. Keisha Alvaro sebagai Ode benar-benar memukau. Wajah mudanya yang penuh idealisme, senyum kecilnya yang menyimpan luka, dan cara dia memandang Ade seolah dunia hanya berisi satu orang, semua itu membuat saya percaya pada Ode. Aurora Ribero sebagai Komang pula, seperti embun pagi yang lembut namun tidak mudah dijinakkan. Kemistri mereka meski tidak meledak-ledak, tetapi menderu halus, menyelinap ke hati seperti bait puisi Raim yang selalu lirih.
Salah satu babak yang mencengkam ialah ketika ibu Komang mendapati bungkusan dari Ode. Saya dan beberapa penonton lain secara spontan menghela nafas panjang. Ia sunyi, tapi sarat. Begitu juga adegan dengan mainan lumba-lumba, yang pada awalnya tampak kecil, tetapi berakhir menjadi simbol kasih yang melampaui kata-kata. Setiap kota yang dilalui Ode, dari Baubau ke Jakarta lanjut ke Belanda, seolah-olah menjadi bab kepada satu puisi panjang tentang kasih dan perjuangan.
Sinematografi? Seumpama puisi visual. Lensa-lensa kamera membawa kita melayang di atas lautan Baubau, menyusur lorong kota Jakarta, dan menyerap cahaya hangat Bali. Setiap bingkai seperti ingin berbisik, “Inilah cinta, dalam seluruh bentuknya yang tidak selalu cantik, tetapi selalu benar.” Saya tidak terkejut apabila sinematografi-nya dipuji ramai. Ia seperti sebuah lukisan bergerak yang menghidupkan lagu-lagu Raim Laode menjadi nyata. Dan ya, Komang bukan sekadar filem yang lahir dari lagu. Ia adalah nyawa yang dijelmakan ke layar, sebuah pengakuan bahawa cinta, sekuat apapun ditentang, akan tetap menemukan jalannya.
Skor muziknya? Tentu saja diwarnai oleh karya Raim Laode, tidak mendominasi, tetapi mengisi. Ia datang seperti kenangan: diam-diam, lalu menghantam. Lagu Komang menjadi jantung kepada filem ini. Setiap petikannya adalah denyut yang membawa kita semakin dekat kepada maksud sebenar pengorbanan dan keteguhan.
Skrip oleh Evelyn Afnilia bijak menyeimbangkan humor dan duka, tawa dan renungan. Beberapa dialog Ode dan Boy (lakonan Arie Kriting) terasa begitu organik, bagaikan curahan hati di tepi jalan. Saya tertawa ketika Ade menyebut "sampah Jawa" dengan gurauan, kerana ia menanggalkan keformalan dan membawa kita ke dunia yang lebih manusiawi. Di sinilah keindahan Komang, tidak mengajar, tetapi mengajak kita merasai, menjiwai.
Mungkin filem ini tidak sempurna. Ada beberapa momen yang terasa terlompat seperti perpindahan emosi dari sahabat ke kekasih yang agak tergesa-gesa atau keputusan Ode untuk ke luar negara yang agak sedikit berlebihan. Namun, semua itu dimaafkan ketika akhir filem menghidangkan satu pelukan diam yang lebih menyentuh daripada seribu pengakuan cinta.
Akhirnya, filem ini menuturkan bahawa cinta bukanlah tentang mencari persamaan dalam segala hal. Ia adalah tentang bagaimana kita saling menjaga meskipun berbeza, dan menerima serta meraikan perbezaan bukan sebagai jurang, tetapi sebagai keindahan yang menjadikan kisah itu layak diperjuangkan. "Komang" mengingatkan saya, dan mungkin juga kamu, bahawa cinta sejati tidak perlu riuh-rendah. Cukup dengan setia. Dan dalam kesetiaan itulah, filem ini menemukan bentuknya yang paling puitis.
Saya keluar dari pawagam dengan dada yang masih hangat. Komang adalah peringatan bahawa cinta sejati itu bukan tentang menyatukan dua insan yang serupa, tetapi tentang bagaimana dua dunia yang berbeza mampu berdamai dalam satu bahasa, iaitu keikhlasan. Sebuah doa yang akhirnya dikabulkan oleh waktu. Untuk mereka yang percaya bahawa cinta sejati tidak pernah terlalu rumit untuk diterima, tetapi terlalu dalam untuk dijelaskan, jangan sampai terlepas tayangan di pawagam Malaysia bermula tanggal 5 Jun 2025 ini. Dalam setiap perhubungan, komunikasi yang baik adalah segala-galanya!