oleh: zizi hashim
Seperti langkah kaki di lorong yang samar, filem ini mengiringi penonton ke lembah gelap tempat cinta dan kebohongan saling mencengkam tanpa belas. Dendam Malam Kelam menusuk dari sisi yang paling tak terduga. Di saat hati sedang lengah, dan nurani perlahan terkikis oleh nafsu. Bukan hantu yang menjelma dalam lorong gelap, tetapi bayang kesalahan silam yang tidak berhenti memburu.
Saya duduk menatap layar, dan sejak detik pertama ketika tubuh Sofia terbujur di kamar mayat, saya tahu filem ini tidak akan membawa ketenangan. Ia menjerat lewat estetika noir yang pekat, dipandu oleh naskhah adaptasi dari The Body karya Oriol Paulo, lalu diadun semula oleh sutradara Danial Rifki dalam balutan yang lebih lokal, lebih personal, dan entah bagaimana terasa lebih menusuk jantung emosi saya sendiri.
Sofia (Marissa Anita), seorang isteri yang kononnya telah 'mati dibunuh', menjadi pusat kepada segala pusaran. Jenazahnya hilang, namun jejaknya tertinggal di mana-mana. Dalam bisikan kaca yang retak, dalam langkah yang terhenti, dalam diam yang membakar, dia menjadi bayangan yang menolak untuk dilupakan begitu saja. Femme fatale yang tetap 'hidup' bahkan dalam kematiannya. Marissa mungkin tidak banyak hadir di dalam layar, tetapi auranya meresap di segenap celah, membuat saya percaya, ada roh yang masih berlegar-legar dan tidak pernah benar-benar bersemadi.
Jefri (Arya Saloka), suami yang tampak berilmu dan sopan, adalah potret lelaki yang musnah perlahan-lahan oleh keputusannya sendiri. Dalam wajahnya yang tenang, tersimpan badai dosa, ketakutan, penyesalan, dan ego yang membatu. Sarah (Davina Karamoy), sang perempuan ketiga, tidak sekadar simbol godaan. Dia adalah luka yang hidup dan ketakutan yang membiak menjadi obsesi. Bersama, mereka membangun cinta yang cacat, penuh manipulasi, amarah, dan jauh dari ilusi kebebasan.
Namun cinta seperti itu bukan tiket menuju bahagia. Ia adalah jerat yang akhirnya mendorong mereka sehingga sanggup melakukan kekejaman yang tak dapat dibayangkan. Ketika mayat Sofia menghilang, waktu pun bagaikan terbelah. Realiti dan paranoia bercampur, dan saya akui, sebagai penonton, turut terhanyut dalam permainan rasa bersalah yang mencekik perlahan-lahan.
Detektif Arya Pradana (Bront Palarae) hadir bukan sekadar pemecah teka-teki, tetapi sebagai suara hati yang tidak sudi menutup mata atas kejahatan. Penampilannya tenang namun penuh intensiti. Setiap patah katanya menampar dalam diam, mengingatkan bahawa keadilan mungkin lambat, tapi tidak akan pernah hilang arah.
Sinematografi filem ini pula membuat saya terasa seperti catatan mimpi buruk yang lambat dilupakan. Gelap, meremang, dan selalu ada sesuatu yang bersembunyi di sebalik tirai cahaya. Tata artistik yang menekankan bayang dan tekstur dingin memberi nuansa tekanan yang membara dalam senyap. Kamera tidak sekadar merakam; ia mengintai, ia mengintrogasi. Ritma naratifnya pula tenang di permukaan, namun sebenarnya adalah air tenang yang menyembunyikan arus ganas.
Sebagai sebuah filem adaptasi, Dendam Malam Kelam tidak berusaha menjadi 'lebih hebat' dari asalnya. Sebaliknya, ia memilih untuk menjadi versi yang lebih jujur pada konteks lokal, pada manusia-manusianya, dan pada dosa yang mereka pikul. Ia menunjukkan bahawa dalam masyarakat kita, ada luka yang tidak dibalut tetapi hanya dikambus diam-diam. Dan ketika kebenaran cuba muncul ke permukaan, kita seringkali menolaknya demi menjaga aib kononnya.
Saya suka bagaimana filem ini tidak terburu-buru menyuap penjelasan. Ia membiarkan kita bermain teka-teki dan sesat dalam labirin moral wataknya. Pada saat Jefri mula goyah, pada saat Sarah mulai kelihatan sebagai penjelmaan mimpi buruk yang terpendam, saya mula tertanya-tanya "Siapa sebenarnya mangsa, dan siapa yang lebih kejam? Apakah pembunuhan Sofia adalah puncak dosa mereka, atau hanya awal dari karma yang lambat membalas?"
Dan ketika plot twist akhir membuka lembaran kebenaran yang tak disangka, saya tersentak. Bukan kerana tak menduga, tapi kerana terasa seperti ditampar oleh sesuatu yang kita cuba sembunyikan: bahawa kebenaran tak seharusnya terus dikubur. Ia akan bangkit, sama seperti Sofia yang tak mahu dilupakan begitu saja. Pun begitu, Dendam Malam Kelam bukanlah filem yang sempurna. Ada sedikit titik lemah pada tempo tengah yang terlalu larut dalam perselingkuhan dan relasi gelap.
Namun kelemahan itu masih boleh dimaafkan oleh kekuatan akhir cerita dan penampilan lakonan yang intens. Arya Saloka menunjukkan kedewasaan lakonan yang cemerlang, sementara Davina memberi warna baharu pada stereotaip watak 'perempuan penyondol' yang sering diremehkan. Dan Bront? Seperti biasa, karismanya begitu menyerlah dan tidak perlu diragukan.
Filem ini adalah cermin retak yang memantulkan sisi tergelap kita. Sebuah puisi suram tentang keinginan, kesalahan, dan ketakutan yang tidak pernah benar-benar mati. Jika anda tonton dengan mata terbuka dan hati yang bersedia, anda akan temukan lebih dari sekadar misteri. Anda akan temui dirimu sendiri, dalam pantulan-pantulan kejujuran yang selama ini anda enggan akui.
Akhirnya, Dendam Malam Kelam bukan untuk mereka yang mencari keseronokan ringkas, tetapi untuk jiwa-jiwa yang sanggup diheret ke dalam lorong penyesalan dan menyelam dalam kolam gelap psikologi manusia. Ini adalah kisah tentang cinta yang merosak, penebusan yang terlewat, dan dendam yang menjelma dalam wujud paling senyap iaitu rasa bersalah.
Satu karya yang meskipun bersandar pada bayang cerita asal, namun mampu berdiri dengan elegan dalam gelita. Bermula tayangan di pawagam Malaysia pada tanggal 26 Jun 2025, andai anda antusias filem seram misteri, filem ini untuk anda!