Bayangan Ritual Gelap 'Labinak: Mereka Ada Di Sini' Rahsia Di Sebalik Pintu Rumah Bhairawa

oleh: zizi hashim

Rakusnya manusia, apabila mampu menjadi lebih menakutkan daripada hantu tak kira jenis apa pun. Filem Labinak: Mereka Ada di Sini karya unik sutradara Azhar Kinoi Lubis ini, mendengar tajuknya saja sudah mengundang teka-teki. 'Labinak' jika diterbalikkan berbunyi 'kanibal', membawa janji ngeri yang akhirnya memang ditepati. Kedengaran janggal, pelik, dan anehnya, sekaligus menggoda rasa ingin tahu. Tertanya-tanya bagaimana seramnya yang kali ini diperlihatkan oleh sutradara tersohor filem seram indonesia yang pernah sukses dengan katalog filem-filem seram seperti Pengantin Iblis, Petaka Gunung Gede, Pengantin Setan dan banyak lagi.

Setiap kali menonton filem seram Indonesia, saya sudah terbiasa dengan pocong, kuntilanak, atau rumah tua yang dipenuhi jeritan roh. Labinak: Mereka Ada di Sini menyimpang daripada pola itu, menghadirkan kengerian yang lebih dekat dengan tubuh manusia sendiri. Azhar Kinoi Lubis berani mengangkat tema kanibalisme, topik yang jarang disentuh di layar perfileman tempatan lalu menggabungkannya dengan nuansa psikologi dan kritik sosial.

Kisah berputar tentang Najwa (Raihaanun), seorang ibu tunggal yang tidak sampai hati melihat satu-satunya anak perempuannya, Yanti (Nayla D. Purnama) hidup susah dan menderita, lantas mahu memberi kehidupan baru buat mereka di Jakarta. Dua watak yang kelihatan rapuh, menjadi tumpuan. Awalnya, semua seperti mimpi. Najwa dapat kerja bagus sebagai guru di sebuah sekolah elit, keluarga Bhairawa yang menaungi sekolah itu sangat baik dan peramah, sering mengundang makan malam di rumah mewah mereka. Namun seperti cermin retak, keindahan itu menampakkan garis-garis rahsia yang perlahan-lahan membongkar sisi gelap.

Saya sendiri dapat merasakan bagaimana Najwa, yang awalnya penuh harapan, semakin hari semakin dirundung rasa curiga. Suara-suara berbisik yang hanya didengarinya, bayangan tubuh cacat, penemuan serpihan yang mengerikan di rumah barunya, semuanya membentuk rasa resah yang menekan dada dan membangun ketegangan yang konsisten. Keluarga Bhairawa, dengan senyuman ramah dan tatapan penuh rahsia, ternyata menyimpan tradisi purba: ritual kanibalisme untuk mengekalkan kuasa dan 'keabadian'. Yanti menjadi sasaran pengorbanan, dan dari situ konflik mencapai kemuncak yang membuat saya terhimpit di kerusi pawagam, tangan mulai terasa dingin.

Kali ini, Labinak memilih jalur yang lebih visceral dan menekankan sisi kelam manusia: kerakusan, ritual kuasa, dan tradisi purba yang mengorbankan jiwa tak berdosa. Juga lebih memilih estetika gothic penuh simbol. Betapa luasnya spektrum filem seram Indonesia apabila mampu beralih dari seram spiritual ke seram daging dan darah, tanpa kehilangan identiti budaya. Tidak bergantung kepada jumpscare murahan, Azhar Kinoi Lubis membiarkan kesenyapan bercakap. Ruang kosong, koridor panjang, bunyi tapak kaki dan bayangan samar-samar, semua ini lebih menyesakkan daripada hentakan keras.

Raihaanun memberikan salah satu lakonan terbaik dan benar-benar menawan. Dia membawakan Najwa bukan sebagai heroin tipikal, tetapi sebagai seorang ibu yang getir, penuh luka masa lalu, namun tetap teguh melindungi anaknya. Setiap ekspresi dari mata yang membulat kerana panik hingga wajah yang menahan tangis membuat saya percaya sepenuhnya pada penderitaannya. Nayla D. Purnama, dengan kepolosan yang tulus, menjadikan ancaman terhadap Yanti terasa lebih meluluhkan hati. Arifin Putra dan Giulio Parengkuan tampil dengan karisma menyeramkan sebagai keluarga Bhairawa, sementara Jenny Zhang, dengan kelembutan wajah yang menipu, membuat bulu roma berdiri ketika rahsianya terbongkar.

Pun begitu, filem ini tidak terlepas daripada kelemahan. Beberapa CGI tampak kasar, terutama ketika menggambarkan ritual dengan visual yang terlalu berlebihan. Tempo cerita di pertengahan juga terasa perlahan, seakan-akan menguji kesabaran sebelum menuju ke klimaks. Ada subplot mengenai masa lalu Najwa sebagai mangsa trauma yang walaupun menambah dimensi, kadang-kadang terasa dipaksakan. Dan penghujung ceritanya? Ah, ia seperti pintu yang dibiarkan separuh terbuka, menimbulkan lebih banyak tanda tanya daripada jawapan.

Secara teknikal, Labinak mempunyai sinematografi yang cemerlang. Cahaya suram dan malap, bayangan yang melilit dinding, serta framing yang terasa sempit mencipta ruang psikologi menyesakkan. Skor muziknya menyalakan jantung, kadangkala terlalu keras, tetapi cukup efektif untuk mengekalkan rasa gelisah. Andai lebih banyak keberanian diberikan kepada kesenyapan, Saya yakin ketakutan yang tercipta akan lebih menghantui.

Sayangnya, saya tidak suka dengan ending yang dipilih untuk filem ini. Sedikit kecewa, justeru buat saya termenung. Kenapa begitu pengakhiran ceritanya? Filem ini mengajarkan bahawa kasih seorang ibu mampu menembus apa pun kengerian. Ia juga mendedahkan bagaimana manusia sanggup menindas dan memangsa sesamanya demi kuasa dan kekayaan. Tema sosial ini membuat saya terdiam lama selepas tayangan tamat. Rasanya seakan menatap cermin dunia nyata bahawa kerakusan sering tersembunyi di balik senyuman manis dan pakaian indah.

Labinak: Mereka Ada di Sini bukan hanya sebuah filem seram, ia adalah pengalaman yang menyentuh sisi terdalam jiwa. Ia menakutkan, merisaukan, dan membuat kita merenung tentang batas-batas kemanusiaan. Filem ini mengundang penonton untuk berani menghadapi kegelapan yang bukan datang dari alam lain, tetapi dari hati manusia itu sendiri. Ketamakan yang mampu menelan akal, tentang kasih seorang ibu yang menjadi satu-satunya cahaya dalam gelap. Labinak membuat Saya menyoal semula garis halus antara keindahan dan kengerian, antara ritual dan pembunuhan, antara kemewahan dan kerosakan.

Labinak: Mereka Ada di Sini mula menghantui pawagam Malaysia pada 18 September 2025. Dan percayalah, anda akan pulang dengan lebih daripada sekadar ketakutan, anda akan pulang dengan pertanyaan yang sukar dijawab tentang siapa sebenarnya 'kanibal' di dunia nyata ini.