
oleh: zizi hashim
Tak banyak berbicara, hanya tatapan matanya yang menyimpan seribu rahsia. Setiap detik sunyi tanpa dialog menyimpan luka yang belum sempat sembuh. Dali, bekas banduan yang hanya ingin menatap anaknya buat kali pertama, menjadi lambang manusia yang berjuang melawan nasib dan masa lalu. Ketika wajah Dali muncul dalam bayangan kelam, saya tahu filem ini akan menjemput saya ke satu perjalanan yang lebih dari sekadar aksi biasa-biasa.
Perjalanan Dali berubah menjadi mimpi buruk apabila malam yang seharusnya damai bertukar menjadi medan tempur. Lori katering yang sepatutnya menghantar makanan kepada polis kini menjadi kenderaan maut, memecut menembus kegelapan sambil membawa misi antara hidup dan mati. Setiap dentuman peluru terasa dekat, bukan sekadar bunyi, tetapi gema dari dada seorang ayah yang tak ingin kehilangan sisa harapannya.


Sutradara Kroll Azry memimpin naskhah ini dengan disiplin dan energi luar biasa. Aksi tidak meletup secara sembrono; ia terancang, ketat dan menggigit. Ada kejujuran dalam cara beliau memaparkan kekacauan malam itu, tanpa glamor berlebihan, tanpa melodrama yang murahan. Saya menghargai keberanian Kroll untuk mengekalkan realiti keras di sebalik kisah penebusan. Dengan tumpuan yang mengkagumkan, tiada ruang kosong untuk leka. Aksi diatur dengan cermat, tidak berlebihan namun sarat intensiti. Setiap pergelutan terasa benar, setiap luka seperti berdarah nyata. Penggunaan cahaya neon dan bayangan kelam menjadikan setiap sudut kelihatan hidup.
Wajah lelaki yang diamnya penuh dosa, baru sahaja bebas dari tirai besi, tetapi kebebasan itu terasa seperti hukuman yang lain. Matanya menyimpan riwayat yang belum selesai; antara rindu, marah dan rasa bersalah. Dia tidak mencari kebebasan, dia mencari penebusan. Namun dunia jarang memberi ruang untuk tenang. Di pertengahan jalan menuju anaknya, Dali terseret dalam misi yang tak pernah dimintanya, terpaksa membantu pihak polis yang diracun oleh kartel dadah. Malam yang sepatutnya menjadi perjalanan pulang berubah menjadi neraka penuh darah, peluru, dan pilihan-pilihan yang menggigit nurani.


Aaron Aziz tampil dalam bentuk terbaiknya, memberi jiwa pada Dali dengan cara yang halus tetapi menghantam emosi. Wajahnya menanggung diam yang berat; setiap pandangan matanya seperti doa yang tertahan. Dia bukan lagi hero yang gagah berlagak. Dia manusia yang letih, tampak benar lelahnya tapi masih sedaya upaya cuba bertahan. Saya menahan nafas ketika Dali menatap telefon bimbit kecil yang memaparkan wajah anak yang belum pernah dia dakap, ketika itu saya rasa seolah-olah seluruh babak filem berhenti bernafas bersamanya.
Rosyam Nor pula, dengan karisma yang tidak pernah pudar, menjadi imbangan antara autoriti dan empati. Menyulami layar dengan ketegasan yang jujur, karektor Inspektor Johari di tangannya mengimbangi Dali dengan keberanian yang lahir dari rasa tanggungjawab, bukan ego. Dan di antara detik tegang, kelucuan spontan daripada Afdlin Shauki dan Fadhil Masoot menyusup lembut, menjadikan filem ini tidak terlalu berat untuk dihadam. Lawak-lawaknya tidak mematikan momentum aksi, malah memberi ruang bagi penonton untuk bernafas, untuk tertawa di antara peluru. Keseimbangan antara tragedi dan humor itulah yang menjadikan Banduan terasa manusiawi, bukan sekadar filem aksi yang dingin dan keras.



Namun di balik dentuman itu, ada kemanusiaan yang senyap. Filem ini menyentuh sisi moral yang jarang disentuh oleh filem aksi tempatan. Tentang orang yang pernah berdosa, tapi masih punya hak untuk menebus dirinya. Tentang manusia yang terperangkap dalam sistem dan nasib. Tentang kasih sayang yang mungkin lahir dari tempat paling gelap. Saya teringat momen menyayat ketika Dali tersenyum kecil mendengar nama anaknya disebut. Senyuman yang tidak sempat mekar sepenuhnya, kerana peluru datang lebih cepat daripada takdir. Babak-babak sebegitu memisahkan Banduan daripada filem aksi biasa, ia memiliki jiwa.
Dari sudut teknikal, filem ini amat meyakinkan. Sinematografi oleh Haris Yusof menggambarkan malam Malaysia dengan karektor tersendiri. Hujan di atas jalan tar, pantulan cahaya siren di wajah pelaku, bunyi enjin lori yang seakan denyut jantung cerita. Arahan muzik latar oleh Sam CS pula menjahit setiap emosi dengan cermat, tidak mendominasi, tapi menyatu dengan nadi kisah. Saya kagum apabila tahu Banduan turut ditayangkan di Penjara Kajang kepada lebih 80 banduan dalam program “Peluang Kedua, Masih Ada Sinar”. Detik itu terasa penting bukan untuk publisiti, tapi kerana filem ini memang berbicara terus kepada jiwa mereka yang mencari peluang untuk berubah.


Filem ini memang adaptasi Kaithi, namun versi Malaysia ini punya jiwa sendiri. Ia bukan meniru, tetapi menterjemah. Bukan salinan, tetapi tafsiran semula yang berani. Dagingnya mungkin sama, tapi nadinya berdenyut dalam irama Nusantara. Ada nasi dagang, ada air kathira, ada lawak pasar, ada dikir puteri yang tiba-tiba menyelinap di tengah ketegangan. Itu cerminan sebenar rakyat Malaysia. Kita masih sempat tersenyum walau hidup terasa seperti pertempuran. Semua itu menjadikan Banduan terasa hidup, bukan terikat pada bayang filem asal.
Namun tidak semua sempurna. Ada bahagian awal yang terasa sedikit perlahan, mungkin sedang mencari rentak. Ada beberapa bahagian yang sedikit longgar dari segi pacing awal, namun sebaik sahaja peluru pertama dilepaskan, filem ini tak lagi menoleh ke belakang. Adegan kejar-mengejar dan pertempuran lorongnya terasa hidup. Realistik dan kejam, tetapi dalam kekejaman itu tetap terbit kemanusiaan. Aksinya meledak, naratifnya ketat, emosinya jujur. Saya akui telinga saya berdesing dibuatnya akibat sound design yang lantang. Banduan bukan sekadar filem aksi, ia doa yang disampaikan melalui peluru dan peluh. Ia kisah tentang bagaimana manusia yang pernah jatuh boleh berdiri semula, meski dunia belum tentu memaafkannya.
Kalau tanya saya, Banduan adalah antara karya tempatan paling matang dalam genrenya. Berani, bernyawa, dan berlapis makna. Ia menunjukkan bahawa sinema Malaysia sudah cukup dewasa untuk menulis mitosnya sendiri, dengan nadi tempatan tetapi jiwa sejagat. Filem ini menandakan fasa baharu buat sinema tempatan. Ia keras, jujur, dan emosional tanpa perlu memaksa. Sebuah adaptasi yang memahami bahawa kekuatan bukan pada ledakan bom, tapi pada detik senyap seorang ayah yang menggenggam harapan di tengah pekikan dunia.
Banduan akan mula menemui penonton seluruh Malaysia, Brunei, Singapura, Kanada dan Amerika Syarikat pada 6 November 2025, dan bakal membuka jalan baharu buat sinema aksi tempatan. Jalan yang dipenuhi luka, darah, tetapi juga harapan. Setiap manusia pernah tersilap jalan, tapi tak semua berani pulang. Dali cuma ingin bertemu anaknya tetapi takdir berkata lain. Saksikan Banduan, kisah seorang ayah yang menebus masa silam di tengah malam penuh peluru.