'Badak' Kisah Kasih Seorang Bapa Pekak Pada Satu-Satunya Anak Buat Mata Bengkak Dan Hati Sebak

oleh: zizi hashim

Mata saya masih terasa berat, bengkak oleh tangisan yang tidak saya rancang. BADAK adalah jenis filem yang menyentuh jauh ke dasar terdalam, bukan dengan kata-kata besar, tetapi dengan diam, dengan isyarat, dengan bahasa hati yang kita sering lupa untuk dengar. Rasanya sudah lama saya tidak berhadapan dengan sebuah filem tempatan yang membuatkan dada terasa sesak, mata bengkak, dan hati sebak dengan persoalan yang membekas lama. BADAK (2025) hadir seperti sebuah tamparan lembut, ia tidak meraung untuk didengari, tetapi bisiknya mampu menggoncang jiwa.

Kisahnya sederhana: seorang bapa tunggal bisu dan pekak, digelar Badak (Shaheizy Sam), membesarkan anaknya Mirah dalam dunia penuh kasih dan bahasa isyarat. Hidup mereka kecil, sederhana, berputar sekitar flat usang di tengah kota penuh karat dan debu, yang jadi saksi kepada cinta tanpa syarat. Namun, apabila Mirah melangkah ke dunia muzik hip-hop arus perdana, konflik pun mulai terjadi. Dua dunia berbeza: sunyi lawan bising, tradisi lawan moderniti, mula menguji ikatan ayah dan anak.

Dunia Badak penuh senyap, penuh bahasa isyarat, penuh pengorbanan kecil yang jarang orang nampak. Namun dunia Mirah, gadis remaja yang berjiwa bebas, semakin sarat dengan bunyi: muzik, hip-hop, dan impian untuk dikenali. Dari sinilah jurang generasi dan jurang bahasa mula mencipta ketegangan. Sebagai penonton, saya rasa seperti dipaksa menyelam ke dua lautan sekaligus: lautan kesunyian yang penuh makna dan lautan hingar yang penuh paradoks.

Lakonan Shaheizy Sam kali ini sungguh mengejutkan. Ekspresinya tanpa suara jauh lebih kuat daripada lakonannya dalam filem blockbuster sebelum ini. Saya dapat lihat dedikasinya sehingga sanggup menaikkan berat badan, sanggup berkorban demi karektor. Kehadiran Wan Hanafi Su sebagai sosok "Atuk", dengan karisma yang tenang, hanya perlu sebuah renungan untuk menambah lapisan emosi dan buat seluruh pawagam terpaku. Dan wajah polos Mirah tanpa solekan, diperankan dengan jujur, memberi lapisan realiti yang indah dan tulen kepada dunia jalanan yang keras tetapi penuh mimpi. Ada babak kecil yang membuat pawagam riuh dengan tawa, seperti gurauan tentang “sunat Jay” tetapi di sebalik ketawa itu tersembunyi luka yang lebih dalam.

Saya terkesan dengan keberanian produksi mengangkat tema yang jarang disentuh dalam sinema tempatan: bagaimana komuniti pekak sering terpinggir, bagaimana cinta mereka jarang diwakili di layar perak. Namun BADAK tidak menjadikannya melodrama murah. Sebaliknya, filem ini mengolah keheningan menjadi puisi visual, menjadikan setiap pandangan mata lebih lantang daripada seribu dialog. Seperti yang saya katakan tadi, ekspresi Shaheizy Sam dalam watak ini, tanpa suara, tanpa kata, lebih kuat daripada kebanyakan lakonan vokalnya yang pernah saya saksikan. Dia menukar tubuhnya, menaikkan berat, merelakan transformasi, demi menghidupkan watak seorang ayah yang dunia sunyinya begitu bising dengan kasih sayang.

Sinematografinya mengikat saya sejak awal. Kontra antara ruang flat sempit dengan pentas neon hip-hop terasa seperti metafora visual: sunyi melawan hingar, cinta yang tulus melawan ego dan cita-cita. Penggunaan runut bunyi juga bijak, bukan sekadar penghias, tetapi sebahagian daripada konflik naratif. Muzik hip-hop menjadi katalis pertentangan, melambangkan dunia baharu yang Mirah pilih, sekaligus menguji sempadan cinta seorang ayah yang selama ini memeluk dunianya dengan hening.

Lebih dari segalanya, yang saya kagumi adalah naskhah ini tidak pernah merendahkan penonton. Skripnya padat, setiap ayat berfungsi, setiap dialog punya makna. Dialog melalui bahasa isyarat terasa ikhlas dan tajam, malah monolog dalaman Badak yang hanya divisualkan lebih menyayat daripada kata-kata panjang.  Inilah kelas master sinema emosi, tidak membazirkan satu babak pun dan tidak pula bergantung pada melodrama. Ada momen saya sendiri terdiam, tertanya: berapa ramai di antara kita yang benar-benar faham bahasa insan terdekat kita, atau kita hanya menganggap kita sudah tahu?

Kolaborasi antara Malaysia, Singapura, dan Indonesia jelas mengangkat nilai produksi. Setiap sudut penggambaran, setiap warna, setiap simbolik terasa teliti dan tidak klise. BADAK bukanlah drama keluarga konvensional. Ia adalah kritik sosial terhadap stigma, sebuah eksperimen visual dan emosi yang jarang kita temui. Penamatnya pula berani, membuatkan pawagam hening seketika, penonton tidak tahu mahu menangis, atau mahu berfikir lebih lama tentang mesejnya.

Saya percaya BADAK adalah ‘game changer’ untuk sinema Malaysia. Filem ini bukan hanya cerita keluarga, ia juga kritik sosial tentang stigma terhadap komuniti pekak. Ia menegaskan bahawa suara paling lantang kadang-kadang hanya boleh didengar dengan hati. 88 minit yang terasa seperti perjalanan rohani, dan saya berani katakan, filem ini bukan tontonan sekali lalu. Ia meninggalkan aftertaste yang kuat, rasa pahit, manis, dan pedih yang bercampur, seperti sesuatu yang sukar ditemui dua kali. Rasa itu pelik tapi istimewa yang tinggal lama di lidah.

Kalau menurut saya, BADAK adalah sebuah karya yang menguji minda, menelanjangi jiwa, dan menuntut kita menonton dengan hati, bukan sekadar mata. Mulai 2 Oktober 2025, BADAK mulai ditayangkan di pawagam seluruh negara. Percayalah, BADAK bukan filem yang hanya anda tonton lalu dilupakan. Ia adalah pengalaman hidup. Mesti tonton dengan hati terbuka. Pergilah, hadamkan, dan rasakan sendiri cinta yang paling terdalam sering tidak terucap, hanya difahami dalam keheningan. Tidak memerlukan suara, cukup hanya keberanian untuk memahami.