oleh: zizi hashim
Satu pengalaman sinematik yang sungguh tidak waras, dari awal hingga akhir, dipersembahkan dalam cara yang terbaik. Gila. Jijik. Jujur. Kelakar. Dan ya, mengerikan, tapi bukan mengikut acuan seram biasa. Ia seperti komedi romantik yang tersesat dalam mimpi buruk. Sebuah ‘body horror’ yang berani melukis pergantungan emosi secara harfiah, menggunakan tubuh sebagai metafora paling kejam bagi cinta yang terlalu erat.
Brie dan Franco, gandingan suami isteri di kehidupan sebenar yang menjadikan keseluruhan kekacauan ini terasa realistik dan sangat menyakitkan. Kemistri mereka tidak dibuat-buat, malahan sangat meyakinkan. Ketika mereka ketawa, saya ikut ketawa. Dan ketika mereka melontarkan kekecewaan, saya juga turut terasa pedihnya. Keintiman mereka bukan manis seperti drama romantik biasa, tapi lebih kepada kerakusan dua jiwa yang tidak tahu bagaimana untuk berdiri sendiri.
Kisah ini bermula dengan sepasang kekasih yang berpindah ke kawasan desa terpencil demi kononnya ‘permulaan baru’ untuk memperbaiki keadaan, Namun dari awal lagi, retak-retak kecil dalam cinta mereka mulai terasa, dan sebelum sempat sembuh, sesuatu yang jauh lebih mengerikan mula meresap masuk ke dalam hubungan mereka… dan tubuh mereka. Gelora batin masing-masing mula membuak keluar, sehinggalah sesuatu yang ganjil, sesuatu yang kelihatan mistik dan menjijikkan mula menjangkiti hubungan mereka. Tidak keterlaluan kalau saya katakan, filem ini seperti Plato yang bercium dengan Cronenberg.
Babak mereka berselubung dalam cadar basah dan kusam, menyarung selimut seperti dari gua yang sudah berkurun usianya, masih menghantui fikiran saya hingga kini. Ia menjijikkan, namun itulah intipatinya. Cinta boleh jadi menjijikkan, apabila kita terlalu larut dengan satu sama lain. Filem ini tidak takut untuk menunjukkan sisi yang tidak manis, sisi cinta yang tidak selesa.
Anda mungkin fikir ini cinta, tapi anda sedang menonton kemusnahan secara perlahan-lahan. Bukan melalui pengkhianatan atau pertengkaran, tapi melalui penyatuan fizikal yang secara literal menggabungkan dua insan menjadi satu entiti. Rom-com body horror, begitulah genre ganjil yang terbaik untuk menggambarkan filem ini. Ia lucu, namun mengganggu. Jijik, tapi sangat menggoda. Filem ini mengolah idea cinta dan kebergantungan bersama (codependency) secara ekstrim, menjadikan ia bentuk cinta yang bukan lagi menyembuhkan, tapi membusuk dari dalam.
Brie dan Franco menghidangkan lakonan yang luar biasa dalam durasi 1 jam 42 minit. Sebagai pasangan sebenar dalam dunia nyata, mereka membawa realisme ke layar dengan keintiman dan kekacauan emosi yang sangat meyakinkan. Dialog mereka tidak banyak, tapi tubuh mereka yang berbicara. Pandangan, sentuhan, dan perubahan fizikal menjadi nadi naratif dan itulah kekuatan filem ini.
Satu perkara yang membuat saya kagum ialah bagaimana sutradara Michael Shanks mengangkat mitos Plato dari Symposium, tentang manusia yang terbelah dua dan mencari ‘pasangan’ untuk menjadi lengkap. Tapi di sini, pertemuan itu tidak menjadikan mereka utuh malah menelanjangkan betapa bahayanya obsesi untuk menjadi satu. Apabila kita terlalu ingin menyatu, kita mungkin hilang siapa diri sendiri.
Sebagai filem, ia tidak menakutkan secara konvensional. Tiada syaitan melompat dari bawah katil atau bisikan seram di lorong gelap. Tapi ia menakutkan secara halus. Together membuat saya takut kepada idea cinta itu sendiri, bagaimana ia boleh bertukar dari sesuatu yang menyelamatkan kepada sesuatu yang menelan. Kesannya tidak hanya terletak pada cerita. Kesan praktikal seperti efek luka, darah, tubuh yang ‘tumbuh’ dan berubah secara aneh, sangat mengesankan.
Together mengingatkan saya pada karya-karya Cronenberg yang bermain dengan estetika ‘grotesque’, tetapi dengan sentuhan moden yang lebih melankolik dan artistik. Namun, tidak semuanya sempurna. Ada babak-babak yang terasa tergesa-gesa, time jump yang memerlukan sedikit perhatian lebih, dan beberapa persoalan tergantung seperti: bagaimana undang-undang mengiktiraf entiti yang telah bergabung menjadi satu? Bagaimana mereka bekerja? Bagaimana buang air? Tapi mungkin, itu bukan soalan yang perlu dijawab. Filem ini bukan tentang logika, tapi tentang rasa.
Ending-nya membuat saya terpaku, bukan kerana ia dramatik, tetapi kerana ia tidak memberi penyelesaian penuh. Ia membiarkan penonton termenung sendiri, mengisi ruang kosong dengan makna masing-masing. Dan saya suka itu. Saya suka filem yang tidak memberi jawapan mudah. Sebagai seorang penonton yang jarang benar-benar ingin ulang tonton sebuah filem, Together buat saya pertimbangkan untuk menontonnya semula, hanya untuk menyelami lebih dalam segala yang tersirat, mungkin juga kerana saya ingin tahu sama ada semua yang saya rasakan ini adalah realiti atau sekadar imaginasi yang terlalu liar.
Saya tidak akan lupakan filem ini dalam masa terdekat. Ia membuat saya geli, tetapi juga membuat saya termenung. Ia membangkitkan soalan tentang identiti, kebergantungan, dan apa ertinya ‘bersatu’ dalam erti cinta. Mungkin ini bukan filem paling menakutkan tahun ini, tapi ia mungkin yang paling menjengkelkan secara emosi dan itu jauh lebih menakutkan.
Dan jika anda antusias filem yang pelik tetapi bermakna, yang kotor tetapi indah, yang menyentuh tanpa perlu menjelaskan terlalu banyak justeru Together ialah sebuah filem yang wajib anda saksikan. Sebuah kisah cinta yang tidak cuba untuk menyenangkan hati, tapi berani untuk menunjukkan sisi cinta yang menakutkan. Tayangan di pawagam seluruh Malaysia bermula 31 Julai 2025, ada yang berani nak tonton? Yang pasti sewaktu saya menonton, satu panggung menggelupur tenat dibuatnya.