Ada 'Pemangsa' Yang Lebih Bahaya, Lebih Gila, Lebih Rakus Dari Haiwan Dalam 'Dangerous Animals'

oleh: zizi hashim

Sekilas ombak menggulung jauh dari daratan dan di sebalik buih-buih putih yang kelihatan jinak itu, sebenarnya ada sesuatu yang sedang menanti. Bukan jerung semata-mata, tetapi kegilaan yang berwajah manusia. Filem Dangerous Animals adalah naskhah seram dari Australia yang datang menyeringai di musim panas juga terjahan ke dalam kegelapan manusia yang paling terpendam, tempat di mana kekejaman berbaur keghairahan dan lautan menjadi pentas penyembelihan.

Jai Courtney tampil sebagai Bruce Tucker, pemandu pelancong laut yang lebih menyerupai pemangsa purba berotot, berambut kusut, dan bermata tajam. Tiada helah atau misteri, dia muncul awal-awal lagi, mengaum dari trak buruknya, seperti buaya kota yang sudah lama menahan kelaparan. Tugasnya? Menawarkan pengalaman berenang bersama jerung. Tetapi bukan dari dalam sangkar, itu untuk pengecut. Tucker lebih gemar melihat mangsanya terumbang-ambing, terdedah, terkial-kial, nyaris-nyaris tidak sempat menjerit sebelum diseret ke dasar lautan.

Di tangannya, kamera VHS berfungsi seperti journal keabadian: merakam penderitaan demi penderitaan, seolah-olah kesakitan itu satu 'kepuasan' seni yang harus disimpan, dibingkaikan, dan diulang-ulang semula. Skrip ciptaan Nick Lepard mempersembahkan mimpi ngeri baharu dan di tangan sutradara Sean Byrne, ia menjadi kanvas penuh debar yang tidak memberi ruang untuk bernafas. Segalanya pantas, padat, dan meremukkan jiwa. Namun kekuatan filem ini tidak hanya bersandar kepada si pemangsa sahaja.

Masuk Zephyr, satu jiwa yang pernah disiat-siat dan dirobek teruk oleh dunia sejak dari kecil. Gadis gelombang ini bukan pencari cinta atau penyelamat; dia pengembara sepi, pengejar ombak, dan lebih suka bersendiri. Dibawakan dengan keperkasaan emosi oleh Hassie Harrison, Zephyr bukanlah watak hiasan. Dia adalah taufan yang enggan dijinakkan. Keangkuhannya terhadap dunia bukan sombong tetapi pertahanan diri setelah bertahun-tahun dihumban dari satu rumah jagaan ke rumah yang lain.

Pertemuannya dengan Moses (Josh Heuston), jejaka tempatan yang menyaksikan Zephyr mencuri, membuka lapisan baru dalam filem ini. Ia seolah-olah menjelma menjadi kisah remaja manis, yang menyentuh sisi lembut dan rentan mereka berdua. Adegan sarapan pancake dan tatapan malu-malu terasa seperti sinar mentari sebelum ribut besar dan ya, ia akan dihargai bila detik kegelapan tiba. Apabila Zephyr diculik, disumbat ke dalam kapal yang sudah lama berlumur kisah ngeri, filem ini tidak menyeret kita ke klise “gadis dalam bahaya”. Sebaliknya, ia menelusuri keupayaan wanita untuk berfikir, melawan, dan mencipta ruang bertahan.

Moses pula, yang pada awalnya kelihatan seperti penyelamat tipikal, akhirnya menjadi umpan. Ini bukan kisah penyelamatan dari luar, ini cerita tentang bertarung dari dalam. Set reka bentuk oleh Pete Baxter menyempurnakan ketakutan itu. Kapal Tucker adalah neraka terapung. Dinding yang dipenuhi coretan nama-nama yang sudah tiada, almari dengan pita video berlabel bersama helaian rambut, semuanya menyampaikan satu perkara: kamu bukan yang pertama, dan belum tentu yang terakhir.

Yang menggetarkan adalah betapa semuanya berlaku hanya sejengkal dari ‘normal’. Resort peranginan, party boat, muzik riang, semua itu tetap ada, namun fungsinya berubah. Ia bukan penyelamat, tapi penyamun suara. Jeritan Zephyr ditelan oleh tawa pelancong yang tidak tahu apa-apa. Ketakutan sejati bukan pada jerung, tapi pada manusia yang tahu menyesuaikan kekejaman dengan persekitaran. Courtney cemerlang membaham setiap adegan. Energinya bukan kosong, tapi diisi psikosis yang meyakinkan.

Sebagai Bruce Tucker, dia tidak membunuh untuk makan, dia membunuh untuk kepuasan rasa. Rasa kuasa. Rasa mengawal. Dan rasa puas melihat mangsa merayu tanpa sedikit pun belas kasihan. Disitu letak kepuasan, kerana apa? Kerana dia gila. Ada ramai manusia gila di dunia dan kerana itu belum tentu bumi adalah tempat yang selamat. Dia lah 'haiwan merbahaya' yang sebenar, 'pemangsa' absurd yang tiada kompromi. Sekali terjebak di dalam kapalnya, tiada ampun lagi.

Namun seperti alunan gelombang yang tidak pernah sama, Dangerous Animals juga punya sisi yang tidak dijangka. Ia mungkin bermula dengan darah dan jerung, tetapi yang kekal dalam kepala adalah mata Zephyr. Mata yang menolak tunduk, walau dicengkam rantai besi. Filem ini tampil bagai duri dalam industri filem genre. Tidak menunggu untuk dikenali, tapi menyerang terus ke nadi. Ia tidak menawarkan escapism murahan, sebaliknya menyentuh kebimbangan paling primitif: adakah manusia adalah pemangsa terburuk yang pernah wujud?

Jangan tertinggal. Jangan tunggu. Dangerous Animals adalah panggilan ke dalam kegelapan yang terlalu indah untuk diabaikan. Tayangan bermula di seluruh pawagam Malaysia pada 19 Jun 2025. Tonton sekarang. Tapi pastikan anda bersedia, lautan dalam filem ini lebih gelap daripada yang anda sangka!