'Tunggu Aku Sukses Nanti' Tentang Sindiran Di Hari Raya Dan Luka Yang Disimpan Diam-Diam

oleh: zizi hashim

Ruang tamu yang penuh suara, gelak tawa yang bertindih, bau rendang yang hangat: semuanya terasa seperti perayaan meriah. Namun di celah kemeriahan itu, selalu ada satu sudut sunyi yang hanya difahami oleh mereka yang belum “jadi apa-apa”. Filem Tunggu Aku Sukses Nanti membawa saya pulang ke momen itu. Momen yang kelihatan biasa, tetapi sebenarnya sarat dengan tekanan yang sukar dijelaskan. Watak Arga, yang dibawakan dengan penuh kejujuran oleh Ardit Erwandha, terasa terlalu dekat. Tiga tahun selepas tamat belajar, hidupnya masih tergantung. Tanpa pekerjaan tetap, tanpa arah yang jelas, dan paling menyakitkan, tanpa pengiktirafan daripada keluarga sendiri.

Setiap kali Hari Raya menjelma, kegembiraan yang sepatutnya dirasakan bertukar menjadi ruang soal siasat yang halus tetapi menyengat. “Sekarang kerja kat mana?” "Masih menganggur?" atau “Bila nak kahwin?” dan banyak lagi soalan yang rasa menyampah nak jawab. Soalan-soalan itu bukan asing. Nada yang mungkin kedengaran ringan, tetapi mengandungi beban yang berat. Arga tidak melawan, dia hanya diam, menunduk, menelan semuanya. Dan sebagai penonton, saya tidak sekadar melihat, tetapi ikut turut merasai keletihan itu.

Sutradara Naya Anindita memilih pendekatan yang sederhana tetapi tepat. Cerita bergerak melalui perspektif Arga. Kita melihat dunia melalui matanya, merasai tekanan yang datang bukan hanya dari keluarga, tetapi juga dari dalam dirinya sendiri. Dia mula meragui nilai dirinya, merasa gagal sebagai anak, dan melihat kejayaan sebagai sesuatu yang jauh dari genggaman. Konflik menjadi lebih berat apabila ayahnya kehilangan pekerjaan. Keluarga yang selama ini bertahan mula goyah. Tekanan kewangan memaksa mereka mempertimbangkan untuk menjual rumah nenek: sebuah simbol kenangan dan akar keluarga.

Di sinilah emosi filem ini benar-benar terasa. Ia bukan lagi tentang Arga seorang, tetapi tentang sebuah keluarga yang sedang cuba bertahan. Dalam keadaan terdesak, Arga mengambil langkah berani dengan menceburi bidang hartanah sebagai ejen. Langkahnya itu ibarat seperti perjudian. Tidak ada jaminan, tidak ada kepastian. Pilihan itu terasa rawak, tetapi sebenarnya lahir daripada keinginan yang sangat manusiawi: untuk membuktikan diri, untuk tidak lagi dipandang rendah, dan paling penting untuk tidak lagi sering dibandingkan. 

Perjalanan Arga tidak digambarkan sebagai mudah. Dia gagal, tersilap, dan kadang terlalu cepat membuat keputusan. Ada saat dia tidak memberi ruang kepada keluarganya, terlalu fokus untuk berjaya hingga hampir kehilangan diri sendiri. Dan ketika sedikit kejayaan mula datang, dia juga berubah dan terperangkap dalam rasa bangga yang akhirnya membawa penyesalan. Inilah kekuatan filem ini, ia membiarkan wataknya menjadi manusia. Tidak sempurna, tidak sentiasa betul, tetapi jujur.

Watak Tante Yuli, yang dilakonkan oleh Sarah Sechan, menjadi antara elemen paling kuat. Dia mewakili suara yang ramai kenal: ahli keluarga yang gemar membandingkan, terkadang dengan niat bergurau, tetapi meninggalkan kesan yang mendalam. Menariknya, filem ini tidak melukiskan dia sebagai antagonis sepenuhnya. Dia hanyalah produk daripada cara fikir generasi yang berbeza. Selain itu, kehadiran rakan-rakan Arga seperti Wicak dan Fanny memberi warna yang lebih ringan. Interaksi mereka terasa natural, penuh humor, dan menjadi ruang untuk Arga bernafas. Komedi dalam filem ini tidak dipaksa, ia hadir seperti dalam kehidupan sebenar, sebagai cara untuk bertahan.

Salah satu momen paling menyentuh bagi saya adalah kehadiran watak nenek. Cara dia bercakap, cara dia melihat Arga: penuh kasih tanpa syarat. Ia mengingatkan bahawa di tengah dunia yang menilai berdasarkan pencapaian, masih ada cinta yang tidak bergantung pada kejayaan. Dari segi teknikal, filem ini tampil sederhana tetapi berkesan. Sinematografi dan visual tidak terlalu menjolok, tetapi cukup untuk menyokong emosi. Audio dan muzik latar, termasuk lagu daripada Perunggu serta RAN bersama Hindia, memperkuat suasana reflektif yang dibina sepanjang cerita.

Namun, filem ini juga tidak terlepas daripada kelemahan. Ada beberapa bahagian yang terasa tergesa, terutama menjelang klimaks. Perkembangan watak sampingan agak terhad, mungkin kerana fokus yang terlalu kuat pada Arga. Hubungan percintaannya juga terasa tidak lengkap, seakan ada cerita yang terhenti di tengah jalan. Selain itu, beberapa babak terasa terlalu diarahkan untuk menyentuh emosi, membuatkan ia sedikit kehilangan keaslian. Pacing juga tidak selalu seimbang: ada momen yang berjalan terlalu cepat tanpa ruang untuk benar-benar meresap.

Namun, semua itu tidak menenggelamkan kekuatan utama filem ini. Kerana Tunggu Aku Sukses Nanti berjaya menjadi cerminan kepada realiti yang ramai alami, terutama generasi muda yang terperangkap antara harapan keluarga dan realiti kehidupan. Ia menyentuh tentang ketidakpastian kerjaya, tekanan ekonomi, dan rasa gagal yang sering datang apabila melihat orang lain “lebih berjaya”. Filem ini juga membawa satu persoalan yang sederhana, tetapi penting. Apa sebenarnya makna kejayaan? Adakah ia tentang gaji, status, atau pengiktirafan orang lain? Atau tentang menerima diri sendiri, walaupun perjalanan belum sempurna?

Saya keluar dari pawagam dengan satu rasa yang sukar dijelaskan. Bukan sedih semata-mata, tetapi seperti baru sahaja melihat cerminan diri sendiri, dengan segala kekurangan, kesilapan, dan harapan yang masih belum tercapai. Dan mungkin, itu yang membuat filem ini begitu dekat. Kerana kadang-kadang, kita semua hanya ingin berkata: “tunggu aku… aku sedang berusaha.”

Ada cerita yang tidak perlu terlalu besar untuk terasa dekat kerana ia sebenarnya milik ramai di antara kita. Tunggu Aku Sukses Nanti bukan sekadar kisah Arga, tetapi tentang kita yang pernah duduk diam-diam di hujung meja ketika hari raya, menjawab soalan dengan senyum, meski hati perlahan-lahan runtuh. Saat orang lain berbicara tentang pencapaian, ada jiwa yang sedang belajar menerima perjalanan sendiri. Ada yang masih mencari arah, dan ada yang hanya ingin dihargai seadanya.

Mulai 16 April 2026, biarkan diri tenggelam dalam kisah yang jujur ini, yang mungkin membuat kita ketawa, kemudian diam seketika… kerana terasa terlalu dekat. Bawa keluarga, bawa sahabat, atau mungkin bawa diri sendiri... kerana filem ini bukan untuk ditonton sahaja, tetapi untuk dirasai. Jom!