Liar Dan Tanpa Kompromi, 'Lee Cronin's The Mummy' Filem Paling Seram Setakat Tahun Ini

oleh: zizi hashim

Sesekali, sebuah filem seram hadir bukan untuk menakutkan secara biasa, tetapi untuk mengganggu sehingga rasa itu melekat jauh selepas lampu panggung kembali menyala. The Mummy arahan Lee Cronin membawa saya ke wilayah itu: wilayah yang tidak selesa, tetapi sukar untuk ditinggalkan. Ekspektasi saya sebenarnya bercampur-aduk. Nama Lee Cronin sudah cukup memberi bayangan tentang sesuatu yang liar dan tanpa kompromi, terutama selepas Evil Dead Rise. Justeru, langkah masuk ke pawagam terasa seperti bersedia untuk sesuatu yang mungkin terlalu ekstrem dan ya, filem ini tidak mengecewakan dalam cara yang paling kejam.

Nama The Mummy sendiri membawa sejarah panjang. Daripada versi klasik sehinggalah ke versi lebih ringan seperti lakonan Brendan Fraser, bahkan percubaan moden bersama Tom Cruise. Namun sentuhan Lee Cronin jelas tidak berminat untuk mengulang nostalgia itu. Arah yang dipilih jauh lebih kelam dan lebih mirip kepada kegilaan gaya Sam Raimi, lebih hampir kepada rasa ngeri yang perlahan-lahan merayap ke dalam tubuh. Apabila Evil Dead Rise sudah menetapkan satu aras tertentu: kasar, tanpa belas dan berani bermain dengan tubuh manusia sebagai sumber ketakutan. Jadi persoalannya mudah: mampukah The Mummy membawa sesuatu yang baru?

Jawapannya: ya, tetapi dengan cara yang membuatkan saya tidak selesa untuk jangka waktu yang lama. Cerita bermula di Mesir, sebuah latar yang bukan sekadar eksotik, tetapi sarat dengan sejarah dan kepercayaan lama. Keluarga Cannon menjalani kehidupan biasa: Charlie (wartawan), Larissa (petugas hospital), serta dua anak mereka, Sebastián dan Katie. Segalanya berubah dalam satu detik yang terasa rawak tetapi menentukan. Retakan pertama: Katie hilang, dilarikan dalam ribut pasir yang memadam segala jejak.

Momen itu sendiri sudah cukup mengganggu. Ribut pasir bukan sekadar latar visual, ia seperti simbol sesuatu yang menelan, menghapus jejak, dan menutup kebenaran. Lapan tahun berlalu. Keluarga itu sudah berpindah ke New Mexico, cuba membina semula hidup bersama ibu Larissa, Carmen. Kemudian, satu panggilan datang. Katie ditemui dan percaya atau tidak, dia masih hidup. Namun yang pulang bukan lagi anak yang mereka kenal.

Tubuhnya berubah. Geraknya janggal. Pandangannya kosong tetapi seolah menyimpan sesuatu yang jauh lebih tua daripada usianya. Lakonan Natalie Grace sebagai Katie benar-benar meninggalkan kesan. Tidak perlu banyak dialog, cukup dengan bahasa tubuh yang membuatkan saya rasa tidak tenang setiap kali dia muncul di skrin. Sementara keluarga berusaha menerima kenyataan, naratif berkembang melalui dua arah. Satu, usaha mereka untuk “memulihkan” Katie. Dua, penyiasatan oleh Detektif Dalia Zaki di Mesir yang perlahan-lahan membongkar kaitan antara kehilangan itu dengan mitos lama dan entiti ghaib.

Di sinilah filem ini mula menunjukkan lapisan sebenarnya. Ia bukan tentang mumia seperti yang kita kenal, bukan balutan kain atau makhluk bangkit dari makam. Sebaliknya, ia tentang tubuh manusia yang dijadikan medium kepada sesuatu yang tidak sepatutnya hidup. Dan Cronin tidak pernah bermain selamat. Visual dalam filem ini kejam. Practical effects digunakan secara maksima. Kulit yang merekah, kuku yang tercabut, darah yang mengalir tanpa kompromi. Ada babak yang membuat saya benar-benar menahan nafas, bukan kerana terkejut, tetapi kerana terlalu realistik. Rasa jijik itu bukan sekadar reaksi fizikal, tetapi hampir menjadi pengalaman sensori penuh.

Namun, yang benar-benar mengangkat pengalaman ini adalah bunyi. Reka bunyi oleh Peter Albrechtsen memainkan peranan yang luar biasa. Setiap retakan, setiap nafas, setiap geseran kecil terasa seperti bergerak di bawah kulit sendiri. Saya teringat bagaimana bunyi dalam filem moden kini bukan sekadar pelengkap visual, ia menjadi sumber ketakutan utama. Dalam The Mummy, bunyi bukan hanya didengar, tetapi dirasai. Kadang, bunyi itu lebih menakutkan daripada apa yang dipaparkan. Ada momen yang buat saya menahan nafas tanpa sedar, seolah-olah tubuh sendiri cuba melindungi diri dari apa yang didengar.

Filem ini juga tidak lupa memberi ruang pada emosi. Di sebalik kekejaman dan keganjilan, terselit kisah tentang kehilangan: tentang ibu bapa yang enggan menerima bahawa anak mereka sudah tiada, walaupun jasadnya kembali. Perasaan itu berat, dan kadang terasa lebih menyakitkan daripada elemen seram itu sendiri. Hubungan antara Charlie dan Larissa terasa rapuh. Dua individu yang cuba bertahan dalam kehilangan yang tidak pernah benar-benar selesai. Kehadiran Katie sepatutnya menjadi penyembuh, tetapi sebaliknya membuka luka lama dengan cara yang lebih menyakitkan.

Di sinilah saya rasa filem ini cuba menjadi lebih daripada sekadar seram. Ia menyentuh tentang trauma, tentang bagaimana kehilangan boleh berubah menjadi sesuatu yang tidak sihat apabila kita enggan melepaskan. Katie bukan lagi anak mereka, tetapi mereka tetap berpegang pada harapan itu. Dan harapan itu menjadi pintu kepada sesuatu yang lebih gelap. Penglibatan penerbit seperti Jason Blum dan James Wan jelas memberi sokongan kepada visi Cronin, menghasilkan seram yang bukan sekadar menakutkan, tetapi mengganggu secara psikologi dan fizikal.

Namun, saya tidak boleh menafikan ada kelemahan. Struktur cerita kadang terasa lapuk. Misteri yang dibina agak mudah dijangka bagi antusias tegar genre ini. Beberapa pendedahan tidak memberi impak sebesar yang diharapkan. Ada juga momen yang terasa seperti mengulang formula lama tanpa benar-benar memperluasnya. Tetapi setiap kali filem ini hampir kehilangan arah, ia kembali dengan kekuatan visual atau emosi yang membuatkan saya terus terikat.

Durasi 2 jam 15 minit yang padat tidak terasa terlalu panjang, meski ada bahagian pertengahan yang sedikit perlahan. Namun, perlahan itu sendiri seperti disengajakan untuk memberi ruang kepada ketegangan bernafas sebelum kembali menghimpit. Menjelang klimaks, filem ini tidak menahan diri lagi. Ia menjadi lebih brutal, lebih emosional, dan lebih sukar untuk ditonton dengan tenang.

Saya keluar dari pawagam dengan satu perasaan yang bercampur-baur antara terpukau, terganggu dan sedikit letih secara emosi. The Mummy versi Lee Cronin bukan untuk semua orang. Ia keras, menjijikkan, dan tidak peduli untuk menjadi selesa. Tetapi bagi yang menghargai seram yang berani melangkah ke wilayah gelap tanpa kompromi, ini adalah pengalaman yang sukar dilupakan. Kerana ada ketakutan yang tidak datang dari luar, tetapi dari tubuh yang kita sangka masih milik kita sendiri. Tayangan bermula 17 April 2026 di seluruh pawagam Malaysia, beranikah anda?