Nuansa Suram, Gelap, Kusam Filem 'Alas Roban' Buat Bulu Roma Sentiasa Meremang

oleh: zizi hashim

Kalau yang nama sutradara-nya itu si Hadrah Daeng Ratu, memang auto layan. Jaranglah filem dia tak best. Dia selalu kalau buat filem memang mantap. Saya berani cakap saya peminat filem-filem seram karya Hadrah Daeng Ratu seperti Pemandi Jenazah, Sijjin, Menjelang Ajal, Makmum dan banyak lagi. Justeru, saya masuk panggung dengan ekspektasi yang sebenarnya cukup tinggi. Alas Roban bukan nama asing bagi penonton Indonesia, tetapi bagi penonton Malaysia memang pada mulanya agak blur-blur. Saya mati-mati ingat alas meja atau alas tikar! Rupanya nama jalan sunyi di dalam hutan belantara.

Tak kalah juga kita di Malaysia ada Karak Highway, di Indonesia pula ada Alas Roban. Cerita mistik yang katanya turun-temurun ini memang mampu menjadi fondasi kuat untuk filem seram yang berkesan. Filem ini punya potensi besar, tetapi tampak kebingungan menentukan arah ceritanya sendiri. Bermula cukup meyakinkan, bulu roma saya meremang setiap masa. Namun seperti Alas Roban yang suka menyesatkan pengguna jalan, ceritanya juga tersesat di dalam hutannya sendiri.

Cerita berpusat pada kehidupan Sita, seorang ibu tunggal dari Pekalongan yang berjuang keluar dari kesulitan ekonomi. Keputusan pindah ke Semarang demi pekerjaan di hospital terasa masuk akal dan membumi. Saya cukup tersentuh dengan latar belakang ini kerana konflik sosialnya terasa dekat dengan realiti kebanyakan orang. Kehadiran Gendis, puterinya yang buta, seharusnya mampu menjadi pintu masuk emosi yang kuat sekaligus sumber ketegangan seram yang berbeza.

Masalah mulai terasa ketika bas yang mereka tumpangi mogok di tengah Alas Roban. Di titik ini, filem seperti memasuki jalur seram yang sangat familiar. Hutan gelap, suasana sunyi, selekoh tajam, lalu apa lagi? Gangguan ghaib pun perlahan-lahan muncul. Saya tidak menolak formula klasik, tetapi saya berharap ada pendekatan yang lebih segar, lebih berani, lebih liar seperti hutannya sendiri. Mengingatkan lokasi Alas Roban itu sendiri sudah sangat ikonik. Tempat yang sudah lama dipeluk mitos kehilangan dan gangguan ghaib. 

Sebagai penonton, saya seharusnya sangat peduli pada hubungan Sita dan Gendis. Di sepanjang filem, kemistri ibu dan anak ini terasa kurang menyentuh atau mungkin kurang diberi ruang untuk berkembang dan memperkuatkan bonding. Lakonan Michelle Ziudith sebenarnya cukup solid, begitu juga Fara Shakila. Ada sesuatu yang rapuh, tetapi kuat, dalam cara Sita memandang dunia dan dalam cara Gendis merasainya tanpa melihat. Namun, rasa itu seperti tidak sempat berkembang sepenuhnya. Ikatan mereka hadir, tetapi tidak benar-benar meresap.

Tampil meyakinkan sebagai Sita: emosinya jujur, terutama saat berdepan ketakutan dan rasa bersalah yang berlapis. Fara Shakila sebagai Gendis juga cukup kuat, membawa ketidakpastian dengan cara yang tenang tetapi mengganggu. Kemistri antara Michelle dan Fara menjadi jantung emosi filem, membuat tema hubungan ibu-anak terasa relatable di tengah elemen supernatural. Watak Tika yang dibawa Taskya Namya memberi sedikit nyawa tambahan setiap kali muncul. Kehadirannya terasa hidup, meski ruang wataknya tidak terlalu luas.

Mitos Dewi Raras dan ritual lama yang menjadi tulang belakang cerita sebenarnya cukup menarik. Ada dunia yang luas di situ: tentang janji, tentang tradisi yang dilupakan. Namun sayangnya, ia hanya disentuh di permukaan. Seperti ada sesuatu yang besar ingin diceritakan, tetapi tidak sempat diselami sepenuhnya.

Visual filem ini antara kekuatan yang paling ketara. Kabut hutan, cahaya samar, bunyi angin yang seakan berbisik: semuanya mencipta suasana yang menekan perlahan. Efek khas untuk penampakan hantu tidak terlalu bergantung pada CGI berlebihan, melainkan lebih pada practical effects seperti suara angin dan bisikan, yang membuat seram terasa lebih nyata.

Sound design-nya luar biasa, dengan elemen gamelan yang menyeramkan memberi rasa autentik, sesuatu yang dekat tetapi asing pada masa yang sama. Efek suara seperti jeritan jauh juga turut membangun saspens. Namun, beberapa jumpscare ada yang terasa murahan dan repetitif, yang mungkin membuat antusias filem seram merasa kurang terkesan. 

Durasi sekitar 110 minit terasa sedikit panjang, terutama apabila cerita mula berulang -ulang pada ritma yang sama. Meski begitu, ada momen yang benar-benar menyentuh, terutamanya saat Sita kembali ke Alas Roban bersama Bu Emah untuk menyelamatkan anaknya. Di situ, filem ini seakan menemukan semula jiwanya. Tema pengorbanan ibu, trauma masa lalu, dan pertembungan antara dunia moden dan kepercayaan lama masih jelas terasa. Ada sesuatu yang ingin disampaikan, bahawa ada hal-hal yang tidak seharusnya dilupakan, meski zaman terus berubah.

Saya keluar dari pawagam dengan rasa yang bercampur-aduk. Filem ini punya potensi besar, dan pada beberapa detik, ia benar-benar bersinar. Namun seperti jalur Alas Roban itu sendiri, ceritanya kadang tersasar dan meninggalkan saya mencari arah yang tidak sepenuhnya jelas. Tetapi mungkin, itulah sifatnya. Ada cerita yang tidak mahu selesai, hanya mahu terus menghantui.

Setiap bayang membawa cerita. Setiap bisikan menyimpan sesuatu yang belum selesai. Alas Roban bukan sekadar lokasi, ia adalah ruang antara realiti dan sesuatu yang tidak dapat dijelaskan. Beranikan diri anda menyusuri jalan yang tidak semua orang sanggup lalui. Rasakan sendiri ketegangan yang perlahan-lahan merayap, sebelum ia menggenggam tanpa amaran. Alas Roban menanti dan melambai anda di pawagam seluruh Malaysia mulai 9 April 2026. Berani kah anda?