'Sampai Titik Terakhirmu' Bukti Bahawa Ternyata Cinta Sejati Itu Wujud Dan Masih Ada

oleh: zizi hashim

Ketika gempar isu curang dan kaki sondol sedang marak di sana sini, filem Sampai Titik Terakhirmu jadi bukti sebuah kisah cinta sejati yang ternyata masih wujud seseorang yang setia sehingga ke akhir hayat. Memancarkan perjalanan cinta Shella dan Albi, saya dibuat senyum-senyum sendiri di separuh pertama dan sesak dada di separuh kedua. Filem ini tidak hanya menampilkan romansa yang natural antara Shella dan Albi, pasangan content creator, tapi juga kehangatan keluarga yang teruji.

Cerita ini mengingatkan bahawa kesetiaan masih wujud, meski dunia kerap memperagakan sebaliknya. Hubungan mereka bermula sederhana dengan pertemuan pertama di padang bola, kemudiannya di majlis khatan Dide, adik Shella. Dari situ, perbualan bertukar perhatian, perhatian menjelma keakraban, lalu rasa kasih sayang tumbuh perlahan-lahan. Disulam dengan momen manis: gelak kecil, janji ringkas, panggilan video yang menjadi tali penghubung, sehingga detik ‘ditembak’ melalui telefon yang terasa jujur dan bersahaja.

Nafas cerita kemudian berubah arah. Shella, gadis lincah yang meminati bolasepak, terpaksa menanggalkan ritma aktifnya apabila benjolan di perut disahkan sebagai cyst, sebelum result scan yang lebih berat hadir: kanser ovari. Peralihan daripada dunia yang riuh kepada ruang hospital yang sunyi dirakam dengan sensitif; tubuh yang semakin lemah berlawanan dengan semangat yang cuba dipertahankan. Saat Shella memilih menjauh kerana merasakan hidupnya tidak panjang, dialog perpisahan itu mengoyak perasaan penonton. Namun keteguhan Albi menjadi paksi emosi. Dia memilih untuk tidak menyerah, malah mengikat janji perkahwinan ketika hari-hari terasa semakin rapuh.

Arahan Dinna Jasanti mengekalkan disiplin emosi yang seimbang: lucu hadir sewajarnya, pilu mengalir tanpa melodrama berlebihan, simpati tumbuh melalui situasi yang manusiawi. Struktur naratif kemas memudahkan penonton menyelami perjuangan pesakit kanser yang cuba berfikiran positif, meski putus asa sesekali menyelinap. Visual lembut dengan teknik superimposition (“third shot”) mencipta lapisan puitis, seolah-olah memperlihatkan gema perasaan yang tidak terucap. Penataan bunyi menyokong suasana; runut bunyi “Bergema Sampai Selamanya” oleh Nadhif Basalamah berfungsi sebagai nafas emosional yang mengiringi momen penting, bukan sekadar pengiring latar.

Mawar Eva de Jongh sangat menyerlah sebagai Shella. Bukan hanya memaparkan tubuh yang sakit, tetapi emosi kompleks seorang pesakit: takut, pasrah, lalu menemukan bahagia kecil di celah-celah penderitaan. Arbani Yasiz sebagai Albi hadir tulus; tatapan dan sentuhan mereka terasa organik, memperlihatkan cinta yang sederhana namun kukuh.

Watak-watak sekeliling diberi ruang bernyawa: Erna (Unique Priscilla) memikul peranan ibu dan penjaga yang berlapis ujian; ayah Shella (Kiki Narendra) berbicara melalui sunyi yang sarat makna; Dide (Shakeel Fauzi) menghadirkan kasih adik yang jujur; Lidya (Yasamin Jasem) menyalurkan sayang melalui kehangatan perbuatan. Keluasan hati Mamak, ibu Albi (Tika Panggabean), memperlihatkan restu yang mengutamakan kebahagiaan anak, sekaligus menerima Shella sepenuh jiwa.

Keintiman latar perumahan sederhana, dinamika jiran yang gemar mencampuri urusan orang lain, serta detik kebersamaan keluarga menjadikan cerita terasa dekat dengan realiti seharian. Banyak adegan berpotensi menggerakkan ingatan tentang kehilangan insan tersayang terutama saat semua berkumpul di hari-hari terakhir perjuangan Shella. Filem ini turut menyentuh makna sistem sokongan: kasih keluarga, kesetiaan pasangan, dan persahabatan yang menguatkan ketika tubuh melemah. Meskipun temanya berat, penceritaan mengalir lembut; emosi dipandu jujur, tidak memaksa air mata, namun tetap saja airmata berlinangan sekaligus membuat dada sesak.

Sebagai adaptasi kisah nyata Albi Dwizky dan Allahyarhamah Shella Selpi Lizah, karya terbitan LYTO Pictures ini menegaskan bahawa cinta sejati tidak berhenti pada tubuh atau waktu, ia menetap sebagai kenangan dan keberanian untuk meneruskan hidup bagi yang ditinggalkan. Separuh awal mengundang senyum, separuh akhir memerah air mata; perjalanan emosi terasa seperti gelombang yang datang bertubi-tubi.

Seusai tayangan, keheningan penonton seakan menjadi penghormatan kepada cinta yang bertahan hingga titik terakhir. Saya toleh kiri kanan, semuanya serentak terdiam dan termenung panjang. Esak tangis terdengar sayup-sayup. Ramai yang terkesan kerana filem ini sangat relatable dan ternyata begitu realistik. Sampai Titik Terakhirmu layak direkomendasikan kepada sesiapa yang pernah kehilangan, sedang berjuang, atau mahu diingatkan bahawa waktu bersama insan tersayang ialah anugerah yang perlu dipelihara.

Dalam durasi 1 jam 56 minit, jom sama-sama kita jadi saksi cinta yang bertahan sehingga Titik Terakhirnya. Mengajak kita menelusuri perjalanan cinta Shella dan Albi, pasangan muda yang diuji hidup dengan ujian paling getir: kanser ovari. Filem ini mengangkat ketulusan, kesetiaan, dan kehangatan keluarga sebagai kekuatan utama. Sebuah kisah benar yang mengingatkan kita betapa berharganya waktu bersama orang tersayang. Tayangan di pawagam Malaysia bermula 29 Januari 2026, jangan lepaskan peluang merasai gelombang emosi, dari senyum sehinggalah linangan air mata. Standby tisu ya!