
oleh: zizi hashim
Lampu pawagam meredup, dan ekspektasi saya sebenarnya adalah pada skala sederhana sahaja malah cenderung skeptikal. Januari sering menjadi bulan limpahan filem genre, dan Primate kelihatan seperti satu lagi judul serangan haiwan yang akan berlalu tanpa kesan. Namun, 89 minit selepas itu, tubuh saya masih tegang di kerusi, dada berombak dengan rasa ngeri yang aneh: takut yang realistik, primal, dan sukar dipadam.
Di bawah arahan sutradara Johannes Roberts, nama yang sudah biasa bermain di wilayah thriller berasaskan ketakutan asas manusia, Primate mengheret penonton ke sebuah rumah mewah di tebing Hawaii. Lokasi yang sepatutnya menjanjikan percutian tropika, tetapi berubah menjadi gelanggang pembunuhan. Filem ini membuka cerita dengan serangan mengejut seekor chimpanzi bernama Ben terhadap seorang doktor haiwan. Brutal, cepat, dan cukup untuk menetapkan nada bahawa filem ini bukan tontonan santai.


Naratif kemudian berundur 36 jam ke belakang, memperkenalkan Lucy Pinborough (Johnny Sequoyah), mahasiswi yang pulang bercuti bersama rakan-rakannya. Kate, Nick, Drew, Brad serta Hannah, tetamu yang terasa janggal sejak awal. Rumah itu turut dihuni ayah Lucy, Adam (Troy Kotsur), seorang novelis terkenal yang pekak dan bisu, juga adiknya Erin. Ben, chimpanzi pintar yang dibesarkan seperti ahli keluarga, dilatih menggunakan papan suara tablet: satu elemen kecil yang kemudian menjadi gema menyeramkan hingga ke detik akhir.
Segalanya runtuh apabila Ben, selepas digigit musang pembawa virus anjing gila (rabies), melepaskan diri daripada sangkar peradaban. Serangan demi serangan berlaku dengan kebrutalan yang tidak berselindung: tubuh terhempas dari tebing, rahang tercabut, kepala dihentam tanpa belas. Ini slasher dalam bentuk paling jujur. Ganas, berdarah dan langsung tiada belas kasihan. Nasib baik versi tayangan tempatan tidak dipotong; pengalaman ngeri itu hadir sepenuhnya, tanpa kompromi.


Kekuatan Primate terletak pada keputusan berani menggunakan kostum praktikal untuk Ben, dilakonkan oleh Miguel Torres Umba, tanpa bantuan CGI. Setiap pergerakan terasa berat, tidak sempurna, dan justeru lebih mengganggu. Ben tidak beraksi seperti haiwan biasa, tetapi seperti pembunuh bersiri yang memahami ruang, menunggu masa, dan menyerang dengan niat. Kehadirannya memenuhi layar dengan aura ancaman yang konsisten, membuatkan setiap senyap terasa mencurigakan.
Troy Kotsur pula membawa dimensi emosi yang jarang disentuh dalam filem seumpama ini. Watak Adam, dengan keterbatasan pendengaran, bukan sekadar variasi karakter, tetapi alat naratif yang pintar. Beberapa adegan ketegangan paling efektif muncul daripada sunyi, ketika bahaya menghampiri tanpa sebarang amaran bunyi. Johnny Sequoyah menunjukkan perkembangan meyakinkan, daripada gadis yang acuh tak acuh kepada individu yang belajar bertahan, meski keputusan watak-watak lain kadangkala terasa menjengkelkan. Saya kira itulah sebahagian daripada “keseronokan” filem seram kelas B.


Visual filem ini cenderung gelap, hampir muram sepanjang masa. Bagi mata yang tidak bersahabat dengan pencahayaan rendah, ini boleh menjadi ujian. Namun, pilihan itu sepadan dengan atmosfera terkurung dan rasa terancam yang ingin dibina. Skor muziknya mengejutkan dan berkesan mengangkat adegan dan memberi denyut tambahan pada detik-detik genting. Beberapa kematian benar-benar “jaw-dropping”, cukup untuk mencetuskan sedutan nafas dan reaksi spontan penonton di sekeliling. Ngeri betul saya melihat muka koyak, kepala pecah, mulut rabak, semuanya ada, penuh ganas dan banyak darah di sana sini.
Dari sudut penceritaan, Primate tidak berpura-pura menjadi inovatif. Plotnya mudah, malah kadang terasa direka secara paksa. Tetapi kejujuran itulah yang membuatkan ia berfungsi. Ini kisah tentang ketakutan asas: haiwan peliharaan yang bertukar menjadi pemangsa, tentang ilusi kawalan manusia terhadap alam, dan tentang betapa nipisnya garis antara jinak dan liar. Disebabkan ketakutan membayangkan jinak yang cuma ilusi, satu panggung terjerit-jerit meremang bulu tengkuk setiapkali Ben muncul dari sudut gelap dengan wajah yang cukup mengerikan.


Secara komersial, filem ini mencatat kutipan global sekitar USD25 juta, dengan pembukaan hujung minggu USD11.3 juta, satu angka yang membuktikan tarikan genre ini masih ampuh. Di Malaysia, Primate mula mengganas di pawagam pada 22 Januari 2026, dengan pra-tonton terpilih sehari sebelumnya. Nilai tonton semula mungkin rendah kerana ini adalah pengalaman “sekali hadap, sekali trauma”. Namun sebagai pembuka awal tahun untuk antusias filem seram, Primate menjalankan tugasnya dengan cemerlang.
Kejam, ringkas, dan berkesan. Ya, memang sangat disarankan untuk ditonton di layar besar bersama penonton lain, agar jeritan dan debar itu terasa kolektif dan berjemaah. Kalau suka filem ganas, ngeri, dan buat satu pawagam sama-sama tersentak, Primate (2026) memang untuk anda. Berani uji adrenalin? Primate (2026) menunggu di pawagam. Ganas, straight to the point dan tanpa belas kasihan!