
oleh: zizi hashim
Cahaya skrin menyambar wajah saya sebaik sahaja Mercy (2026) bermula, seolah-olah menjemput saya masuk ke sebuah bilik perbicaraan tanpa pintu keluar. Saya terasa seperti masuk ke lorong sempit antara teknologi dan nurani. Filem arahan sutradara Timur Bekmambetov ini bergerak dalam rentak cemas, memerangkap penonton ke ruang perbicaraan futuristik yang menghakimi dalam tempoh sembilan puluh minit. Ia memecut dengan kegelisahan yang terasa dekat dengan dunia hari ini. Era ketika algoritma semakin diberi kuasa, dan manusia kian selesa menyerahkan keputusan kepada mesin.
Sejujurnya, premis ini menggerunkan saya kerana terasa dekat dengan realiti: mahkamah digerakkan AI, keputusan dijana algoritma, dan hidup manusia ditimbang oleh kod. Ada rasa seram yang halus, kerana apa yang ditonton terasa seperti cerminan masa depan yang tidak terlalu jauh dari kita sekarang. Jantung saya berdebar kencang dari awal sehingga penghujung kerana ada beberapa plot twist yang sangat tak terjangka! Kalau tanya saya, Mercy adalah filem thriller dengan energi tinggi yang mencengkam sekaligus membuat saya ketagihan dari awal hingga akhir.


Filem terbitan Amazon MGM Studios ini ditulis oleh Marco van Belle, berdurasi 100 minit dengan klasifikasi PG-13. Ia menggabungkan thriller sci-fi berformat screenlife: tingkap panggilan video, rakaman CCTV, e-mel, paparan data, folder bukti yang dibuka secara waktu nyata, mencipta rasa klaustrofobik yang menekan dada. Mercy ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 22 Januari 2026 , dengan format 2D dan 3D. Pengalaman layar besar benar-benar mengikat tumpuan; sukar untuk menoleh ke telefon kerana setiap detik seolah-olah berpacu dengan masa hukuman.
Latar Los Angeles masa depan dekat memperkenalkan Mercy Capital Court: sebuah sistem kehakiman AI yang berfungsi sebagai hakim, juri, dan algojo. Setiap tertuduh diberi tempoh 90 minit untuk membuktikan dirinya tidak bersalah sebelum hukuman dijatuhkan, termasuk hukuman mati melalui suntikan. Konsep ini terasa menggugah kerana menyentuh kebimbangan kolektif zaman kini: bias data, pengawasan digital, dan keghairahan mempercayai teknologi atas nama kecekapan.


Chris Raven dilakonkan cemerlang oleh Chris Pratt, detektif LAPD yang sebelum ini menyokong penerapan Mercy, terjaga terikat di kerusi eksekusi. Dia dituduh membunuh isterinya sendiri. Paradoks moral terbit serta-merta: lelaki yang mempercayai sistem kini terperangkap di bawah penghakiman mesin yang pernah dia sokong. Dalam tempoh sembilan puluh minit waktu nyata, Raven perlu menghubungi saksi, mengakses bukti digital, menelusuri rakaman, dan merungkai konspirasi, termasuk lapisan korupsi institusi, untuk membersihkan namanya.
Chris Pratt membawa spektrum emosi yang berubah-ubah: duka yang beku, amarah yang meledak, panik yang menyesakkan, lalu beralih kepada tekad yang berlapik keberanian. Ada saat-saat ekspresinya terasa agak mendatar, namun keseluruhan perjalanan emosinya tetap menyambung empati, terutama ketika waktu semakin menipis. Di seberang skrin, Rebecca Ferguson sebagai suara AI Judge Maddox mencuri perhatian. Nada suaranya dingin, presisi, nyaris tanpa simpati, menghidupkan persona AI yang mengingatkan HAL 9000 dengan sentuhan algoritma moden. Dinamika manusia–mesin inilah teras emosi Mercy: pertembungan antara nurani dan kod.


Barisan pelakon sokongan seperti Kali Reis, Annabelle Wallis, Kylie Rogers, Chris Sullivan, serta Selton Mello memberi warna pada rangka konspirasi, meski ruang pengembangan karakter terhad oleh format screenlife. Timur Bekmambetov memanfaatkan estetika digital untuk membina saspens: jendela Zoom yang bertindih, bunyi notifikasi yang tiba-tiba, folder bukti yang dibuka ketika jam terus berdetik. Ada momen 'gimik' sinematik yang melanggar piawaian screenlife murni, namun ia tetap membantu memacu dramatik.
Dari sudut tema, Mercy mengkritik kepercayaan membuta tuli terhadap AI. Sistem yang dilatih dengan data bias berisiko menghasilkan keputusan yang bias terutama terhadap kelompok minoriti. Filem ini mengingatkan bahawa fakta boleh hitam-putih, namun kebenaran sering bersembunyi di zon biru yang rapuh. Persoalan klasik ala Minority Report (2002) hadir kembali: sejauh mana kita rela menukar privasi dengan rasa selamat? Nada filem sesekali terasa tone-deaf dalam paranoia tertentu, namun relevansinya terhadap zaman ChatGPT dan pengawasan digital tidak dapat dinafikan.


Babak awal dan pertengahan filem terasa paling kukuh. Premis bijak, twist bertingkat, skor muzik yang menekan, suntingan pantas yang memahat urgensi. Namun tindakan akhir memilih spektakel: ledakan, kejar-mengejar, dan resolusi yang terasa lebih mudah dijangka, bahkan sarat lubang plot. Anehya, elemen “schlock” ini juga menyelamatkan filem daripada kering emosi; ia mengakui dirinya hiburan tegang yang ingin memacu adrenalin. Mercy bukan revolusi genre, namun sebagai thriller teknologi, ia mengekalkan ketegangan yang membuatkan saya duduk di hujung kerusi hingga kredit berputar.
Secara peribadi, Mercy menggetarkan kerana ia memaksa kita menyoal semula kepercayaan terhadap sistem yang tampak objektif. Analisis mesin mungkin tepat, namun kebenaran manusia tidak selalu lurus; ia berlapik trauma, konteks, dan bias yang tidak mudah ditangkap algoritma. Filem ini mengajar satu hal: menyerahkan penghakiman sepenuhnya kepada AI mungkin memberi ilusi ketertiban, tetapi ianya mengikis ruang empati. Ruang yang menjadikan keadilan lebih manusiawi.
Untuk penonton yang menggemari The Circle (2017), Eagle Eye (2008) atau thriller teknologi bernafas cepat, Mercy menawarkan pengalaman imersif yang layak dicuba di pawagam. Jangan mengharap revolusi; nikmati pertembungan dingin antara mesin dan nurani. Mercy, filem thriller yang memecut degup jantung sambil menguji kepercayaan kita terhadap teknologi. Tatkala mesin mula memutuskan hidup dan mati, nurani manusia dipaksa berdiri di tepi jurang. Datanglah dengan rasa ingin tahu, pulanglah dengan persoalan tentang keadilan, kebenaran, dan batas kepercayaan kepada AI. Mercy wajar berada dalam senarai WAJIB tonton anda. Jom!