
oleh: zizi hashim
Terkadang sebuah naskhah terasa seperti sebuah pesta tak terduga, menggabungkan riuh-rendah, magis dan rasa lucu yang menjalar sampai ke dada. Comic 8 Revolution: Santet K4bin3t ciptaan sutradara Fajar Bustomi termasuk dalam kategori itu; sebuah filem yang menarik perhatian saya dengan humor maskulinnya, keberanian bermain dengan budaya santet (sihir) dan watak-watak berang yang sengaja dibentuk berlebihan tetapi tetap menghiburkan.
Penceritaan bermula melalui keghairahan kuasa sepasang dukun sakti, Ki Bagus lakonan Andre Taulany dan Ni Gendis yang dilakonkan Hesti Purwadinata, dua figura yang mengekalkan keseimbangan pelik antara seram dan kelakar. Dendam mereka bukan kecil; ada luka lama yang mereka ingin balas dengan cara paling eksentrik, iaitu menyantet (menyihir) pemimpin negara sehingga seluruh kabinet hampir menjadi porak-peranda. Keghairahan mereka terhadap ilmu hitam diperkukuhkan dengan tengkorak sakti, sebuah artifak yang menjadi pusat kekuatan ritual mereka.


Ritual yang mereka lakukan sudah meragut seorang wakil menteri, mencetuskan panik politik serta kekacauan pentadbiran. Namun energi santet itu belum cukup kuat tanpa lapan korban manusia, lalu misi mengumpulkan korban pun bermula, dan di sinilah kekacauan mencapai tahap yang melucukan. Pada masa yang sama, Badan Intelijen Republik (BIR) mula mengesan ancaman ini, menugaskan Pakde Indro (Indro Warkop) dan Oki (Oki Rengga) untuk merancang serangan balas.
Cara mereka? Mungkin paling aneh tetapi paling menggelikan hati. Mereka merekrut 8 ejen dengan keperibadian personaliti huru-hara untuk menyamar sebagai pembantu rumah kepada pasangan dukun tersebut. Sejak saat itu, segala yang normal menjadi khayalan; setiap babak berubah menjadi pertembungan antara tugas domestik dan kuasa ghaib, menjadikan perjalanan filem ini kacau-bilau sekaligus syahdu dengan penuh tawa yang riuh.


Duduk di kerusi penonton, saya cukup terhibur dengan parade komedi yang seolah-olah tidak pernah hilang momentum. Setiap lawak terasa spontan dan random namun tetap kena pada waktunya. Ada jenaka TikTok-an, gurauan bapak-bapak, sarkastik kontemporari sehingga cringe yang sebenarnya disengajakan. Semuanya membentuk simfoni kelakar yang membebaskan kepala saya dari penat harian. Keistimewaan terbesar filem ini ialah kemampuan para pelakonnya tampil natural, seolah-olah mereka tidak berlakon tetapi hidup dalam kegilaan tak masuk akal itu sejak lahir.
Barisan pelakon yang panjang dan ramai bukan sekadar hiasan. Andre Taulany dan Hesti Purwadinata memegang peranan antagonis dengan aura yang tajam tetapi empuk; mereka bukan hanya menyalakan humor tetapi juga memancarkan karisma yang menyerlah. Indro Warkop pula tampil sebagai figura nostalgia, menghadirkan rasa rindu terhadap zaman kegemilangan Warkop DKI. Oki Rengga menjadi rakan padanannya yang serasi, kedua-duanya menghidangkan dinamika yang membuat saya beberapa kali tergelak kuat sambil menepuk dahi.


Deretan pelawak lain yang terdiri daripada Bagas Sianipar sehingga Aep Statham, hingga cameo berat seperti Vino G. Bastian, Tora Sudiro, Cak Lontong, Mongol Stress dan Kiky Saputri, membentuk perarakan komedi besar. Kemasukan cameo trio Warkop DKI pula menjadi detik sentimental yang menyentuh sisi peminat lama. Unsur teknikal filem ini juga menarik. VFX yang digunakan untuk adegan sihir dan pertarungan menyerlahkan semangat fantasi, lengkap dengan jurus warna-warni ala filem superhero. Editingnya dinamik, pantas dan sesuai dengan tona chaotic yang ingin dijual.
Meski ada beberapa babak yang terasa lambat dan humor yang agak hambar, tetapi kekurangan itu tidak menenggelamkan tenaga keseluruhan filem. Plotnya pula memberikan nuansa segar kepada waralaba Comic 8. Daripada cerita rompakan dan kasino yang biasa, Santet K4bin3t membawa satira politik, ritual mistik, dan fantasi komikal dalam satu adunan yang aneh tetapi cukup menggigit. Ada bahagian pengenalan karakter yang panjang, namun keputusan untuk memberi ruang kepada sebelas watak utama demi menonjolkan watak masing-masing adalah langkah yang sangat berani.


Berteraskan genre komedi seram dalam durasi 1 jam 51 minit, Comic 8 Revolution: Santet K4bin3t adalah filem santai ringan dengan perjalanan cerita yang agak menarik dan kreatif dipadukan lagi dengan lawak-lawak kelakar yang menyebabkan penonton pecah perut ketawa semasa menonton. Ada juga beberapa lawak yang relatable dengan isu semasa. Sesuai untuk ditonton bersama keluarga atau rakan-rakan di pawagam terutama bagi antusias filem komedi yang merindui gelak tawa yang tidak masuk akal.
Jika anda sedang mencari filem pintar, ia mungkin bukan pilihan pertama anda, tetapi untuk berehat pada awal pembukaan tahun 2026, inilah pakej lengkapnya. Jangan sampai terlepas filem ini yang bermula tayangan di pawagam Malaysia pada 15 Januari 2026. Harap maklum, rating PG16 diklasifikasikan untuk filem ini kerana terdapat sedikit unsur yang sesuai untuk tontonan dewasa sahaja di awal filem ini.
Sebagai penonton yang menghargai hiburan ringan, saya menganggap filem ini sebagai pelarian ideal, sebuah ruang untuk melepaskan tekanan dan menikmati kelucuan tanpa perlu menuntut kedalaman intelektual. Namun sebagai seorang pemerhati filem, saya menghargai cubaan mereka menggabungkan satira, aksi, dan komedi dalam satu naskhah yang memeluk identiti tanpa malu-malu.
Comic 8 Revolution: Santet K4bin3t bukan naskhah sempurna, tetapi kejujurannya untuk bersenang-senang membuatkan ia terasa tulen. Ia tahu apa yang ingin diberikan, dan ia menyampaikannya tanpa berselindung. Sangat berbaloi untuk di tonton oleh mereka yang ingin hilangkan tekanan dengan gelak ketawa kerana penonton pasti pecah perut menonton filem ini. Tunggu apa lagi?